Apabila kad terakhir diletakkan di atas meja dan lampu arena mula dimalapkan di Yu-Gi-Oh! World Championship 2026, empat legasi berbeza telah terpahat dalam sejarah.
Merangkumi kategori Trading Card Game, Master Duel, serta format Speed Duel dan Rush Duel di Duel Links, kejohanan ini benar-benar menguji ketahanan mental para peserta terbaik dunia hingga ke batas maksimum.
Selepas detik kemenangan, setiap juara berkongsi tentang tekanan yang diharungi, percaturan berisiko , serta apa yang benar-benar diperlukan untuk bertahan di puncak tertinggi.
Juara Dunia Yu-Gi-Oh! Trading Card Game WCS 2026 – Mario De Micco

Bagi wakil Kanada, Mario Angelo De Micco, kejayaan merangkul gelaran Juara Dunia TCG/OCG membawa rasa lega yang amat besar. Berasal dari Montreal, Quebec, De Micco merasakan segala tekanan lenyap begitu sahaja sebaik perlawanan akhir tamat.
“Saya rasa sangat lega sekarang,” kongsinya. “Rasanya seperti beban yang sangat besar telah diangkat dari bahu saya. Saya amat gembira dengan keputusan ini.”
Kemenangan beliau turut melakar berita membanggakan buat bandar kelahirannya, serta menghubungkan kejayaan ini dengan seorang sahabat lama.
“Sebenarnya kami pernah mempunyai seorang lagi Juara Dunia dari Kanada suatu masa dahulu. Dia adalah rakan saya yang bernama Sehabi. Dia juga berasal dari Montreal, jadi sekarang kami mempunyai dua orang Juara Dunia dari Montreal.”
Laluan beliau di pentas Grand Finals langsung tidak mudah. Pada game kedua, De Micco nampak tertekan dan bergelut apabila merenung “opening hand” miliknya yang serba kekurangan sehingga mengancam peluangnya dalam perlawanan tersebut.
“Sebaik sahaja draw hand, saya tahu saya akan kalah jika hand lawan saya agak elok,” kenangnya.
Walaupun kad-kad tersebut masih boleh dimainkan, agihannya mengehadkan pilihan beliau.
“Saya ada dua starter, tetapi saya juga dapat tiga Imperm. Imperm sebenarnya boleh dipakai melawan deck dia, tetapi bukanlah yang terbaik. Saya tak kisah kalau dapat satu Imperm, tetapi tiga adalah terlalu banyak.”
Meskipun diasak situasi itu, De Micco segera mengawal fokus, mengunci kemenangan, dan sekarang sudah bersedia untuk cabaran seterusnya.
“Saya memang sudah tempah tiket untuk ke YCS Paris,” dedahnya. “Sebelum ini saya tidak pasti sama ada mahu pergi atau tidak kerana ia bergantung kepada perasaan saya selepas kejohanan ini, tetapi saya rasa saya akan pergi. Saya akan tempah tiket kapal terbang sebaik sahaja sampai di rumah.”
Mengakhiri perjalanannya, De Micco tidak lupa menghargai insan-insan yang telah menyokongnya:
“Terima kasih banyak-banyak. Maksud saya, saya tidak akan berada di sini tanpa anda semua, rakan-rakan, keluarga saya, dan semua yang menonton. Terima kasih.”
Juara Dunia Yu-Gi-Oh! Master Duel WCS 2026 – Called By Army

Bagi divisyen Master Duel, pasukan Called By Army dari Korea berjaya menakluki pentas dengan kerjasama pasukan. Pasukan ini dibarisi oleh ketua Kim Minsung (CER.Sana), Kim Jisuk (CER.subaduck) dari organisasi CER yang sama, serta Lee Hyunsoo (A1.cutesnail), iaitu pengasas dan pengurus pasukan kompetitif berasingan, team A1. Mengulas tentang kejayaan manis tersebut, Minsung menyuarakan perasaan pasukannya:
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini.”
Bagi Jisuk secara peribadi, kemenangan ini amat bermakna. Pasukan mereka sebelum ini pernah mara setakat peringkat Top 4 di separuh akhir di Seattle (tahun WCS 2024)… jadi kekalahan ini menghantui fikirannya selama berbulan-bulan.
“Semasa di peringkat Top Four dalam Semi-Finals di Seattle dahulu, saya sering teringat tentang kesilapan yang telah saya lakukan,” akui Jisuk.
“Kerana saya rasa kesilapan saya menghalang pasukan daripada melangkah lebih jauh, saya berasa sangat risau. Jadi, saya amat gembira dengan keputusan ini.”
Setelah berjaya memadam memori pahit tersebut, Called By Army sekarang menumpukan perhatian untuk membina sebuah dinasti. Minsung menegaskan bahawa cita-cita mereka melangkaui kejohanan kali ini:
“Memandangkan kami berjaya memenangi kejuaraan musim ini, saya berharap dapat terus menang pada tahun hadapan dan juga untuk lima tahun seterusnya. Saya mahu kami terus merangkul kejuaraan sekurang-kurangnya untuk dua atau tiga tahun lagi, atau mungkin lebih lama.”
Minsung turut menyampaikan kata-kata semangat kepada komuniti sambil mengimbas perjalanan mereka:
“Sejujurnya saya tidak pernah menyangka akan memenangi kejuaraan seperti ini. Saya sentiasa mengagumi pemain-pemain lain setiap kali melihat mereka menjuarai kejohanan, tetapi saya berharap para peminat dapat melihat bahawa jika anda bekerja keras, anda juga mampu meraih kemenangan seperti ini. Itulah yang ingin saya sampaikan kepada para peminat.”
Juara Dunia Yu-Gi-Oh! Duel Links Speed Duel WCS 2026 – Snyffus

Dalam kategori Duel Links Speed Duel, Snyffus melakar namanya dalam buku sejarah sebagai pemain pertama yang berjaya meraih gelaran Juara Dunia Duel Links secara berturut-turut.
“Rasanya amat luar biasa dan susah dipercayai,” kata Snyffus. “Saya rasa macam tak percaya perkara ini benar-benar berlaku, dan rasanya ia masih belum dapat saya hadam sepenuhnya lagi.”
Usaha mempertahankan gelarannya diuji seawal perlawanan pertama di Grand Final apabila pihak lawan melakukan counterpick luar jangkaan.
“Saya rasa pihak lawan berjaya membuat counterpick yang sangat baik kepada saya, iaitu sesuatu yang saya risaukan sebelum ini, tetapi saya rasa ia adalah risiko yang berbaloi untuk diambil,” jelas Snyffus.
Apabila melihat situasi perlawanan tersebut, timbul sedikit rasa cemas, tetapi kekuatan mentalnya menjadi penyelamat.
“Apabila saya lihat dia benar-benar menggunakan deck tersebut untuk melawan saya, saya rasa sangat risau buat seketika. Tetapi kemudian saya berjaya menenangkan diri dengan sangat baik. Saya tidak terlalu panik dalam perlawanan kedua, dan saya berjaya mengeluarkan counterpick sempurna untuk melawan deck dia. Jadi, saya rasa kebolehan mengawal diri pada saat itu adalah sangat-sangat penting.”
Beliau turut merendah diri tentang faktor tuah yang menyebelahi dirinya:
“Secara keseluruhan saya memang bernasib baik di perlawanan akhir, dan apabila berdepan lawan yang begitu hebat, tuah memang sebahagian daripada permainan. Apa-apa pun, saya sangat bersyukur semuanya berjalan dengan lancar.”
Snyffus menyifatkan disiplin latihan tanpa henti sebagai kunci utama yang meletakkannya semula di takhta juara, satu komitmen yang bermula sejak tamatnya kejohanan lalu.
“Tahun lepas apabila bergelar juara, saya bertanya kepada diri sendiri, ‘Apakah rancangan masa depan saya sekarang?’ Dan apabila pulang ke rumah, saya fikir, ‘Mungkin saya patut cuba menang sekali lagi.’ Kemudian saya curahkan seluruh masa sepanjang musim. Saya berjaya meraih tempat pertama dalam kutipan mata, dan sekarang saya mendapat tempat pertama di World Championship. Saya rasa saya boleh bergembira buat seketika, dan kita lihat apa yang akan berlaku seterusnya.”
Beliau turut mengesahkan kesediaannya untuk memburu kejuaraan ketiga musim hadapan:
“Ya, sudah tentu. Saya pasti akan terus cuba memberikan yang terbaik.”
Beliau mengakhiri perbualan dengan meluahkan rasa terima kasih kepada insan-insan terdekat:
“Terima kasih kepada semua peminat saya, terima kasih kepada semua rakan-rakan yang menyokong saya, dan juga keluarga saya, kerana saya tidak akan mampu melakukannya tanpa anda semua.”
Juara Dunia Yu-Gi-Oh! Duel Links Rush Duel WCS 2026 – Takuma Kitamura

Selepas dinobatkan sebagai Juara Dunia dalam kategori Rush Duel, Takuma Kitamura meninggalkan meja perlawanan dengan senyuman, sambil mengaku bahawa rasa seronok bermain adalah pendorong utama yang membantunya melepasi pusingan akhir.
“Saya sangat gembira,” kata Kitamura.
“Saya rasa perlawanan terakhir tadi sangat menyeronokkan.”
Kejayaan ini diperoleh selepas mengharungi beberapa pertembungan sengit, di mana Kitamura menyifatkan perlawanan melawan deck Vic Viper sebagai ujian paling mencabar sepanjang kejohanan. Walau bagaimanapun, titik tolak kemenangannya bertumpu pada disiplin taktikal dalam match pertama ketika beliau menggunakan deck Royal Demon’s menentang strategi HERO pihak lawan. Daripada bertindak terburu-buru, Kitamura memilih untuk bersabar demi impak maksimum:
“Apabila Wingman pertama keluar, saya memilih untuk tidak mengaktifkan trap Shiny Shady, dan hanya mengaktifkan trap tersebut apabila Wingman kedua keluar. Saya rasa itu mungkin play terbaik saya.”
Selepas merasa kehebatan dan keseronokan Rush Duel di peringkat tertinggi, Kitamura berhasrat agar gelarannya ini membawa makna yang lebih besar kepada komuniti. Berbanding mengumpul trofi, fokusnya sekarang adalah untuk memperkenalkan format ini kepada khalayak yang lebih luas.
“Kali ini, saya berpeluang bekerja keras untuk Rush Duel, dan saya benar-benar memahami keseronokan Rush Duel,” jelas Kitamura.
“Jadi, saya berharap saya dapat berkongsi perasaan ini kepada orang lain. Saya rasa saya ingin menarik lebih ramai orang untuk bermain Rush Duel dan membantu mereka memahami betapa menyeronokkannya Rush Duel ini.”
Untuk melihat segala aksi kejohanan, anda boleh menontonnya di YouTube.
![[Eksklusif] Temu Bual Bersama Para Johan Yu-Gi-Oh! World Championship 2026!](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/YGO-WCS-2026_INTERVIU-JOHAN_FI-1-750x375.jpg)








Discussion about this post