Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Sedap Mata Memandang, Memuaskan Bila Main – Rahsia Di Sebalik Seni ‘Full-Art’ Pokémon TCG

Razin Syafiq by Razin Syafiq
August 31, 2026
in Artikel, Berita, Fakta & Trivia, Kad Strategi, Trading Card Game
0 0
0
Sedap Mata Memandang, Memuaskan Bila Main – Rahsia Di Sebalik Seni ‘Full-Art’ Pokémon TCG
Share on FacebookShare on Twitter

Apakah yang diperlukan untuk mengubah sekeping kad permainan kompetitif menjadi sebuah karya seni yang dihargai? Di PokémonXP, kami mendapat jawapan daripada tokoh-tokoh di sebalik ilustrasi paling ikonik dalam Pokémon Trading Card Game (TCG).

Mewakili Creatures Inc., Pengarah Kreatif Kohei Kobayashi (menyertai syarikat pada tahun 2013 untuk menyelia reka bentuk permainan dan produksi bersama Pokémon kegemarannya, Rowlet), serta Pengarah Seni Haru Saito (yang telah membentuk konsep ilustrasi dan piawaian visual sejak tahun 2018 dengan minat terhadap Fuecoco) tampil di pentas untuk berkongsi pandangan mereka.

Asal-Usul Kad Full-Art

Kisah kad “full-art” bermula seawal tahun 2011 sewaktu era Black & White, iaitu tempoh di mana pasukan pereka berusaha menjadikan pengalaman membuka booster pack lebih mendebarkan dan memuaskan. Bagi mencapai matlamat ini, Creatures memperkenalkan dua perubahan.

Pertama ialah pengenalan kad “over-numbered”; iaitu kad rahsia dengan nombor siri yang melebihi jumlah rasmi dalam sesebuah set, lantas membina keterujaan bahawa sesebuah pek mungkin mengandungi sesuatu yang luar biasa di luar kad standard.

Perubahan kedua ialah meluaskan ilustrasi ke seluruh permukaan kad, menanggalkan bingkai tradisional agar karya seni dapat memenuhi keseluruhan kanvas.

Namun begitu, meluaskan elemen seni memerlukan disiplin yang tinggi. Kobayashi menegaskan bahawa memandangkan kad Pokémon merupakan komponen permainan kompetitif, pasukan pembangun perlu menyeimbangkan ekspresi visual dengan kebolehbacaan teks.

“Pada masa yang sama, mengekalkan keseimbangan adalah amat penting. Kad Pokémon pertama sekali tetap merupakan sebuah permainan. Walaupun karya seni menjadi semakin menonjol, kami sentiasa mengutamakan agar Pokémon dan watak-watak mudah dikenali, di samping memastikan teks pada kad kekal mudah dibaca.”

Kobayashi menambah bahawa matlamat utama mereka bukanlah untuk mencipta nilai koleksi buatan, sebaliknya memperkaya keseluruhan pengalaman bermain dan memastikan keterujaan apabila “mendapatkan kad ilustrasi yang rare” dapat diterjemahkan terus kepada keseronokan bermain kad tersebut dalam perlawanan sebenar.

Daripada Pokémon-GX dan TAG TEAM kepada Kad IR dan SIR

Seiring kematangan TCG, reka bentuk full-art turut berevolusi untuk menyelesaikan cabaran mekanik permainan yang semakin kompleks.

Apabila era Sun & Moon memperkenalkan Pokémon-GX pada tahun 2017, kad-kad tersebut perlu memuatkan serangan GX yang hebat serta abilii unik di samping serangan biasa, menyebabkan susun atur kad dipenuhi teks.

Pendekatan full-art mengatasi kekangan ruang ini, menukar susun atur yang padat menjadi kad yang kemas dan amat diidamkan oleh pemain.

Format ini melangkah setapak lagi pada tahun 2018 menerusi TAG TEAM Pokémon-GX. Menampilkan lebih daripada seekor Pokémon pada satu kad menimbulkan cabaran baharu dari segi komposisi lukisan.

Bagi mengatasinya, pasukan pereka memanfaatkan kebebasan kreatif ilustrasi 2D dan membina estetika yang seragam, lalu melahirkan konsep “Special Art” (SA); iaitu ilustrasi khas yang menceritakan latar belakang, hubungan, dan konteks di sebalik dua Pokémon yang berganding bahu dalam pertarungan.

Asas penceritaan tersebut berkembang sepanjang era Sword & Shield dan mencapai kemuncaknya dalam era Scarlet & Violet menerusi pengenalan kad Illustration Rare (IR) dan Special Illustration Rare (SIR).

Saito menjelaskan bahawa kerangka moden ini mempunyai dua fungsi utama: memaparkan pelbagai sudut pandang dan persekitaran Pokémon yang tidak dapat disampaikan oleh kad biasa, di samping membina pengalaman membuka pek yang berperingkat.

Oleh kerana kad Illustration Rare lebih mudah diperoleh, ia menjadi pintu masuk yang mesra bagi pengumpul santai, manakala Special Illustration Rare yang susah dicari pula memberikan pengalaman yang benar-benar istimewa apabila pemain berjaya menemuinya.

Kehidupan Harian Tiga Pokémon Kanto

Untuk menggambarkan proses kreatif mereka, panel menjelaskan kad Illustration Rare bagi starter Pokémon Kanto dari era Scarlet & Violet.

Selepas kejayaan besar set Scarlet & Violet—151 (sebuah set nostalgia yang memberi kesan kepada pemain veteran dan baharu), pasukan mencipta kad full-art tersendiri untuk Bulbasaur, Charmander, dan Squirtle.

Matlamat mereka adalah untuk menarik minat kanak-kanak yang baru mula berjinak dengan permainan ini, sambil mengukuhkan lagi ikatan emosi yang terjalin antara pemain dan Pokémon klasik ini selama berdekad-dekad.

Konsep utama yang dipilih untuk trio ini ialah “Home”. Daripada memaparkan mereka dalam aksi pertarungan, pasukan pereka menggambarkan setiap Pokémon tinggal di dalam bilik trainer mereka, untuk memberikan gambaran intim tentang kehidupan harian mereka.

Bagi menonjolkan perbezaan personaliti mereka, setiap ilustrasi menampilkan seekor Pidgey yang datang berkunjung dari luar, menunjukkan reaksi unik setiap starter terhadap burung tersebut.

Saito menekankan bahawa memandangkan starter Pokémon ini amat istimewa di hati para peminat, Creatures memilih ilustrator yang mahir melukis latar belakang dan ekspresi halus tanpa menjejaskan rupa serta identiti asli Pokémon berkenaan.

Analisis Seni Kad Fidough dan Umbreon VMAX

Kad full-art turut memikul tanggungjawab “world-building”, memperkenalkan ekologi rantau baharu serta memberi nafas segar kepada Pokémon kegemaran ramai.

Semasa rantau Paldea diperkenalkan, kad Illustration Rare bagi Fidough ditugaskan untuk menyampaikan suasana kulinari rantau tersebut di samping sifat tubuhnya yang lembut dan gebu seperti doh.

Artis diberikan kebebasan dalam menentukan komposisi, lalu memilih sudut pandang yang unik dan melucukan di mana Fidough mengintai ke dalam sebuah kedai roti sambil membelakangi pemain… untuk menghasilkan pemandangan yang mencerminkan sifat ingin tahunya.

Di satu sudut yang berbeza, kad ikonik Umbreon VMAX daripada set Eevee Heroes di Jepun (dikeluarkan di peringkat antarabangsa dalam Sword & Shield—Evolving Skies) menjadi tumpuan utama.

Dilancarkan pada tahun kedua era Sword & Shield, set ini memperkenalkan semua kad V dan VMAX evolusi Eevee di sebuah bandar pesisir pantai idaman, di mana manusia dan Pokémon hidup bersama secara harmoni.

Saito mengakui bahawa menggambarkan kehidupan harian seekor Pokémon Dynamax yang bersaiz sebesar pencakar langit merupakan satu cabaran besar. Penyelesaiannya adalah dengan mencipta kontras.

Walaupun Umbreon VMAX merupakan kad yang amat kuat dan mendominasi kejohanan kompetitif, karya seninya memaparkan ia sedang bermain-main dengan bulan purnama gergasi berlatarkan istana seperti di dalam kisah dongeng.

Perbezaan antara kekuatannya di arena perlawanan dengan gelagatnya yang comel ala seekor kucing telah menjadikan kad ini sebuah karya yang tidak lapuk dek zaman.

Fungsi untuk Permainan Kompetitif

Tidak semua kad full-art dicipta berteraskan penceritaan santai. Sesetengahnya direka khusus untuk menyerikan arena kompetitif.

Panel memberi tumpuan kepada kad Illustration Rare Tatsugiri daripada era Scarlet & Violet, sebuah utility card penting yang abilitinya membantu menstabilkan giliran pada awal permainan dan serasi digandingkan dengan kad-kad Trainer utama untuk kejohanan.

Memandangkan pemain sering menggunakan Tatsugiri di dalam kejohanan, Creatures memilih untuk tidak menggunakan latar belakang bercorak naratif, sebaliknya menampilkan “functional art” yang berkonsepkan grafik penuh bertenaga.

Melalui penggunaan warna yang terang, garisan tegas, dan estetika seni pop ikonik, karya ini direka agar mudah dibaca semasa bermain, memberi kepuasan apabila dimainkan di atas playmat, dan nampak bergaya di dalam deck kompetitif.

Kobayashi menegaskan bahawa menyesuaikan gaya seni dengan peranan sebenar kad dalam gameplay memastikan reka bentuk visual dapat meningkatkan pengalaman bertanding tanpa mengganggu fokus pemain.

Set Panorama 3 Kad Meowth dan Prinsip Creatures Inc.

Melihat masa hadapan, panel memberikan pratonton eksklusif kepada para hadirin untuk set sambutan ulang tahun ke-30 yang bakal dikeluarkan pada 16 September. Khususnya, mereka mendedahkan sebuah “triptych”; iaitu tiga kad bersambung yang memaparkan Meowth.

Kobayashi menjelaskan bahawa set panorama pelbagai kad tidak pernah dihasilkan secara lewa. Ia sentiasa dibina berdasarkan matlamat konsep khusus, seperti memaparkan proses evolusi atau peredaran masa.

Bagi set ini, tema yang dipilih ialah “A Day of Pokémon”, yang menggambarkan waktu pagi, petang, dan malam menerusi pelbagai bentuk Meowth (Kanto, Alola, dan Galar). Apabila Creatures menugaskan ilustrator, Okubo, mereka hanya memberikan panduan asas tentang waktu dan konsep sudut pandang bandar yang tetap.

Okubo mengembangkan idea tersebut menjadi sebuah kompleks pangsapuri di mana ketiga-tiga varian Meowth tinggal bersama, menghasilkan naratif visual yang mendedahkan butiran persekitaran menarik apabila kad-kad tersebut disusun bersebelahan.

Di akhir sesi panel, kedua-dua pencipta berkongsi prinsip mereka dalam mencipta kad pada masa hadapan. Kobayashi mengulang bahawa seni tidak seharusnya wujud secara bersendirian, tetapi perlu sentiasa mengangkat martabat TCG sebagai permainan yang menarik dan seronok dimainkan. Saito turut menambah falsafah peribadinya:

“Sama ada melalui pertarungan ataupun mengumpul, setiap kali seseorang memegang kad atau bertemu Pokémon melalui kad tersebut, saya berharap pengalaman itu menjadi sesuatu yang amat bermakna.

Melalui pengalaman tersebut, saya ingin orang ramai menemui sisi unik Pokémon yang mungkin tidak pernah disedari sebelum ini dan membina rasa sayang yang lebih mendalam terhadap mereka.”

Anda boleh dapatkan info lanjut tentang Pokémon TCG di laman web rasmi.

ShareTweetSend
Previous Post

[Eksklusif] Temu Bual Bersama Para Johan Yu-Gi-Oh! World Championship 2026!

Next Post

Bagaimana Pokémon Trading Card Game Pocket Meringkaskan Perlawanan Tanpa Menumpulkan Strategi

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Reviu The Blood of Dawnwalker – Manusia Di Siang Hari, Pemangsa Ganas Di Malam Hari
Review

Reviu The Blood of Dawnwalker – Manusia Di Siang Hari, Pemangsa Ganas Di Malam Hari

Reviu Onimusha: Way of the Sword – Kuasai Seni Issen Atau Rebah Di Tangan Genma
Review

Reviu Onimusha: Way of the Sword – Kuasai Seni Issen Atau Rebah Di Tangan Genma

Bagaimana Pokémon Trading Card Game Pocket Meringkaskan Perlawanan Tanpa Menumpulkan Strategi
Berita

Bagaimana Pokémon Trading Card Game Pocket Meringkaskan Perlawanan Tanpa Menumpulkan Strategi

August 31, 2026
Next Post
Bagaimana Pokémon Trading Card Game Pocket Meringkaskan Perlawanan Tanpa Menumpulkan Strategi

Bagaimana Pokémon Trading Card Game Pocket Meringkaskan Perlawanan Tanpa Menumpulkan Strategi

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

Bleach: Zaraki Kenpachi Akhirnya Pakai Bankai; Hitsugaya Tōshirō Lepaskan Bankai Sebenar
Anime

Bleach: Zaraki Kenpachi Akhirnya Pakai Bankai; Hitsugaya Tōshirō Lepaskan Bankai Sebenar

August 20, 2026
Bos WIT Studio Dedah Sebab MAPPA Ambil Alih Attack on Titan Untuk Musim Terakhir
Anime

Bos WIT Studio Dedah Sebab MAPPA Ambil Alih Attack on Titan Untuk Musim Terakhir

August 19, 2026
Kingdom Hearts 4 – Gameplay Baru Dunia ‘Coco’, Pelancaran Lewat 2027 Serta Anime Original Disney+
Berita

Kingdom Hearts 4 – Gameplay Baru Dunia ‘Coco’, Pelancaran Lewat 2027 Serta Anime Original Disney+

August 15, 2026
Menurut Data, Ratusan Anak Indonesia Diberi Nama Naruto, Luffy, Nobita & Banyak Lagi
Anime

Menurut Data, Ratusan Anak Indonesia Diberi Nama Naruto, Luffy, Nobita & Banyak Lagi

August 12, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd