Unicorn Overlord merupakan sebuah game RPG taktikal baharu yang dibangunkan oleh Vanillaware dan ATLUS, di mana kita mengikuti kisah seorang putera yang dibuang memulakan perjalanan untuk mendapatkan semula pemerintahannya.
Memandangkan pelancaran Unicorn Overlord semakin menghampiri, kami telah berpeluang untuk mencuba game ini selama 3 jam sambil melawati ibu pejabat SEGA di Jepun. Paling menarik sekali, demo yang kami mainkan merupakan build pertama dalam bahasa Inggeris!
Buat anda yang tidak tahu, Vanillaware terkenal dengan game RPG taktikal dan Unicorn Overlord padat dengan gameplay menarik dan premis bagus yang dipersembahkan dengan lakonan suara bahasa Inggeris yang baik.
Mereka juga terkenal dengan gaya seni yang tersendiri dan game baharu ini juga mempunyai estetika yang serupa dengan game Vanillaware terdahulu, yang dihasilkan dengan indah serta visual yang memukau. Anda boleh nampak bayang-bayang daun pokok pada atas watak, sesuatu yang sungguh jarang berlaku dalam game 2D. Kalau anda pernah bermain game Vanillaware terdahulu seperti Dragon’s Crown, anda boleh harapkan beberapa fizik menarik pada watak wanitanya, cuma persembahannya dalam game ini lebih sopan.
Meneroka Fevrith
Dengan naratif yang fokus pada peperangan dan penaklukan, gameplay asas Unicorn Overlord berkisar penerokaan Fevrith yang luas, menyelesaikan sebarang quest sepanjang perjalanan dan menakluk kawasan untuk bawanya di bawah pemerintahan anda. Dunia Fevrith padat dengan pelbagai perkara untuk dilakukan, tidak kisahlah kerja pelik daripada NPC ataupun material yang perlu dikutip untuk pelbagai upgrade.
Kalau anda ingin tahu, sebahagian besar game ini adalah mengawal kawasan, dan mengumpul material adalah penting untuk membina semula atau upgrade kemudahan di sekeliling peta, seperti kubu, menara pemerhati, tavern dan banyak lagi. Rakan baik yang anda temui sepanjang perjalanan juga boleh ditugaskan untuk menjaga kawasan tertentu yang telah anda kawal, meningkatkan sumber yang dijana di sekitarnya.
Parameter hubungan antara watak yang dikenali sebagai rapport juga memainkan peranan yang besar dalam game dan anda boleh berinteraksi dengan rakan yang ditempatkan, memberi mereka hadiah atau menjemput mereka untuk menjamu makanan untuk meningkatkan hubungan itu. Agak penting untuk mempunyai hubungan yang tinggi dengan ketua pasukan mana-mana unit kerana ia meningkatkan statistik mereka dengan banyak malah meningkatkan lagi keupayaan pertempuran.
Terdapat juga minigames yang boleh ditemui di sekitar Fevrith untuk anda alami seperti anda merekod masa anda untuk melombong dengan lebih cekap.
Stage dan Kemajuan
Unicorn Overlord melakukan perkara yang sangat berbeza berbanding RPG taktikal lain. Di seluruh Fevrith, anda boleh masuk ke Battle Stage, medan pertempuran di mana pasukan sekutu dan musuh berperang dalam masa nyata. Setiap stage mempunyai syarat yang perlu dipenuhi untuk mencapai kemenangan. Sebagai contoh, mengalahkan sasaran tertentu.
Battle Stage ini boleh menjadi sebahagian daripada cerita utama atau side quest. Ia biasanya mempunyai cutscene cerita sebelum bawa anda ke dalam peta yang dipenuhi dengan tentera musuh untuk berperang. Anda pada asasnya memimpin tentera dalam game ini dan setiap unit terdiri daripada maksimum 6 ahli di bawah arahan anda.
Semasa dalam Battle Stage, setiap unit boleh digunakan dengan menggunakan Valor point yang boleh diperoleh dengan membebaskan kubu atau mengalahkan musuh. Apabila unit anda menghadapi musuh yang meronda di kawasan perang, anda boleh memulakan pertempuran tetapi anda tidak boleh melarikan diri daripadanya.
Berlawan tanpa sebarang strategi antara salah satu silap besar kerana anda mempunyai stamina terhad yang boleh digunakan. Stamina tersebut akan berkurang setiap kali anda terlibat dalam pertempuran. Setelah habis stamina, unit anda tidak akan dapat bergerak dan akan terbiar dalam keadaan tanpa sebarang perlindungan dan musuh boleh memilih untuk menyerang anda pada saat itu.
Untuk menambah stamina, anda boleh meletakkan unit anda di bandar yang telah anda takluk atau memilih untuk berehat melalui Action. Stamina akan pulih sewaktu itu. Walaupun begitu, anda masih boleh berada dalam bahaya kerana musuh boleh menyerang hendap anda, jadi lebih elok kalau anda meletakkan unit berdekatan untuk melindungi tentera anda yang sedang pulihkan diri. Battle Stage juga mempunyai had masa seperti yang dipaparkan di bahagian atas skrin, jadi anda perlu mengalahkan musuh secepat mungkin.
Combat
Pertempuran dalam Unicorn Overlord agak unik kerana ia bermula secara automatik dan anda tidak boleh mengawalnya secara bebas. Setiap watak mempunyai satu set Action Points (AP), yang ditunjukkan dalam red diamond dan Passive Points (PP) dalam blue diamond. Point ini bertindak sebagai sumber untuk aksi watak dan pertempuran akan tamat apabila semua pejuang menggunakan AP mereka ataupun dikalahkan.
Sebaik sahaja pasukan menggunakan semua AP, mereka akan tewas dalam pertempuran dan tersingkir daripada dunia battle stage, hilang upaya untuk satu tempoh dan menjadikan mereka mudah diserang. Sementara itu, PP bertindak sebagai sumber untuk Passive Skill, yang tercetus secara automatik apabila syarat tertentu dipenuhi. Watak juga bermula dengan hanya 1 AP dan 1 PP, tetapi anda akan mendapat lebih banyak mata untuk kedua-duanya apabila anda meningkatkan level watak anda.
Apabila dikalahkan, watak itu tidak betul-betul dibunuh tetapi hanya hilang upaya dan perlukan rehat. Jadi anda perlu ke bandar untuk merehatkan mereka. Secara pasif, watak memperoleh sedikit health selang setiap masa yang ditetapkan. Terdapat juga item yang boleh anda gunakan dalam pertempuran dan dunia luar, seperti potion asas, camp atau penghadang yang ada untuk memperlahankan pergerakan musuh.
Walaupun pertempuran berlaku secara automatik, masih terdapat cara untuk mengawal keadaan dan cara watak anda bertindak dalam pertempuran. Terdapat rentetan taktik yang boleh anda tetapkan kepada setiap watak untuk bertindak balas dan berkelakuan dengan cara tertentu apabila syarat dipenuhi. Sebagai contoh, anda boleh membuat healer untuk menyembuhkan barisan hadapan berbanding barisan belakang, walaupun HP mereka rendah.
Kelas dan Strategi
Bercakap tentang barisan hadapan dan belakang, unit anda dibahagikan kepada formasi 6 watak dengan 3 di hadapan dan 3 di belakang. Secara amnya, watak tank akan berada di barisan hadapan manakala barisan belakang mengutamakan watak support atau pejuang ofensif yang tidak mempunyai pertahanan terbaik.
Watak-watak yang ada, sama ada kawan atau askar tanpa nama, terdiri daripada pelbagai kelas. Kelas-kelas ini mempengaruhi cara pertempuran berfungsi dengan baik kerana Unicorn Overlord banyak memberi penekanan pada dinamik “Batu-Gunting-Kertas” antara mereka.
Sebagai contoh, penunggang kuda hebat apabila menentang tentera berjalan tetapi boleh dilawan oleh watak yang boleh terbang. Sementara itu, pemanah sangat baik dalam memerangi watak terbang dan Guardsmen memiliki pertahanan fizikal yang tinggi tetapi lemah terhadap sihir. Thief boleh mengambil peranan sebagai tank yang mampu mengelak tetapi tiada pertahanan apabila mereka kehabisan PP untuk elak atau menentang Archer kerana hit rate 100% mereka.
Setiap kelas mempunyai keunikannya tersendiri malah tentera yang generik juga mempunyai kepentingan yang sama seperti watak-watak bernama. Walaupun terdapat kelas yang mempunyai peranan yang sama, mereka masih boleh mempunyai kebolehan yang sangat berbeza kerana dinamik “Batu-Gunting-Kertas” dan cara sistem AP dan PP berfungsi. Sudah tentu akan ada kelas tertentu yang mempunyai prestasi lebih baik daripada kelas lain dalam situasi tertentu.
Anda juga boleh melatih kelas generik anda dengan growth statistik tertentu. Ini akan mendorong mereka ke arah peranan tertentu seperti ofensif yang lebih tinggi atau menjadi mega-defensif. Selain daripada statistik, terdapat juga pilihan untuk menyesuaikan nama, warna dan juga suara untuk menambah personaliti pada mereka.
Pemberian tuga kepada kelas tertentu untuk menjaga wilayah yang ditakluk juga mampu mengubah cara anda terlibat dalam pertempuran. Sebagai contoh, ahli sihir yang ditugaskan ke menara pemerhati boleh menyokong anda dalam pertempuran dengan menggunakan sihir daripada jauh. Membebaskan bandar yang berbeza juga membolehkan anda merekrut tentera daripada kelas yang berbeza, seterusnya menekankan kepentingan menakluk wilayah.
Kesimpulan
Vanillaware sememangnya tidak mengecewakan apabila bercerita tentang arahan seninya yang indah malah mempunyai estetika yang begitu cantik. Daripada persekitaran, peralatan sehingga reka bentuk watak, kesemuanya kelihatan cantik. Peminat RPG taktikal juga pasti suka kerana Unicorn Overlord menawarkan sistem pertempuran khas dan loop gameplay dengan banyak pertimbangan yang mendalam dan strategik. Dengan penekanan pada dinamik “Batu-Gunting-Kertas” antara kelas, anda digalakkan untuk merancang lebih awal tentang watak yang akan dibawa bersama untuk menentang musuh.
Battle stage itu sendiri cukup menyeronokkan terutamanya buat mereka yang suka pada cabaran kerana terdapat banyak taktik untuk dipertimbangkan. Dengan masa yang terhad dan sumber Valor, anda diminta untuk menyusun strategi kemajuan anda seperti merancang cara anda ingin menghantar unit, fokus pada target untuk objektif atau perlahan-lahan kosongkan medan perang.
Pilihan growth untuk kelas generik yang direkrut memberi tambahan menarik kepada taktikal secara keseluruhan, membolehkan anda berfikir tentang cara anda mahu membina tentera anda, sama ada askar yang sangat defensif atau sangat ofensif. Walaupun pertempuran berlaku secara automatik, anda boleh menetapkan taktik kepada watak dengan senarai keadaan “what if” untuk meletakkan lebih kawalan pada hasil pertempuran.
Walaupun hanya bermain untuk beberapa jam sahaja, Unicorn Overlord nampaknya seperti sebuah game menarik yang menawarkan beberapa sekumpulan elemen segar dan memberikan kedalaman strategik yang menarik untuk peminat RPG taktikal untuk mainkan. Jika anda peminat Vanillaware, kami pasti Unicorn Overlord tidak akan mengecewakan anda kerana cerita, visual dan sistem gameplay-nya mempunyai banyak benda yang ditawarkan.
Kalau anda ingin mencubanya juga, kami ada berita baik kepada anda. Demo game sudah pun tersedia buat pemain-pemain Nintendo Switch! Buat pemain PlayStation dan Xbox, demo akan tersedia pada 11 malam nanti!
Unicorn Overlord dijadualkan untuk lancar pada 8 Mac 2024 untuk PS5, PS4, Xbox Series X|S dan Nintendo Switch. Untuk mendapatkan segala liputan mengenai game ini daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post