Kemajuan telefon pintar telah berubah dengan pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pengguna kini boleh memilih pelbagai flagship dengan spesifikasi yang hebat, pada harga yang berpatutan. Kali ini, jenama POCO ingin mentakrifkan semula segmen “mobile flagship” dengan pelancaran siri POCO F6 Pro baharu.
Di sini, kami mendapat peluang untuk mencuba POCO F6 Pro dan menguji sejauh mana kecanggihan telefon pintar itu. Adakah ia hebat seperti yang dipasarkan? Teruskan membaca reviu ini.
Reka bentuk & Paparan
Dengan bingkai logam, POCO F6 Pro mempunyai berat 209g, yang merupakan berat normal untuk telefon pintar pada masa kini, tidak terlalu berat, tidak terlalu ringan, yang membuatkannya selesa untuk dipegang dan dibawa.
Bahagian belakang mempunyai reka bentuk unik dengan lapisan matte dan corak marmar yang kalis cap jari, serta reka bentuk cincin emas dengan campuran warna hitam kuning untuk unit tiga kamera, yang meningkatkan reka bentuk keseluruhan telefon pintar dengan ketara. Jika anda ingin kelainan, anda tidak perlu risau jika ia menyerupai peranti lain kerana POCO F6 Pro ternyata lain daripada lain.
Skrinnya menampilkan 6.67 inci WQHD+ 120Hz Flow AMOLED Dot Display yang sangat jelas dengan bezel yang nipis. Operasi memang lancar dan warna cerah, memberikan pengalaman visual yang mengasyikkan. Selain itu, skrin mempunyai kecerahan 4,000 nits, untuk memastikan pemaparan yang jelas walaupun di bawah cahaya matahari.
Prestasi Gaming
POCO F6 Pro dilengkapi dengan Xiaomi HyperOS dan cipset Snapdragon 8 Gen 2 baharu, yang direka dengan keupayaan AI inovatif. Versi yang diberi datang dengan 16GB RAM dan 1TB ROM, yang memastikan kami dapat memuat turun setiap game yang anda ingin main tanpa perlu risau tentang kapasiti storan, memandangkan saiz game pada masa kini semakin tidak masuk akal.
Sebelum memulakan ujian gaming, kami menjalankan ujian benchmark dahulu. Hasilnya adalah seperti berikut:
- Antutu: 1,562,852
- PC Mark Work 3.0 Performance: 14,537
Peranti ini turut datang dengan WildBoost Optimization 3.0 baharu, yang menawarkan loading pantas untuk gameplay yang lancar dan ketepatan segera apabila jari menyentuh skrin. Pembesar suara agak kuat dan memberikan bunyi surround walaupun ia terletak di sebelah port pengecasan. Walau bagaimanapun, kadangkala bunyi boleh menjadi sedikit kasar, jadi saya sarankan supaya anda tidak mendengar muzik atau bermain apa-apa game pada volume maksimum.
Game Turbo ialah aplikasi dalaman yang membolehkan pengguna meningkatkan prestasi peranti. App ini mematikan CPU throttling yang tidak diingini dan menghalang aplikasi daripada menggunakan sumber berlebihan. Berkat itu, kebanyakan game yang kami jalankan mempunyai prestasi dan frame rate yang hebat, termasuk beberapa game dengan grafik berkualiti tinggi seperti Wuthering Waves dan Honkai Star Rail.
- Wuthering Waves: Tetapan grafik pada Advanced Quality + 60FPS, stabil antara 58 – 60FPS, tidak akan lag semasa meneroka peta atau menggunakan Ultimate Skill yang visual berat.
- Honkai Star Rail: Tetapan grafik dengan High Quality + 60FPS, stabil antara 58 – 60FPS, tidak akan lag semasa meneroka peta atau menggunakan Ultimate Skill yang visual berat.
- PUBG Mobile: Tetapan grafik pada Smooth, sangat stabil pada 120FPS, tetapi grafik tidak cantik. Jika ditukar kepada HDR, ia boleh mendapat 60 FPS yang stabil.
- COD Warzone Mobile: Tetapan grafik dengan fokus pada Frame Rate dan Smooth, 55 – 60FPS secara purata.
- Diablo Immortal: Tetapan grafik pada High Quality + 60FPS, 60 FPS yang stabil
Bateri
Jangka hayat bateri agak mengagumkan, yang menampilkan bateri 5000mAh dengan teknologi pengecasan pantas 120W. Dalam ujian kami, bateri dicas daripada 14% hingga 100% dalam masa 29 minit sahaja. Bermula dengan bateri 100%, selepas 30 minit memainkan Wuthering Waves pada tetapan Medium 60 FPS, bateri menurun kepada 86%.
Apabila bateri menurun kepada 1%, peranti akan memasuki mode ”Hibernation”. Mode ini membolehkan pengguna mengakses fungsi asas seperti SMS dan panggilan telefon, memastikan pengguna boleh terus berhubung dalam situasi kecemasan, tetapi melumpuhkan penggunaan aplikasi lain sehingga bateri dicas semula.
Teknologi LiquidCool 4.0 baharu juga membantu memastikan peranti kekal sejuk. Walaupun kami bermain tanpa henti selama sejam, suhu secara konsisten kekal sekitar 45℃.
Kamera
F6 Pro mempunyai 3 kanta kamera: kamera utama 50MP dengan OIS dan sensor imej Light Fusion 800 dengan julat dinamik tinggi, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Terdapat juga kamera swafoto 16MP.
Bagi saya, ada dua sorotan utama yang saya kagum dengan fungsi kamera. Burst Shot Mode 2.0 membolehkan pengguna menangkap imej aksi sepantas kilat, di mana ia sebenarnya menangkap sebanyak 50 gambar sekaligus pada 30 bingkai sesaat.
Selain itu, Ultra Night Algorithm membolehkan fotografi malam walaupun dalam situasi malap yang paling ekstrem, untuk menangkap imej yang jelas dan terang dengan warna yang lebih tepat menggunakan algoritma pembelajaran AI yang inovatif.
Secara keseluruhan, kualiti imej terlebih daripada okay. Sangat mengagumkan, tetapi bukanlah yang terbaik pernah wujud, memandangkan kerana ia memfokuskan pada prestasi. Namun, ia terlebih bagus untuk urusan sosial media harian anda, dan masih boleh bersinar dalam situasi penting seperti majlis dan sebagainya, jika tiada kamera sebenar.
Tambahan AI
Pada tahun 2024, jika tiada tambahan AI, rasanya seperti ada sesuatu yang hilang dan F6 Pro pun memiliki gimik ini. Cuma, kebanyakannya agak berguna, seperti AI Subttiles (tersedia untuk peringkat beta), AI Expansion, AI Portrait, AI Album Search, dan juga AI Magic Erase Pro.
Daripada senarai tadi, kami banyak mencuba AI Expansion dan AI Magic Erase Pro semasa tempoh ujian. AI Expansion menggunakan AI untuk mengembangkan foto melebihi bingkai asal, manakala AI Magic Erase Pro direka untuk membuang orang yang suka photobomb, dan unsur lain yang tidak diingini. Fungsi ini sangat membantu jika anda ingin mengedit foto dan melangkau proses yang rumit dan panjang.
Pendapat
Secara keseluruhan, peranti flagship ini adalah salah satu pilihan terbaik dari segi prestasi. POCO F6 Pro membawa peningkatan ketara dari segi penampilan, reka bentuk telefon, kamera, sokongan perisian dan pengecasan pantas. Lebih-lebih lagi, berkaitan prestasi, hampir semua game berat terkini boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan tertinggi.
Walau bagaimanapun, berbanding dengan F5 Pro, beberapa ciri baik telah dibuang, seperti pengecasan wireless dan ketahanan terhadap habuk dan air IP53. Ini mungkin agak penting bagi sesetengah orang dan saya sendiri agak terkejut apabila melihat ciri ini dialih keluar. Kemungkinan besar ini untuk menjimatkan kos supaya harga peranti lebih mampu milik.
Bagi mereka yang berminat, POCO F6 Pro kini boleh didapati di Malaysia, dan tersedia dalam tiga varian – 12GB+256GB berharga RM 2,299, 12GB+512GB berharga RM 2,499 dan 16GB +1TB berharga RM 2,899.
Untuk beli, anda boleh melayari laman mi.com, dan kedai rasmi POCO Shopee dan Lazada.
@gamersantaimy
Discussion about this post