Ini bukanlah kali pertama saya bermain Red Solstice 2: Survivors kerana sudah mencuba versi alpha sebelum ini. Anda boleh melihat ulasan awal saya di sini. Sejujurnya, versi permainan penuh tidak banya berubah secara drastik, jadi saya hanya akan mengulas tentang aspek mekanik dan sistem yang tidak dijelaskan dalam ulasan awal. Tanpa melengahkan masa lagi, jom kita mulakan review Red Solstice 2: Survivors ini!
Selamat datang ke dunia Executor
Sebab saya sudah pun mencuba permainan, ia terasa ia agak intuitif kerana membolehkan kita melangkau tutorial dan misi pertama yang menelan banyak masa. Pihak pemaju juga telah menambahkan adegan sinematik baru untuk memulakan jalan cerita, di mana kita (si Executor) telah diseru untuk menjalani misi rahsia demi menghapuskan ancaman mutan STROL dari planet Marikh. Walaupun begitu, saya heran. Kenapa misi ini dirahsiakan? Bukan ke kita nak selamatkan dunia? Apa sebenarnya yang berlaku? Dari situ, dapat juga lah pemain merasa genre sci-fi seram seperti yang kita lihat di filem seperti Aliens, Predator, dan lain-lain. Terus terang, jalan cerita tidak begitu menarik, dan terasa tipikal tetapi itu bukan ciri utama tentang permainan ini.
Terdapat bahagian Archive yang luas, dengan adanya banyak fail untuk kita baca dengan teliti. Dalam Archive, kita boleh membaca latar belakang permainan, maklumat mengenai item dan mekanik disertai dengan gambar supaya kita tahu bagaimana rupanya, senarai tentang barang-barang yang boleh berinteraksi, dan paling menarik sekali adalah senarai makhluk-makhluk yang kita akan temui di atas planet ini. Jika anda jenis mudah lupa, sejenis tutorial berunsurkan teks mengenai sistem permainan juga tersedia. Segala maklumat ini mudah diakses, jadi walaupun anda tidak pernah bermain Red Solstice, info yang diperlukan ada untuk pemain lebih mudah dan cepat faham.
Gameplay: Penjelasan lanjut
Pada dasarnya, tidak ada perubahan untuk aspek gameplay. Apabila memulakan kempen dan memilih tahap kesukaran, anda dapat melihat apakah yang berbeza bagi setiap satu, lantas memberikan anggaran kasar untuk apa yang pemain bakal hadapi. Sebagai Executor, kita boleh bergerak di sekitar peta menggunakan tetikus, manakala butang “hotkey” digunakan untuk abiliti dan item. Kita boleh memiliki tiga NPC untuk menyertai parti. Malangnya, NPC tidak boleh dikendalikan sepenuhnya, dan saya hanya boleh menggunakan arahan mudah untuk memfokuskan pergerakan mereka. Sekiranya ada NPC di dalam pasukan yang mati tiga kali dalam misi, NPC tersebut tidak boleh dihidupkan semula selepas itu.
Seterusnya saya ingin menjelaskan tentang mod Manual dan Overwatch. Mod Manual membolehkan kita melihat lebih jauh dan lebih kuat dari mod Overwatch. Seperti namanya, kita boleh mengawal di mana dan ke arah mana untuk menembak. Apakah kekurangannya? Pemain kemungkinan besar boleh tersasar jika tidak begitu pandai dalam aspek “aiming”. Mod Overwatch pula membolehkan kita menyerang secara automatik setelah musuh berada dalam jarak tembakan. Jarak ini ditunjukkan melalui lingkaran di sekeliling watak. Setiap tembakan 100% dijamin akan kena tetapi harap maklum, jarak tembakan adalah lebih terhad.
Kita juga akan menemui sumber bahan (consumables) semasa misi. Slot untuk simpan sumber-sumber ini tidak banyak jadi pemain harus bijak menguruskan inventori. Selain dari itu, semuanya agak “standard” seperti mana-mana permainan RTS.
Satu perkara lagi yang saya ingin sentuh dalam review Red Solstice 2 adalah persekitaran. Berbanding dengan Red Solstice pertama, peta kali ini lebih besar di mana terdapat lebih banyak kawasan untuk diterokai dan lebih banyak variasi reka bentuk dari segi persekitaran untuk kita teroka. Satu tips saya boleh beritahu adalah kita boleh memanfaatkan persekitaran, dan berlindung di sebalik batu yang besar jika keadaan terlalu mendesak. Jika anda ingin bermain dengan lebih bijak, letupkan tong minyak atau bahagian-bahagian batu yang rapuh untuk membunuh musuh. Banyak objek unik juga tersebar di seluruh peta, tetapi objek ini tidak memberi apa-apa manfaat. Anda mempunyai pilihan untuk berinteraksi dengan objek tersebut da membuka Archive bagi mempelajari sejarahnya.
Malangnya, watak kita bergerak dengan agak perlahan. Jadi ia bergantung kepada betapa bijaknya kita semasa menjelajah kawasan yang luas. Di samping itu, kita perlu berjimat-cermat kerana stok peluru amat terhad. Jika anda tidak jumpa apa-apa stok peluru dalam perjalanan, doalah diri tidak dibunuh oleh mutan. Cuaca juga menjadi faktor. Sebagai contoh, ribut petir yang berterusan akan menelan banyak tenaga kita sekaligus melambatkan pergerakan watak. Situasi seperti ini menjadi lebih bahaya apabila mutan mula mengerumuni anda.
Seterusnya, anda akan menemui beberapa rakan semasa menjalankan misi. NPC ini akan menolong kita, lalu menyertai parti setelah menyelesaikan misi. Walaupun tidak dapat mengawal rakan sepasukan AI secara langsung, kita dapat meningkatkan kebolehan mereka dengan mengubah suai peranan dan peralatan agar sesuai dengan keadaan misi. Jangan lupa untuk tingkatkan tahap dan kembangkan lagi skill tree mereka supaya anda boleh bertahan hidup dengan lebih senang.
Untuk majoriti permainan, kita akan ulang alik dari misi ke misi di peta dunia demi mengumpulkan sumber yang mencukupi untuk mendapat upgrade dan sekaligus menguruskan jangkitan mutan. Archive akan memaklumkan bahawa kita tidak dapat menyelesaikan semua misi, jadi saya sarankan anda cubalah yang terbaik. Sekiranya anda tidak dapat menyelesaikan misi yang cukup untuk memastikan tahap jangkitan tidak mencapai 100%, malangnya itu bermaksud ‘GAME OVER’.
Pendapat
Red Solstice 2: Survivors telah menerapkan banyak penambahbaikan dari permainan pertama, sambil mengekalkan beberapa elemen ikonik. Sistem gameplay-nya bukanlah yang paling inovatif, tetapi memiliki mekanik yang cukup baik bagi mereka yang gemar bermain genre strategi. Untuk kawan-kawan yang suka gameplay strategi rumit di mana kita harus menguruskan sumber, permainan ini memang sesuai dengan anda.
Terdapat pelbagai perkara untuk ambil tahu, jadi tahap kesukaran permainan memang jelas dan mungkin membuatkan ramai pemain kurang berminat. Saya juga menemui pelbagai isu teknikal atau bug di mana item tidak berfungsi, atau kita tidak dapat mengutip sumber. Walau apa pun, ia masih merupakan satu permainan yang agak seronok jika anda merupakan gamer tegar untuk permainan strategi taktikal. Jika ya, anda boleh mempertimbangkan permainan ini.
Itu sahaja untuk review Red Solstice 2: Survivors saya! Jika anda ingin membaca ulasan kami yang lain, sila tekan pautan ini. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
Discussion about this post