Dibangunkan oleh studio Ironward yang berpangkalan di Croatia, Red Solstice pertama disambut dengan ulasan yang sederhana bagus ketika dilancarkan pada tahun 2014. Dengan fokus utama pada “real-time strategy“ dan “survival horror“, ia memerlukan pemain untuk cuba menyesuaikan diri dengan medan perang yang sentiasa berubah. Sekarang, sekuelnya bakal keluar dan sepatutnya akan menambah baik mekanik-mekanik pada permainan pertama dengan bantuan 505 Games. Tanpa melengahkan masa lagi, inilah pandangan pertama Red Solstice 2: Survivors saya!
Naratif
“Pada tahun 177 di Bumi, planet ini telah dihuni oleh mutan, lantas memaksa umat manusia berpindah ke Marikh.
Sebuah organisasi misteri yang dipanggil Founders sedang berlatih untuk mengambil semula planet lama mereka, dan pemain akan berperanan sebagai askar super yang dikenali sebagai Executor.
Di atas platform senjata orbit yang dikenali sebagai Solar, para Executor akan diagihkan kepada misi untuk membantu umat manusia sebagai sebahagian daripada pasukan petugas elit yang dikenali sebagai Cell.”
Gameplay & mekanik asas
Dari menu utama, pemain dapat memilih dari dua mod: story campaign (preview ini hanya menyediakan akses ke tiga misi pertama) dan mod Skirmish yang lebih kecil dan terpencil. Dalam mod Skirmish, pemain dapat melatihkan kemahiran mereka dalam misi sampingan dan bahkan mengajak pemain lain untuk menyertai mereka di server yang sama melalui ciri Steam’s Friends. Misi terbahagi kepada objektif menyelamatkan mangsa dan melindungi barang pengangkutan daripada serangan musuh, di mana jumlah dan intensiti serangan mutan akan meningkat bergantung pada tahap kesukaran yang dipilih.
Setiap tahap akan dimainkan dalam cara RTS tradisional, dengan kamera terletak di atas watak dalam pandangan isometrik. Pemain akan mengawal askar dengan tetikus, dan menggunakan “Right Mouse Button” untuk bergerak dan “Left Mouse Button” untuk menembak senjata. Sejenis fitur khas juga membolehkan askar untuk menyerang musuh secara automatik. Papan kekunci digunakan untuk mengawal kamera permainan, supaya pemain boleh mendapatkan pandangan yang lebih baik di atas medan perang ketika menembak gelombang musuh.
Dengan menekan butang Space, fokus kamera akan kembali pada Executor. Walaupun hanya Executor yang boleh dikendalikan secara langsung, sekumpulan rakan sepasukan dapat mengikuti atau berhenti di lokasi tertentu dengan menekan butang ALT. Apabila menekan butang ini, sebuah menu akan muncul untuk pemain pilih arahan apa yang sesuai untuk digunakan pada medan perang.
Pemain boleh menukar antara dua senjata yang dipilih dengan cepat, tetapi harap maklum, senjata kedua seperti senapang patah mempunyai bekalan peluru yang terhad. Senjata juga mempunyai tempoh “reload” berbeza, yang menjadi faktor penting dalam pertempuran kerana semasa pemain “reload” senjata, ia bermaksud kita terdedah kepada serangan mutan. Anggota skuad juga boleh mengalami kesan cedera tambahan seperti Poison atau Bleeding, yang menyebabkan nyawa mereka menurun. Protagonis hanya mempunyai dua nyawa dan jika kedua-duanya habis, anda harus memulakan misi dari awal.
Sebelum melakukan misi, pemain dapat mengatur susunan watak, memilih kelas/senjata, dan warna perisai yang berbeza. Terdapat enam kelas yang boleh dipilih, di mana versi beta menyediakan akses kepada tiga:
- kelas Assault standard
- kelas Medics yang berasaskan sokongan
- kelas Heavy Support yang defensif
Beberapa “Perks” yang boleh dipilih akan meningkatkan statistik ofensif dan defensif, tetapi ini memerlukan pemain mendapatkan modul bekalan untuk menggunakannya. Pengguna juga dapat membuka senjata dan abiliti baru dari Skill Tree, yang merangkumi perkara-perkara seperti lebih banyak HP dan peningkatan radius penglihatan. Setelah selesai, “custom load-out” ini dapat disimpan untuk penggunaan masa depan. Fitur ini juga digunakan untuk rakan sepasukan – tetapi pilihannya tidak sedalam seperti watak pemain.
Pendapat
Secara keseluruhan, gameplay RTS untuk Red Solstice 2 tidaklah begitu susah untuk mahir dan rasanya pemain baru pun boleh cuba tanpa banyak masalah. Masih terdapat beberapa “bug” dan masalah teknikal yang terdapat dalam versi, termasuk tentera yang jatuh ke dalam jurang, dan misi yang bersifat repetitif pada kesukaran yang lebih mudah. Namun, sekiranya isu-isu ini diselesaikan dalam beberapa minggu sebelum pelancarannya pada bulan depan, Red Solstice 2: Survivors mungkin dapat menjadi salah satu RTS sci-fi terbaik pada dekad ini.
Itu sahaja untuk pandangan pertama Red Solstice 2: Survivors saya! Permainan akan dikeluarkan di pelantar PC melalui Steam pada 17 Jun, jadi pembaca yang berminat tidak perlu menunggu lama lagi. Untuk baca ulasan kami yang lain, sila tekan pautan ini.
Video gameplay
@gamersantaimy
Discussion about this post