Jika tertanya-tanya apa yang ditawarkan oleh Mask of Idris, expansion besar yang bakal tiba untuk CODE VEIN II, jawapannya mudah… ia membawakan lebih banyak kandungan daripada formula yang sudah kita kenali.
Dalam sesi hands-on baru-baru ini, kami meluangkan masa sekitar satu jam setengah meneroka kawasan permulaan Mask of Idris dan menewaskan dua boss terawal. Expansion ini membawa pemain ke zon baharu yang dikenali sebagai Forsaken World, lengkap dengan watak serta jalan cerita serba baharu.
Namun di sebalik latar baharu ini, satu perkara sudah jelas sejak dari awal. Mask of Idris direka sebagai kesinambungan kepada CODE VEIN II, tanpa sebarang perubahan drastik terhadap formula asal.
Meneroka Forsaken World

Jalan cerita bertempat di Forsaken World, sebuah dunia terbiar yang terhubung dengan garis masa permainan yang berpecah-belah. Sepanjang penerokaan, anda akan membongkar sejarah silamnya secara perlahan-lahan dan mencantumkan semula peristiwa yang pernah berlaku di sana.
Dari segi visual, zon baharu ini mengekalkan estetika base game. Pemandangan runtuhan, rekaan persekitaran, serta suasana yang suram meneruskan identiti CODE VEIN II.
Oleh itu, sesiapa yang telah menamatkan game utama boleh terus terjun ke expansion tanpa sebarang “learning curve”. Gameplay loop asas kekal sama: teroka peta, cari laluan ke hadapan, tumpaskan musuh, dan mara ke kawasan seterusnya.
Walaupun ini memudahkan pemain untuk menyesuaikan diri, ia juga bermakna DLC ini tidak menawarkan perubahan yang ketara dari segi gameplay.
Bahaya Air Berasid dan Kemunculan Musuh Jenis Haiwan

Salah satu zon terawal yang diteroka dipenuhi takungan air berasid yang mengurangkan HP secara beransur-ansur setiap kali dipijak, memaksa kita lebih berhati-hati dalam setiap langkah.
Rekaan musuh pada bahagian awal turut menampilkan sedikit kelainan. Jika game utama didominasi musuh berbentuk manusia, DLC ini lebih tertumpu kepada raksasa berbentuk haiwan. Sebahagiannya berjalan tegak dengan dua kaki, manakala yang lain merangkak dengan empat kaki.
Kehadiran mereka memberikan kepelbagaian visual dan corak serangan tersendiri.
Dua Boss Fight Terawal

Dua sesi Boss Fight yang kami lalui juga mengekalkan formula standard IP ini. Kedua-duanya tidak terlalu susah; sebaik sahaja rentak dan corak serangan mereka difahami, mencari ruang selamat untuk mengenakan damage menjadi agak mudah.
Pilihan serangan, skill, dan variasi build watak yang luas turut memberikan kebebasan tambahan dalam merencana strategi bagi setiap pertarungan.
Jika sudah biasa dengan sistem combat sedia ada, Boss Fight ini tidak akan terasa seperti cabaran asing. Ini bukanlah satu kelemahan, tetapi membuktikan bahawa Mask of Idris dibina untuk mengukuhkan lagi asas sedia ada berbanding merombak gameplay.
Tarikan Sebenar adalah Jalan Cerita Baharu dan Ganjaran Partner

Selepas kira-kira 90 minit bermain, pembaharuan paling ketara dalam expansion ini adalah pada aspek naratif, watak-watak baharu, serta sistem companion.
Bahan promosi rasmi mengesahkan kemunculan Liv dan Lou dalam DLC ini. Selain itu, menamatkan jalan cerita expansion akan membuka variasi warna pakaian bagi kesemua 14 watak partner, yang turut boleh dibawa ke dalam save data dan sesi New Game seterusnya.
Bagi mereka yang menghargai jalan cerita dan barisan watak CODE VEIN II, inilah daya tarikan utama expansion ini. Penerokaan Forsaken World membuka ruang untuk melihat sisi baharu kepada naratif sambil menikmati interaksi watak.
Pendapat

Selepas meluangkan masa bersama Mask of Idris, kesimpulannya adalah expansion ini membawakan lebih banyak kandungan untuk CODE VEIN II, dan tidak menawarkan pengalaman gameplay yang begitu revolusi.
Kawasan baharu, musuh, boss, watak, serta naratifnya memberi alasan kukuh untuk bermain semula, namun asas permainan seperti combat, penerokaan, dan kemajuan watak tidak berubah.
Jika suka base game dan sekadar mahukan kesinambungan kisah, latar cerita, serta watak-wataknya, Mask of Idris adalah pilihan yang tepat. Namun, jika mengharapkan rombakan pada sistem combat, mekanik baharu yang kompleks, atau gameplay yang benar-benar segar, expansion ini mungkin terasa terlalu biasa.
DLC ini akan datang pada 9 September 2026 serentak dengan Update percuma Version 2.0 di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post