Bermula hari ini, Square Enix telah melancarkan demo percuma untuk RPG aksi terbaharu, The Adventures of Elliot: The Millennium Tales. Demo ini kini sedia untuk dimuat turun di semua platform termasuk Nintendo Switch 2, PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC melalui Steam dan Xbox.
Segala kemajuan atau save data yang dicapai dalam demo ini boleh dibawa terus ke versi penuh apabila ia dilancarkan secara rasmi bulan depan.
Walaupun pemain pernah diberikan peluang mencuba game tersebut sebelum ini, demo kali ini jauh lebih kemas. Square Enix menjelaskan bahawa mereka telah menambah beberapa kemas kini penting hasil daripada maklum balas pemain semasa “Debut Demo” yang lalu.

Antara perubahan adalah kelajuan larian Elliot yang lebih pantas, agar eksplorasi dunia terasa lebih lancar. Selain itu, pihak pembangun turut menambah tahap kesukaran baharu serta pelbagai penambahbaikan quality-of-life demi memastikan pengalaman bermain yang lebih memuaskan.
Merentasi Masa Bersama Elliot dan Faie
Game ini merupakan buah tangan terbaharu daripada Team Asano; pasukan kreatif di sebalik judul hebat seperti Bravely Default dan Octopath Traveler. Kali ini, mereka membawakan kelainan dengan memfokuskan kepada aksi yang lebih pantas, namun masih mengekalkan kualiti penceritaan yang menjadi identiti studio tersebut.

Berlatarkan dunia Philabieldia yang liar dan dipenuhi raksasa, anda akan mengikut pengembaraan Elliot bersama teman pari-parinya, Faie. Kisah bermula apabila runtuhan misteri ditemui di luar tembok kerajaan Huther… satu-satunya kubu terakhir umat manusia.
Penemuan ini membawa Elliot dan Faie ke dalam sebuah perjalanan yang merentasi empat zaman berbeza.

Dari segi gameplay, Elliot dibekalkan dengan tujuh jenis senjata yang boleh ditukar ganti, bermula daripada pedang konvensional hinggalah kepada senjata unik seperti rantai dan sabit untuk menarik musuh. Setiap senjata juga boleh diubah suai menggunakan “Magicite” mengikut pilihan anda.

Faie pula bukan sekadar peneman, kerana “Fairy Actions” miliknya sangat berguna dalam combat dan penyelesaian teka-teki. Dia mampu mengambil barang di kawasan yang sukar dicapai serta menyerang musuh dari jauh sementara Elliot menguruskan serangan jarak dekat.
Edisi Khas
The Adventures of Elliot: The Millennium Tales akan keluar pada 18 Jun 2026. Walau bagaimanapun, bagi pengguna Steam, game ini hanya akan tersedia sehari kemudian, iaitu pada 19 Jun.
Pra-tempahan digital kini dibuka di semua platform. Bagi mereka yang membuat tempahan awal, anda akan menerima “Elliot’s Departure Pack” yang mengandungi aksesori Departure Brooch (untuk meningkatkan hasil loot) serta Magicite Attack Up.

Bagi peminat tegar dan pengumpul koleksi, Square Enix turut menawarkan dua pilihan edisi premium:
- Digital Deluxe Edition: Dilengkapi dengan aksesori eksklusif seperti Fairy Bangle, Cherry Blossom Anklet, dan Roselle Ring.
- Physical Collector’s Edition: Set fizikal istimewa yang mengandungi game, runut bunyi original, serta sebuah patung jam meja yang menampilkan watak Faie.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post