Setelah berbulan-bulan spekulasi, harga rasmi bagi Grand Theft Auto VI (GTA VI/6) di Malaysia akhirnya didedahkan.
- Standard Edition: RM 339.00
- Ultimate Edition: RM 419.00

Ditawarkan pada harga RM 339.00, edisi Standard menunjukkan kenaikan harga yang drastik. Sebelum ini, game konsol premium current-gen di Malaysia biasanya dijual sekitar RM 299 hingga RM 319. Penanda aras baharu ini secara tidak langsung menetapkan standard harga yang lebih tinggi buat pelancaran judul-judul besar AAA akan datang.
Meskipun kenaikan harga tersebut sudah dijangka, pertikaian sebenar tertumpu kepada jurang harga RM 80 antara GTA VI Standard Edition dan Ultimate Edition. Selain menawarkan barangan kosmetik sebagai pilihan, Ultimate Edition juga menyekat banyak kandungan single-player, pilihan modifikasi, serta ciri open-world… sesuatu yang jarang sekali berlaku sebelum ini.
Apa yang Anda Terlepas Jika Membeli Edisi Standard?
Pembeli Standard Edition akan terlepas sebahagian besar aktiviti dan ciri open-world yang dikunci sepenuhnya. Antara lokasi, mekanik, dan fungsi eksklusif yang dihadkan hanya untuk Ultimate Edition adalah:
- Vehicle Mod Shop Dikunci: Pembeli edisi Standard langsung tidak boleh mengakses beberapa destinasi modifikasi penting seperti Rideout Customs di Vice City dan One-Eyed Willie’s di Lake Leonida. Ini bermakna anda tidak boleh mengubah suai kereta menjadi lowrider, menukar hiasan dalaman kenderaan, menukar rim, atau mendapatkan kemasan off-road lukisan tangan yang unik.

- Butik & Kedai Dandanan Dihadkan: Pemain Standard Edition tidak dibenarkan mengunjungi Stock 305, iaitu butik pakaian streetwear di daerah Stockyard. Malah, beberapa pengubahsuaian fizikal asas untuk watak pun turut disekat. Fungsi ringkas seperti menggayakan rambut unik, bersolek, mewarnakan kuku Lucia di Sara’s Unisex Salon, serta akses kepada lebih 50 tatu eksklusif di Electric Fang Tattoo, semuanya dikunci di sebalik edisi premium ini.

- Kehilangan Garaj dan Kenderaan: Ruang simpanan kenderaan tambahan (ciri yang sangat penting dalam Grand Theft Auto) diletakkan di sebalik tembok berbayar. Hanya pembeli Ultimate Edition boleh menggunakan Paradise Garage di Watson Bay yang dilengkapi weapon locker dan stor simpanan selamat. Beberapa kenderaan khas seperti kenderaan safehouse Jason (motosikal Dinka Enduro dan Crest Kayak) serta bot laju Shitzu Squalo yang berisi bahan letupan juga tidak boleh diakses oleh pemilik edisi Standard.

- Kehilangan dua Story Mission: Beberapa bahagian gameplay penting turut ditiadakan dalam Standard Edition. Ini termasuk tugasan khas daripada fixer tempatan, Wyman, untuk mencari dan memulihkan kereta projek klasik (empat daripadanya adalah eksklusif untuk Ultimate Edition), serta misi serbuan kubu kumpulan geng PTT Youngin$ di Southside Vice City.

Model Monetization yang bersifat “Predatory”
Sangat mudah untuk memahami mengapa komuniti gamer di seluruh dunia berasa kecewa. Sekiranya bonus Ultimate Edition sekadar menawarkan beberapa pasang pakaian atau skin kereta mewah, kebanyakan pemain pasti tidak kisah.

Namun, tindakan Rockstar Games and penerbit Take-Two Interactive mengunci elemen open-world yang sangat asas—seperti salon rambut, kedai tatu, bengkel modifikasi, dan garaj simpanan—menyebabkan mereka dituduh sengaja “memotong” kandungan game demi keuntungan. Ramai berpendapat bahawa Ultimate Edition (RM 419) dilayan seolah-olah ia adalah versi ‘yang patut dibeli’ bagi GTA VI, manakala pembeli Standard Edition (RM 339) terpaksa berpuas hati dengan pengalaman bermain yang terhad.

Bagi kebanyakan pemain, RM 339 sudah dikira sangat mahal untuk edisi Standard. Tindakan memaksa pemain berbelanja RM 419 semata-mata untuk membuka akses kepada kedai-kedai asas dalam game (di mana pemain masih perlu bersusah-payah melakukan grinding bagi membeli barangan tersebut) dilabelkan sebagai taktik monetization yang sangat melampau dan ‘predatory’.

Bagi mereka yang merancang untuk pre-order, sesi pre-loading digital akan bermula pada 12 November 2026, iaitu seminggu sebelum pelancaran rasmi pada 19 November. Salinan fizikal juga akan mula diedarkan di kedai-kedai pada tarikh yang sama bagi menyokong proses pre-loading, tetapi kotak tersebut hanya mengandungi kod digital tanpa sebarang disc fizikal di dalam.









Discussion about this post