Sebaik sahaja pre-order Grand Theft Auto VI (GTA VI/6) dibuka hari ini, Rockstar Games turut mengesahkan satu butiran penting; apabila game ini dilancarkan pada 19 November 2026, ia tidak akan disertakan dengan mod online multiplayer.
Di halaman rasmi PlayStation Store, ruang FAQ bertanya: “Adakah Grand Theft Auto VI menampilkan sebarang ciri atau mod multiplayer?” Jawapan rasmi yang diberikan: “Grand Theft Auto VI ialah sebuah single-player experience.”

Meskipun tiada mod multiplayer, strategi sebegini bukanlah sesuatu yang asing buat Rockstar. Peminat setia pasti ingat bahawa Grand Theft Auto V melancarkan story-mode single-player terlebih dahulu pada September 2013, sebelum GTA Online menyusul sebagai free update kira-kira dua minggu kemudian. Senario yang sama turut berlaku kepada Red Dead Online yang dilancarkan dalam fasa beta sebulan selepas Red Dead Redemption 2 dikeluarkan.
Mengikut rekod, Rockstar memang lebih gemar memberi peluang kepada pemain untuk menamatkan kempen cerita dan membiasakan diri dengan dunia permainan terlebih dahulu sebelum memperkenalkan elemen multiplayer.

Ketiadaan mod multiplayer juga menimbulkan tanda tanya lain. Memandangkan Take-Two Interactive sudah pun menetapkan harga game asas GTA VI setinggi RM 339, sesetengah pemain bimbang sekiranya mod multiplayer dalam game tersebut dijual secara berasingan sebagai DLC premium.
Sejak 2013, GTA Online sentiasa berfungsi sebagai ‘free title update’ untuk semua pemilik game asas GTA V. Bagaimanapun sepanjang sedekad yang lalu, ia telah berevolusi menjadi sebuah platform tersendiri. Rockstar kemudian melancarkan GTA Online sebagai pembelian digital berasingan untuk konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X/S pada tahun 2022 buat mereka yang hanya mahu beraksi secara online tanpa perlu bermain kempen single-player.

Adakah perkara ini akan berulang di dalam GTA VI? Adakah GTA Online akan disertakan juga di dalam GTA VI secara percuma? Adakah kami akan menerima versi baharu kepada GTA Online? Hanya Rockstar Games sahaja yang tahu.









Discussion about this post