Merupakan antara konvensyen gaming terbesar di dunia, gamescom 2026 telah melabuhkan tirai di Cologne, Jerman, serta menjadi edisi paling “bertaraf antarabangsa” setakat ini.
Acara ini berjaya menarik seramai 368,000 pengunjung dari 131 buah negara, dengan peningkatan sebanyak 6% bagi pengunjung antarabangsa yang berkunjung ke pusat pameran Koelnmesse.
Buat pertama kali dalam sejarah gamescom, ruang pameran seluas 233,000 meter persegi habis ditempah. Acara ini memecah rekod dengan penyertaan 1,743 syarikat pempamer dari 66 negara; peningkatan sebanyak 11% berbanding tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 72% pempamer datang dari luar Jerman, merangkumi 48 pavilion negara yang mewakili 41 buah negara.
Selain kehadiran ratusan ribu orang, Gamescom turut menyaksikan aktiviti perniagaan dan komersial yang semakin rancak. Lebih 36,000 “trade visitor” hadir, dengan hampir separuh daripadanya datang dari luar negara. Pihak penganjur menyatakan pertumbuhan tertinggi dicatatkan dari Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, dan Belanda, di samping peningkatan kehadiran eksekutif kanan studio dan penerbit.
Persidangan khusus untuk pembangun, gamescom dev, turut berkembang dengan kehadiran 6,200 pembangun game dan pencipta kandungan yang berdaftar; meningkat 15% berbanding tahun lepas.
Sebagai salah satu detik bersejarah bagi acara ini, Frank-Walter Steinmeier selaku Presiden Persekutuan Jerman menjadi presiden pertama yang sedang berkhidmat menghadiri gamescom. Beliau merasmikan pembukaan gamescom congress, di mana lebih 1,100 peserta membincangkan potensi permainan video dari sudut sosial, budaya, dan ekonomi.
Bagi para gamer yang menonton dari seluruh dunia, siaran digital gamescom mencatatkan sambutan luar biasa. Pada malam Sabtu sahaja, sesi siaran langsung dan kandungan digital acara telah merekodkan lebih 624 juta tontonan di seluruh dunia.
Antara tumpuan utama siaran digital termasuk:
- gamescom Opening Night Live (ONL): Mencapai 78 juta tontonan, membawakan pelbagai gameplay trailer besar, world premiere, serta pengumuman tarikh pelancaran game baharu.
- Awesome Indies Show: Jumlah tontonan melonjak lebih 670% kepada 302,000 tontonan, yang mengetengahkan studio indie ke khalayak global.
- gamescom Epix: Aktiviti pencarian digital yang interaktif ini menjana 6.2 juta paparan halaman, meningkat sekitar 9% berbanding tahun 2025.
Tahun ini turut menampilkan kemunculan debut acara kebajikan speedrunning, Games Done Quick (GDQ) di Eropah. Sebagai penghargaan atas impak komuniti dan usaha kutipan dananya, GDQ telah dianugerahkan anugerah berprestij gamescom Heart of Gaming Award.
Pihak penganjur mengesahkan bahawa gamescom 2027 akan kembali pada 23 hingga 29 Ogos 2027.
Jadual bagi acara tahun 2027 adalah seperti berikut:
- 23–24 Ogos 2027: gamescom dev (Persidangan Pembangun)
- 24 Ogos 2027 (Malam): gamescom Opening Night Live
- 25 Ogos 2027: Hari Perniagaan dan Media
- 26–29 Ogos 2027: Dibuka kepada orang awam
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.




![[Eksklusif] Bezakan Diri Daripada Battle Royale, PUBG: DED.NET Lebarkan Sayar Ke Genre Roguelite Multi-Match](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/PUBG-DED.NET_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post