ESL Gaming, syarikat e-sukan terbesar di dunia, pada hari ini telah mengumumkan sebuah ekosistem e-sukan mudah alih baharu untuk memberi peluang kepada jutaan pemain dari seluruh dunia untuk bertanding dan bergiat dengan permainan-permainan popular seperti Asphalt 9: Legends, Brawl Stars, Clash of Clans, Clash Royale, Legends of Runeterra, PUBG Mobile, dan League of Legends: Wild Rift.
Selepas kejayaan pelancaran ESL Mobile pada tahun 2019 di Amerika Utara dan Eropah, program baharu ini dikembangkan untuk melibatkan lebih ramai pemain dari wilayah-wilayah baharu, permainan-permainan yang menyeronokkan, dan format kompetitif yang dikemas kini.
Dalam usaha mewujudkan sebuah infrastruktur global merangkumi para pemain dan peminat, kejohanan ini akan memberi peluang kepada pemain dari lebih daripada 80 negara terpilih merentasi tiga wilayah kompetitif (Amerika Utara, Eropah/MENA, dan Asia-Pasifik). ESL telah bekerjasama dengan penerbit dan pembangun permainan popular seperti Gameloft, Riot, Supercell, dan Tencent untuk menawarkan peluang istimewa kepada pemain dan penonton untuk bertanding dan melibatkan diri dengan permainan-permainan paling popular di dunia.
Pada tahun 2021, ESL akan menganjurkan dua musim penuh bermula dengan ESL Mobile Spring 2021 pada bulan April ini. Setiap musim mengandungi dua peringkat kompetitif, ESL Mobile Open dan peringkat baharu ESL Mobile Challenge. ESL Mobile Open merupakan permulaan perjalanan dalam arena e-sukan untuk para pemain daripada semua tahap kemahiran untuk bertanding dalam permainan mudah alih popular. Pemain akan melalui dua fasa tangga permainan dan dua play-in untuk peluang menyertai ESL Mobile Challenge.
Persaingan menjadi lebih hangat di ESL Mobile Challenge di mana pemain-pemain terbaik daripada peringkat Open akan bertanding dengan pasukan-pasukan jemputan dalam format musim biasa hingga finals. Pertandingan di fasa Challenge akan diberi fokus dan diliputi dengan siaran langsung dan kandungan tambahan untuk memeriahkan lagi kejohanan ini kepada jutaan penonton dari seluruh dunia.
Walaupun musim pertama kejohanan ini akan dimainkan secara dalam talian sepenuhnya, pertandingan-pertandingan finals yang seterusnya akan dianjurkan secara luar talian di acara-acara e-sukan besar di seluruh dunia. Secara keseluruhannya, kejohanan ini menawarkan para pemain sebahagian daripada hadiah terkumpul yang berjumlah lebih daripada USD $650,000.
“ESL terkenal dengan usaha membina ekosistem kompetitif merentasi pelbagai permainan dan genre dalam landskap e-sukan. Kami sangat teruja untuk meneruskan rintisan dan pendekatan inovatif dalam ruang e-sukan mudah alih,” kata Kevin Rosenblatt, Pengarah Pengurusan Bersama di ESL Amerika Utara dan Pengurus Besar bahagian Mobile di ESL Gaming.
“Permainan mudah alih telah mencapai tahap populariti yang belum pernah dilihat sebelum ini dan ESL teruja untuk menawarkan program yang kompetitif dan sangat menarik ini kepada para pemain dan peminat.”
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari esl.gg/mobile. Siaran langsung akan disiarkan di saluran-saluran Twitch dan YouTube. Permainan bermula pada April 11.
Tarikh-tarikh pertandingan:
- April 11 – Mei 6, 2021: Mobile Open Play (Ladder #1)
- Mei 7 – Mei 8, 2021: Mobile Open Play-In Weekend (Ladder #1)
- Mei 10 – Jun 3, 2021: Mobile Open Play (Ladder #2)
- Jun 4 – Jun 5, 2021: Mobile Open Play-In Weekend (Ladder #2)
- Jun 15 – Julai 7, 2021: Mobile Challenge Regular Season
- Julai 17 – 18 dan Julai 22 – 23: Mobile Challenge Finals
@gamersantaimy
Discussion about this post