Setelah hampir sedekad mengharungi pelbagai pengembaraan, ancaman galaksi, dan kejayaan bersama komuniti, perjalanan Destiny 2 sebagai game live-service akhirnya bakal melabuhkan tirai.
Bungie mengumumkan bahawa kemas kini kandungan besar terakhir akan dilancarkan pada 9 Jun 2026, menandakan berakhirnya sebuah era bagi salah satu game looter-shooter paling berpengaruh dalam sejarah gaming.
Mula diperkenalkan pada 6 September 2017, Destiny 2 telah berkembang melalui puluhan musim dan expansion besar seperti Forsaken, The Witch Queen, dan Lightfall.
Sepanjang tempoh itu, game ini tetap bertahan walaupun terpaksa melalui fasa pertukaran platform, perpisahan dengan penerbit asal Activision, sehinggalah diambil alih oleh Sony.
Apa yang Menanti dalam Kemas Kini Terakhir?

Kemas kini pada 9 Jun bukanlah sebuah expansion, sebaliknya bertindak sebagai “penutup” yang bertujuan untuk memastikan kelangsungan game bagi jangka masa panjang.
Bungie mengesahkan bahawa Destiny 2 masih boleh dimainkan secara atas talian seperti biasa, mengikut jejak langkah Destiny pertama yang masih boleh diakses sehingga sekarang.

Matlamat utama kemas kini ini adalah untuk menjadikan Destiny 2 sebuah game yang “sentiasa relevan.” Ini merangkumi perubahan besar pada quality-of-life bagi memudahkan pemain baharu mahupun pemain lama mengakses kandungan tanpa lagi terikat dengan sistem pusingan musim.
Walaupun saga “Light and Darkness” sudah berakhir dalam The Final Shape, patch terakhir akan menyatukan segala aktiviti (dari Pale Heart hingga ke Lawless Frontier) menjadi satu pengalaman kekal yang lebih tersusun.
Peralihan ke Marathon dan Konflik Dalaman
Di sebalik “permulaan baharu” ini, laporan daripada Bloomberg mendedahkan situasi yang lebih mencabar di sebalik tabir. Menurut laporan tersebut, Bungie sedang berhadapan dengan proses penstrukturan semula yang melibatkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.
Laporan itu turut menjelaskan bahawa projek Destiny 3 disahkan tidak berada dalam pembangunan buat masa ini. Sebaliknya, Bungie dilaporkan telah memindahkan sumber dan tenaga pembangun mereka sepenuhnya ke arah ‘Marathon’.
Langkah ini diambil bagi memulihkan semula momentum studio tersebut selepas pelancaran Marathon dikatakan tidak mencapai sasaran awal.
Destiny 2 boleh dimainkan di PlayStation 5, Xbox Series X/S, PlayStation 4, Xbox One, dan PC.









Discussion about this post