Beberapa hari lepas, WB Games telah berkongsi trailer terakhir yang cukup padat dengan aksi untuk game terbaharu mereka, LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight.
Menggunakan lagu “Kiss from a Rose” nyanyian Seal (runut bunyi filem Batman Forever (1995)), video ini memaparkan babak sinematik dan gameplay terbaharu menampilkan Batman bersama barisan sekutunya.
Mereka semua akan bekerjasama untuk menumbangkan ancaman besar daripada kumpulan penjahat DC terkenal, seperti The Joker, Poison Ivy, Mr. Freeze, Two-Face, Ra’s al Ghul, serta Bane.

Berbeza dengan game LEGO sebelum ini yang biasanya membenarkan pemain mengawal ratusan watak, Legacy of the Dark Knight hanya memfokuskan kepada tujuh watak utama yang boleh dimainkan (Batman, Jim Gordon, Batgirl, Nightwing, Robin, Catwoman, dan Talia al Ghul). Setiap watak dibekalkan dengan abiliti dan gajet yang unik.
Sebagai contoh, Catwoman menggunakan cemeti sebagai senjata, manakala Gordon dilengkapi dengan pistol yang menyembur buih untuk melumpuhkan musuh.

Pemain akan dibawa ke Gotham City versi LEGO yang berkonsepkan open-world. Sistem combat dalam game ini juga telah dirombak sepenuhnya mengikut siri Batman: Arkham yang lebih matang, lengkap dengan sistem counter dan combo.

Selain beraksi di jalanan, pemain boleh pulang ke Batcave. Di sini, anda boleh mempamerkan pelbagai koleksi kenderaan seperti Batmobile dan Batcycle, serta menyusun koleksi Batsuit, trofi, dan barangan unik yang dikumpul sepanjang permainan.
Untuk bergerak pantas, pemain juga boleh memanggil kenderaan ikonik seperti Tumbler atau Batmobile 1989 pada bila-bila masa.
Dimainkan dari perspektif third-person, anda boleh memilih untuk bermain secara solo atau bersama rakan melalui mod local multiplayer.

LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Mei 2026. Walau bagaimanapun jika pra-tempah Deluxe Edition, anda boleh mula bermain empat hari lebih awal iaitu pada 19 Mei.
Game ini boleh didapati di PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC melalui Steam dan Epic Games Store. Versi Switch 2 akan menyusul kemudian pada tahun ini. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post