Kalau anda jenis yang suka melayan webtoon, pasti anda pernah terdengar tentang karya popular Viral Hit dari Korea Selatan. Berita baiknya, ia kini bakal muncul dalam versi live-action Jepun!
Netflix telah berkongsi trailer pertama bagi siri ini, dan peminat pun boleh mula menandakan kalendar kerana tarikh tayangan perdananya telah disahkan pada 11 Jun 2026.
Plot cerita mengikuti Kota Shimura (lakonan Ouji Suzuka), seorang pelajar sekolah menengah yang dihimpit kemiskinan dan sering menjadi sasaran buli di sekolahnya. Terdesak untuk mencari wang bagi menanggung kos perubatan ibunya yang sedang sakit, Kota menemui peluang dengan ‘live-streaming’ pertarungan jalanan.
Walaupun dia langsung tidak mempunyai pengalaman atau asas dalam seni bela diri, Kota tidak berputus asa. Dia mula melatih dirinya sendiri dengan hanya berpandukan video tutorial misteri daripada seorang “guru” yang memakai topeng ayam.
Apa yang asalnya hanyalah langkah terdesak untuk mencari sesuap nasi akhirnya bertukar menjadi satu fenomena tular di internet.
Dengan bantuan rakan-rakannya iaitu Aki Yashio (Ai Mikami) dan Kanegon (Araki Sugo) yang bertindak sebagai jurukamera, Kota mula mencabar lawan yang jauh lebih hebat… termasuklah jaguh MMA dan pakar taekwondo.

Siri ini menampilkan barisan pelakon Jepun yang cukup berbakat. Ouji Suzuka dipilih sebagai pelakon utama. Meru Nukumi pula memegang watak Kaho Asamiya. Antara watak pesaing yang bakal mencuri tumpuan ialah Noritaka Hamao sebagai bintang MMA, Tatsuya Ogi, dan Kentarō Maeda sebagai pakar taekwondo, Reo Shinjo.
Siri ini turut dihiasi dengan pelakon veteran seperti Mieko Harada yang memegang watak sebagai ibu Kota, manakala Yūsuke Iseya melakonkan watak Yugo Kuwata, seorang penganjur pertarungan bawah tanah yang licik.

Untuk konteks, webtoon asal merupakan hasil Taejun Pak, individu hebat yang juga mencipta siri popular Lookism. Sejak mula dilancarkan pada tahun 2019, Viral Hit terus mencetuskan impak dalam industri komik digital sehingga diadaptasi ke versi anime pada tahun 2024.




![[EKSKLUSIF] Membuka Potensi Arena Kompetitif Pokémon Asia – Temu Bual Bersama Jushiro Kitamura Dari The Pokémon Company](https://cdn.gamersantai.com/2026/05/Jushiro-Kitamura_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post