Saya tahu ramai yang menantikan Ghost of Tsushima. Pertama kali diumumkan semasa Paris Games Week 2017, ini adalah game pertama yang dibuat oleh Sucker Punch sejak Infamous Second Son dan Infamous First Light, yang kedua-dua dilancarkan pada tahun 2014. Sepatutnya keluar untuk PlayStation 4 pada 26 Jun, Ghost of Tsushima ditunda ke 17 Julai berikutan penangguhan The Last of Us Part II.
Pengembaraan open-world game ini sangat mendalam dan luas kerana menggunakan sejarah Jepun feudal sebagai inspirasi. Dianggap sebagai salah satu game terbesar untuk keluar di PlayStation 4 sebelum PlayStation 5 dilancarkan pada akhir tahun, pemain harus menewaskan askar paling menakutkan dalam sejarah. Mari kita selami segala maklumat yang saya perolehi dan apa yang anda patut tahu tentang game PlayStation 4 eksklusif ini.
Latar belakang
Pemain akan mengawal protagonis Jin Sakai, yang merupakan samurai terakhir dan satu-satunya pertahanan yang harus menentang segerombolan aksar Mongolia yang menyerang pulau Tsushima. Jin Sakai ialah samurai yang memegang pada prinsip, tetapi untuk selamatkan negaranya, dia harus lupa tentang tradisi, berubah menjadi pahlawan baru, dan melindungi segalanya yang dia hargai tanpa pedulikan apa-apa cara.
Berdasarkan serangan pertama Mongolia ke atas Jepun pada tahun 1274, tentera-tentera Mongolia, yang menggunakan senjata dan taktik militari yang tidak diketahui oleh orang Jepun, telah menakluki dan menghancurkan banyak negara dan hanya tinggal Tsushima sahaja di antara mereka dan tanah besar Jepun.
Sudah tentu, Jin tidak akan melawan tentera Mongol tersebut seorang diri dan harus mencari sokongan rakan lama atau sekutu baru -seperti Masako, pemanah yang kita lihat dalam trailer permainan dan Ishikawa, yang memberi busur kepada Jin. Jelas, untuk merekrut warga-warga Tsushima demi berperang di sisimu bukanlah sesuatu yang mudah – tetapi amat diperlukan.
Watak-watak
Jin Sakai: Semasa Jin memulakan permainan sebagai samurai, dia akan belajar kemahiran dan menggunakan taktik yang menyerupai ninja untuk membentuk identiti baru bernama Ghost. Semasa bermain, anda akan belajar lebih banyak mengenai Jin, dan ancaman yang dihadapinya, sekutu yang membantunya sepanjang perjalanan, dan apa yang harus dia gadaikan untuk menjadi kuat.
Shimura: Shimura adalah Jito (tuan) Tsushima. Dia adalah samurai serta pakcik kepada Jin. Shimura melatih Shimura sejak kecil dengan cara samurai tradisional, dan semakin bimbang dengan taktik yang Shimura mula pakai ketika dia meninggalkan ajarannya untuk menjadi Ghost.
Khotun Khan: Khan ialah jeneral dan pemimpin askar Mongolia yang menyerang Pulau Tsushima. Seorang yang kejam dan sangat licik, dia menggunakan semua ilmu yang dia tahu tentang samurai untuk membunuh mereka. Dia adalah musuh brutal, dan tidak harus dipandang rendah.
Sebenarnya ada banyak lagi watak, tapi saya taknaklah spoiler semua di sini. Di atas adalah tiga watak utama yang membentuk jalan cerita permainan di Ghost of Tsushima.
Sistem pertempuran Ghost of Tsushima
Ghost of Tsushima menawarkan dua pilihan kepada pemain di mana anda boleh bermain sebagai Samurai atau Ghost. Seorang Samurai sentiasa berdepan dengan musuh bersenjatakan katana dan busur anak panah, manakala Ghost membunuh musuh daripada bayang-bayang dengan bantuan alatan ninja. Jangan silap sangka. Kedua-dua Samurai & Ghost bukanlah mod berbeza dan merupakan cara pendekatan pemain di dalam permainan. Di bawah saya akan menjelaskanya dengan lebih khusus.
Sebagai samurai, pertahanan adalah fokus utama. Jin sentiasa berjaga-jaga, dan tidak banyak bergerak untuk membiarkan musuh datang kepadanya. Walaupun dia dapat menyerang musuh dengan bebas menggunakan pedang, “parry” atau mengelak dapat membuka pertahanan musuh untuk satu serangan membunuh. Dengan fokus kepada ketepatan, mengkaji pergerakan musuh adalah lebih bagus daripada menyerang sesuka hati.
Serangan ini memang mengerikan dan boleh memotong anggota badan musuh. “Parry” juga boleh digunakan semasa bertarung dengan musuh yang ramai. Apabila bertarung dengan orang ramai, anda perlu menepati masa “parry” dengan betul untuk menepis semua jenis serangan, termasuk pedang, tombak, perisai, dan anak panah. Di atas badan musuh, anda boleh lihat sebuah bar yang dapat dikosongkan dengan serangan pemain. Sekiranya kosong, musuh akan terhuyung-hayang dan terdedah kepada serangan anda. Jangan tunggu lagi! Mari membantai!
Resolve adalah mekanik pertempuran yang penting di Ghost of Tsushima yang diwakili oleh bulatan-bulatan kecil di atas HP bar di sudut kiri bawah. Semasa anda membunuh atau “parry” musuh, bar Resolve akan mula dipenuhi dan muncul sebagai bulatan kuning. Anda dapat menggunakan Resolve untuk menyembuh semula HP atau menggunakan teknik-teknik khas dalam pertempuran.
Walaupun kita boleh bertarung secara berdepan, itu tidak bermakna Jin tidak boleh gunakan alatan ninjanya. Antara alatannya ialah:
- Kunai
- Sticky bomb
- Smoke bomb
- Firecracker
- Wind chime
- Black powder bomb
- Explosive arrow
Antara kaedah yang pemain boleh guna bersama alatan di atas ialah seperti membuang wind chime untuk mengalihkan perhatian musuh, atau menggunakan smoke bomb untuk membutakan mereka. Walaupun anda tertangkap pun, Kunai boleh dilemparkan untuk mencederakan musuh berdekatan bagi melambatkan pergerakan mereka.
Sekiranya bimbang untuk melawan tentera Mongolia secara berdepan, anda boleh menggunakan teknik penyelinapan untuk membunuh mereka dan menimbulkan rasa takut. Di sini, kita tidak perlu bersusah payah dan serang hendap mereka daripada lokasi yang selamat. Apabila menyelinap di belakang musuh, anda boleh menekan butang [empat segi] untuk membunuh mereka dengan senyap dengan tikaman pisau ke leher.
Semasa bermain sebagai Ghost, mereka akan belajar untuk takut dan melarikan diri apabila melihat kelibat anda. Menjadi Ghost adalah sesuatu yang orang boleh kata pengecut atau penakut, tetapi ia merupakan pendekatan yang berkesan. Jangan kantoi pula! Nanti sia-sia usaha anda. Elakkan pandangan musuh, yang ditunjukkan melalui meter visual di atas kepala mereka. Selagi tidak penuh, posisi anda masih selamat.
Untuk membantu mencapai tempat sembunyi yang lebih baik, Jin mempunyai “grappling hook” untuk memanjat bangunan atau persekitaran yang lebih tinggi dan boleh digunakan semasa lompat. Lokasi yang tinggi dapat digunakan untuk “death from above“, yang boleh diteruskan ke musuh kedua jika ada yang berdekatan.
Selain itu, anda boleh mengalihkan perhatian musuh dengan melemparkan “wind chime” atau “firecracker”. Musuh akan menyiasat bunyi pelik itu, lalu memudahkan anda untuk memecahbelahkan formasi mereka. Terdapat juga segmen di mana anda dapat berjumpa sekumpulan musuh lalu mengaktifkan sistem “slow-motion” yang melambatkan masa untuk Jin membunuh semua musuh berturut-turut sekaligus.
Di samping itu, objek di sekeliling juga boleh digunakan oleh Jin untuk bantu membunuh musuh seperti menembak sarang tebuan supaya ia kejar askar, atau menembak tong minyak yang kemudian akan meletup pada sekumpulan askar.
Protagonis boleh menggunakan “stance” (gaya pertempuran) yang berbeza untuk jenis musuh yang berbeza. Stance yang berbeza boleh melakukan lebih banyak damage pada jenis musuh tertentu, dan anda dapat melihatnya pertukaran stance pada cara Jin memegang pedangnya dan menyerang. Harus diingatkan bahawa setiap gaya pertempuran boleh ditukar pada bila-bila masa dan boleh digunakan untuk mana-mana musuh. Untuk Stone stance, ia boleh didapati pada awal permainan, tetapi Water stance hanya akan dibuka selepas Jin tawan tiga atau lebih kawasan Mongolia. Perkara yang sama diaplisikan untuk Wind dan Moon stance di mana jumlah yang perlu ditawan akan bertambah untuk dibuka. Berikut adalah senarai:
Stone Stance: Berkesan untuk musuh yang memakai pedang;
Water Stance: berkesan untuk tentera berperisai;
Wind Stance: Berkesan untuk musuh yang memakai lembing;
Moon Stance: Berkesan untuk musuh-musuh yang besar dan tinggi;
Apabila musuh mengetahui lokasi anda, yang ditunjukkan melalui meter visual yang dipenuhkan di atas kepala mereka, anda dapat menekan d-pad [atas] untuk memasuki adegan “standoff”, yang merupakan pertempuran sinematik yang bergantung pada masa dan kesabaran. Sucker Punch Productions menjemput khas dua orang samurai Jepun sebenar yang merupakan pakar Tenshinryu Hyohou untuk melakukan “motion capture” dan panduan aksi. Saya berharap pemain tidak cepat bosan macam saya lah. Mula-mula, memanglah “wow! cool gila ada gaya ala-ala filem” tapi kalau dah sampai berpuluh-puluh kali tengok, siapa je yang tidak bosan.
Walaupun pertempuran adalah antara fokus utama, ia sebenarnya sedikit mengecewakan. Secara keseluruhan, aksinya memang hebat tetapi tiada apa-apa yang baru. Operasi pertempurannya tidak lancar berbanding permainan lain yang saya cuba dan sudut pandangan pemain amat sukar untuk dikawal kadang-kala, dan boleh dihalang oleh pokok atau bangunan semasa bertarung.
Sama juga untuk aspek Ghost. Musuh tidak boleh “lock-on”, dan kita perlu mengubah pandangan sendiri. Banyak kali saya dijumpai oleh musuh dan gagal untuk menyembunyikan diri lalu terpaksa bertarung mereka. Sebagai info yang terakhir, kadang kala musuh yang tertewas sebenarnya masih belum mati, jadi anda sendiri perlu periksa dan memberi “final kill”.
Sistem Naik Taraf
Teknik adalah kemahiran khas yang Jin boleh belajar, menambah baik, dan guna dalam pertempuran. Ia dapat dilihat dengan masuk ke menu Techniques dan mempengaruhi pengalaman pemain dalam memerangi pelbagai musuh. Bergantung pada pilihan anda, anda boleh memilih untuk menjadikannya sebagai pahlawan yang hebat, pembunuh yang licik, atau gabungan antara keduanya.
Gunakan skill point untuk membuka kemahiran baru atau naik taraf kemahiran sedia ada. Perkara pertama adalah untuk melihat sama ada anda ingin menjadi Samurai atau Ghost. Sekiranya anda ingin bermain membunuh secara senyap, disarankan agar skill point ditambahkan ke kemahiran Ghost terlebih dahulu. Ubah suai kemahiran Jin mengikut waktu dan belajar taktik baru untuk dapatkan kelebihan ketika mempertahankan pulau Tsushima dan rakan-rakan. Landskap adaptif dan pendekatan organik untuk bertarung menjadikan pulau Tsushima sebagai lokasi yang sempurna untuk mencampurkan dan memadankan kemahiran, senjata, dan taktik untuk mencari gabungan pertempuran paling tepat bagi gaya permainan anda.
Tapi bukan itu sahaja.. Jin juga mempunyai empay teknik tertentu bernama Mythic Techniques yang memerlukan cas Resolve untuk menggunakannya. Mythic Techniques tidak boleh dibuka dengan skill points dan memerlukan pemain untuk menyelesaikan misi sampingan. Kalau nak buka pun susah, terang-terang teknik ni kuat! Dikelaskan sebagai seni pertempuran legenda, Mythic Techniques ialah serangan pasti membunuh yang tidak boleh ditahan serta boleh takutkan musuh sekeliling.
Adakah Ghost of Tsushima susah?
Ghost of Tsushima sebenarnya tidaklah susah sangat berbanding siri Dark Souls atau Sekiro tetapi itu tidak bermakna ia tidak mencabar. Dengan fokus pada pemain hardcore, ia mempunyai kesukaran yang akan menyesuaikan diri ketika watak anda semakin kuat. Askar Mongolia yang paling lemah pun sebenarnya dapat membunuh anda dengan cepat, walaupun anda sudah jauh maju dalam permainan.
Sebagai contoh, askar Mongolia boleh menyerang dengan lima kombo. Masa reaksi mereka adalah sangat lambat pada serangan pertama, tetapi kelajuan pada serangan seterusnya adalah lebih cepat. Selain itu, beberapa musuh juga akan menggunakan taktik serangan hendap beramai-ramai. Semasa mempertahankan daripada satu musuh, anda juga harus memperhatikan tindakan musuh lain. Bila anda main, barulah anda tahu kesukaran yang saya maksudkan.
Pada masa yang sama, musuh akan ditemani oleh burung helang atau anjing pemburu yang tanggungjawab adalah untuk mengesan Jin. Sekiranya terkantoi, mereka juga akan menyerang Jin. Elemen-elemen di atas hanya akan menambah kesukaran dan ia terpulang kepada kreativiti anda untuk cari cara baru bagi mengatasinya.
Pengembaraan dunia luas
Sucker Punch memilih Jepun feudal sebagai latar belakang mereka kali ini. Sebagai ringkasan, Ghost of Tsushima berlaku pada tahun 1274, dan anda berada di pulau Tsushima yang terbahagi kepada 3 bahagian. Setiap peristiwa ini berlaku di atas pulau tersebut yang dipenuhi dengan pelbagai lokasi, bandar, dan orang. Anda akan meneroka di persekitaran yang luas sambil menemui watak-watak unik, mercu tanda kuno, dan keindahan alam semula jadi Tsushima yang terdiri daripada kawasan ladang, kuil kuno, hutan, pinggiran desa dan kawasan pergunungan.
Skala dunia Tsushima memang luas, dan anda memiliki kebebasan untuk menjelajahnya ikut sesuka hati. Anda boleh berjalan kaki, memanjat dinding, dan menunggang kuda (pemain dapat memilih kuda dan namakannya) di sepanjang perjalanan. Dunianya memang terperinci, dan merupakan tempat yang anda boleh berehat seketika untuk menikmati keindahannya.
Tiada titik arah ditunjukkan di paparan skrin yang selalunya menjadi panduan ke mana anda harus pergi kerana Sucker Punch ingin meminimumkan maklumat yang dipaparkan. Sebaliknya, pemain akan menggunakan peta hitam-putih untuk menandakan lokasi yang ingin pergi. Jin kemudian akan melemparkan bunga ke udara untuk mengetahui arah angin ke lokasi tujuannya. Tindakan ini, yang bernama Guiding Wind, akan menunjukkan jarak di sudut kiri atas skrin yang memberitahu Jin sejauh mana dia perlu pergi.
Walaupun anda mempunyai kebebasan untuk menjelajahi dunia, banyak destinasi akan dihuni oleh tentera Mongolia. Apabila menemui lokasi baru, nama kawasan akan diberitahu bersertakan amaran bahawa ia adalah “kawasan Mongolia.” Setelah menawan kawasan itu, peta akan menunjukkan kawasan di bawah kuasa anda, dan pada masa yang sama, memperolehi sumber dan peningkatan yang penting.
Ketika dia menemui lokasi baru, Jin akan menemui kuil-kuil Inari yang dapat diinteraksi melalui panduan seekor musang. Dia diberi pilihan untuk “honor the shrine.” Sekiranya anda buat, Jin boleh membuka slot Charm tambahan untuk meningkatkan abiliti pertempurannya. Harus diingatkan bahawa tiga kuil diperlukan untuk membuka satu slot Charm baru.
Sekiranya menemui burung emas, jangan lupa untuk mengikutinya. Ia akan membawa anda ke kolam air panas yang belum diterokai. Kolam air panas ini dapat meningkatkan kekuatan fizikal dan memulihkan kesihatan maksimum. Akhir sekali tentang pengembaraan ialah ketika jalan cerita semakin maju, jika pemain sudah sampai peta ketiga, mereka tidak boleh kembali ke peta pertama atau kedua.
Sistem customization
Set baju perisai Jin boleh diubah suai sepenuhnya, dan ia bukan hanya sekadar untuk penampilan. Set perisai yang berbeza akan membawa kelebihan dan efek yang berbeza untuk kedua-dua gaya pertempuran Samurai dan Ghost. Setiap kali meningkatkan perisau atau baju Jin, penampilannnya juga akan ubah. Sebagai contoh, jika meningkatkan perisai ke tahap baru, ia akan menambah perisai tambahan di bahu atau menukar reka bentuk topi perisai.
Semasa menjelajah dunia, anda dapat mengumpul sumber yang boleh dijadikan pewarna untuk mengubah warna pakaian. Anda boleh mengutip buluh, kain, dan apa-apa yang disenaraikan sebagai “supplies” untuk aspek customization. Malah, daun-daun yang anda kutip pun boleh digunakan untuk mengubah perisai.
Charm yang saya sebut di atas juga boleh meningkatkan alatan Jin. Jika dia menggunakan Charm of Unseen Respite, bom asapnya menambah balik 25% HP-nya. Charm of Toxic Demise pula boleh menambah racun pada alatan Wind Chime. Charm of Okuninushi pula membolehkan Jin untuk perlahan-lahan memulihkan HP-nya di luar pertempuran. Betapa pentingnya Charm!
Fitur-fitur tambahan
Untuk mereka yang gemar filem samurai Jepun, Ghost of Tsushima menampilkan efek “black-and-white” yang mengubah permainan seperti filem klasik samurai. Untuk mod foto, Sucker Punch menambah beberapa fitur unik. Selain daripada pilihan biasa seperti depth of field, color grading, kedudukan kamera dan lain-lain, pemaju mahu pergerakan dan momentum permainan ditunjukkan dalam foto-foto ini. Mod foto membolehkan anda mengubah kelajuan dan arah angin, serta memilih partikel yang terapung di sekeliling Jin. Mod foto juga membolehkan anda memilih lagu daripada soundtrack permainan, yang memberi anda vignette-vignette kecil berbanding sebuah foto statik.
Pendapat
Pelbagai permainan video dan filem mengambil pengaruh daripada budaya samurai. Untuk Ghost of Tsushima, yang mempunyai banyak rujukan pada filem samurai klasik dan dunia open-world luas dan serba indah, ia akan dikenali sebagai salah satu permainan video utama yang akan dikeluarkan secara eksklusif untuk konsol PlayStation 4, sebelum PlayStation 5 dan Xbox Series X keluar pada hujung tahun ini.
Ghost of Tsushima akan mengakhiri era PlayStation 4 sebagai sebuah karya yang menunjukkan kerumitan emosi sebuah media interaktif yang sedang berkembang. Saya sangat kagum dengan usaha mereka untuk menjadikan game ini antara yang terbagus daripada segi sejarah dan tidak sabar untuk tahu bagaimana ia akan memajukan barisan game akan datang.
Ditemani beberapa peningkatan pada sistem permainan keseluruhan, saya rasa ia layak menjadi salah satu permainan video terbaik di PS4 berkat kesungguhan Sucker Punch untuk memperkenalkan sesuatu yang baru untuk genre yang sudah terkenal.
Walaupun ada beberapa kekurangan dengan sistem pertempuran dan elemen permainan seperti menggunakan butang R2 untuk berinteraksi (memang saya kekok), saya memberi 9/10 kepada Ghost of Tsushima kerana nilai pembaharuan yang diterapkan. Saya berharap game ini menarik untuk anda seperti mana ia menarik untuk saya dan jangan lupa untuk dapatkan Ghost of Tsushima apabila ia keluar pada 17 Julai nanti. Untuk segala liputan, berita, temuramah eksklusif kami bersama pemaju Ghost of Tsushima, sila klik di sini. Maka, saya tamatkan ulasan ini dan sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
The Review
Ghost of Tsushima
Ghost of Tsushima akan mengakhiri era PlayStation 4 sebagai sebuah karya yang menunjukkan kerumitan emosi sebuah media interaktif yang sedang berkembang. Dengan kajian menyeluruh pada budaya dan sejarah Jepun, serta beberapa peningkatan pada sistem permainan keseluruhan, saya rasa ia layak menjadi salah satu permainan video terbaik di PS4 berkat kesungguhan Sucker Punch untuk memperkenalkan sesuatu yang baru untuk genre yang sudah terkenal.
PROS
- Jalan cerita yang menarik
- Sistem pertempuran yang inovatif
- Mekaniks yang berbeza dengan game open-word lain
CONS
- Kawalan kamera yang kurang bagus dan sering terhalang
- Aspek "stealth" tidak ada pembaharuan
Discussion about this post