Berita baik buat para peminat anime kerana Ani-One Asia mengumumkan pada beberapa hari lepas bahawa ia akan menstrim Mobile Suit Gundam: The Witch From Mercury, My Master Has No Tail, dan anime Blue Lock di platform YouTube mereka.
Ani-One Asia telahpun menstrim episod prekuel Mobile Suit Gundam: The Witch From Mercury manakala anime utama korang boleh strim pada 2 Oktober pukul 5:00 petang GMT+8. Mobile Suit Gundam: The Witch From Mercury merupakan siri anime terbaru Gundam setelah tujuh tahun.
Berikut adalah serba sedikit mengenai jalan cerita bagi siri utama Gundam:
“A.S. (Ad Stella) 122―
Satu era apabila banyak syarikat telah mula dibuka dan membina ekonomi yang besar. Seorang gadis dari planet terpencil, Mercury berpindah ke Asticassia School of Technology, dikendalikan oleh Beneritt, Group yang mendominasi industri mobile suit.
Nama gadis tersebut ialah Suletta Mercury. Dengan cahaya merah terang yang membara dalam hatinya, gadis ini akan melangkah ke sebuah dunia yang baru.”
Siri anime terbaru yang diadaptasi daripada manga My Master Has No Tail yang dihasilkan oleh TNSK juga akan membuat debut pada 30 September pukul 11:00 malam GMT+8.
Berikut adalah serba sedikit mengenai jalan cerita anime ini:
“Mameda, seorang gadis tanuki yang bermimpi untuk menjadi manusia lalu mengubah penampilannya menjadi seorang gadis manusia yang cantik dan pergi ke bandar Osaka yang sibuk.
Walau bagaimanapun, seorang wanita cantik, Bunko berjaya melihat melalui samaran Mameda. Bunko ialah seorang ahli rakugo dan dia menunjukkan cara untuk membuang sihir pada manusia hanya dengan kata-kata, bukan ilusi. Selepas itu, Mameda merayu Bunko untuk menjadi gurunya. Fantasi rakugo Era Taisho kini bermula!”
Dan terakhir sekali adalah anime sukan bola sepak Blue Lock berdasarkan manga yang dihasilkan oleh Muneyuki Kaneshiro dan Yūsuke Nomura – korang boleh strim anime ini pada 9 Oktober di platform YouTube Ani-One Asia.
Berikut adalah sinopsis untuk Blue Lock:
Cerita ini bermula apabila Jepun dikecualikan dari Piala Dunia FIFA 2018, lalu mendorong Persatuan Bola Sepak Jepun untuk memulakan program bagi menilai pemain sekolah menengah untuk Piala 2022.
Isagi Youichi adalah seorang penyerang, dan dijemput ke program ini selepas pasukannya gagal mara ke pusingan seterusnya. Ini berlaku kerana dia memberi bola kepada rakan sepasukannya yang kurang mahir dan tidak berusaha untuk menjaringkan gol kemenangan sendiri. Malangnya, rakan sepasukan tersebut tersasar dan mereka kalah.
Selepas berbincang mengenai keadaan bola sepak Jepun pada masa ini, Persatuan Bola Sepak Jepun mengupah seorang jurulatih eksentrik bernama Ego Jinpachi untuk mencapai impian memenangi Piala Dunia.
Sekarang, Ego Jinpachi harus menjadi jurulatih mereka, dan merancang untuk “menghancurkan bola sepak tradisional Jepun” dengan melancarkan latihan inovatif baru yang melibatkan 300 penyerang muda di sebuah fasiliti bernama “Blue Lock”.
Di situ, dia akan memberi latihan intensif untuk mewujudkan “penyerang egois terhebat di dunia.”
Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan lebih banyak berita menarik mengenai anime, filem, game dan banyak lagi daripada kami.
@gamersantaimy
Discussion about this post