The Last of Us Part 1 telah pun dilancarkan ke PC. Kami tahu ramai yang ternanti-nantikan game ini, lebih-lebih lagi tayangan episod akhir siri adaptasi game itu. Kami telah pun review game ini di PS5 beberapa bulan yang lalu. Jadi review kami untuk The Last of Us Part 1 PC akan lebih fokus kepada prestasi game serta ciri-cirinya. Jadi tanpa membuang masa, jom teruskan membaca!
Sebelum kami mulakan, kami telah main TLOU Part 1 PC sebelum update patch terbaru dan menggunakan PC dengan spesifikasi seperti berikut:
- Intel Core i5-13500
- AMD RX 6650 XT 8GB
- 16GB RAM
- 1440p Monitor
Permulaan yang perlukan kesabaran
Seperti yang ramai komen, game ini tidak bagi anda lompat terus ke gameplay kerana ia perlu “build shaders.” Dengan spesifikasi PC kami tadi, hampir sejam juga menunggu untuk ia selesai. Paling dahsyat sekali, waktu itu habis semua CPU, GPU dan RAM habis digunakan. Baru dekat menu pula tu. Belum masuk game lagi. Memang jauh betul beza prestasi awal dengan game PC Sony seperti God of War dan Marvel’s Spider-Man.
Prestasi dalam game
Untuk masuk ke gameplay pula, ambil masa 5 minit juga untuk load walaupun pakai SSD. CPU, GPU dan memori juga masih kekal dengan penggunaan pada 90% sehingga 100%. Sudah masuk game, banyak sangkut pula, lebih-lebih lagi apabila kami tutup FSR2 atau main dengan setting tinggi melebihi keperluan VRAM. Banyak kali juga game itu crash, hampir setiap sejam ke dua jam semasa bermain.
Kalau anda gunakan kad grafik 8GB VRAM seperti kami, tak perlulah berangan untuk main dengan tetapan grafik yang tinggi. Sebabnya kami bermain dengan tetapan medium dan ia sudah makan hampir kesemua VRAM. Kalau tetapan tinggi pula, ia memerlukan sehingga 9GB VRAM dengan FSR2. Kalau anda masih cuba untuk main dengan grafik tinggi, memang sangkutlah sepanjang bermain.
FSR2 sangat membantu
Kebanyakan game PC Sony menyokong ciri FSR, kerana ia bukan sahaja boleh digunakan dengan kad grafik AMD, malah ia juga menyokong kad grafik NVIDIA yang bukan RTX. Ia memang sesuai untuk pemain yang mempunyai PC kentang.
Bercakap tentang prestasinya, FSR2 boleh menaikkan prestasi game pada PC kami, tetapi masih bergantung kepada tetapan grafik yang digunakan. Anda boleh lihat data dibawah:
- 1440p Medium Setting
- FSR2 Off: 10 – 15 FPS
- FSR2 On: 40 – 60 FPS
- 1080p High Setting
- FSR2 Off: 30 – 50 FPS
- FSR2 On: 45 – 60 FPS
- 1080p Medium Setting
- FSR2 Off: 60 – 70 FPS
- FSR2 On: 60 – 70 FPS
Nak pakai DualSense? Tiada masalah!
Hampir semua game PC Sony menyokong controller DualSense. Anda hanya perlu plugkan sahaja pada PC dan mula bermain. TLOU Part 1 PC menyokong haptic feedback dan dynamic trigger, jadi memang seronok bermain dengan controller ini.
Kalau bermain dengan mouse dan keyboard juga tiada masalah. Ia masih lagi selesa dimainkan. Layout butang sangat mudah digunakan, dengan tangan kiri boleh fokus pada keyboard manakala tangan kanan sentiasa pada mouse. Jadi jangan risau jika anda tiada controller.
Game cantik tapi tidak dioptimumkan
Walaupun game mempunyai banyak bug, tetapi ia masih lagi menyeronokkan. Terima kasih kepada sokongan ultrawide resolution yang membuatkan game ini kelihatan cantik. Anda boleh lihat dengan lebih luas yang menunjukkan keindahan dunia tersebut.
Masalahnya apabila cutscene, ia tidak ditayangkan dengan ratio 21:9, tetapi 16:9 dengan ada bar hitam pada sisi. Ia kelihatan pelik sebab ia hanya tertumpu kepada bahagian tengah yang dikelilingi bar hitam. Habis sahaja cutscene, ia akan kembali kepada mode ultrawide dengan lancar. Nasib baik tidak crash.
Kesimpulan
The Last of Us Part PC merupakan game yang sempurna jika kita melihat daripada sudut gameplay, visual dan penceritaan. Tetapi apabila melihat kualiti port PC, game ini masih memerlukan banyak penambahbaikan. Kami tahu pembangun juga berusaha untuk menyelesaikan masalah ini supaya pemain dapat mengalami pengalaman bermain yang lancar. Harap-harap ia tidak mengambil masa yang lama.
@gamersantaimy
Discussion about this post