Filem terakhir untuk siri The Equalizer bakal hadir ke pawagam tidak lama lagi. Kami telah berpeluang untuk menonton filem tersebut sebelum tayangannya pada 31 Ogos ini! Jadi tanpa membuang masa, berikut adalah review jujur kami untuk The Equalizer 3.
Sejujurnya, plot untuk filem The Equalizer 3 ini sangatlah ringkas tanpa sebarang twist dan benda-benda lain. Jadi jangan anda jangkakan ada sesuatu yang begitu besar berlaku nanti. Sama seperti filem terdahulu, kita melihat Robert McCall (Mendel Washington) yang membelasah orang-orang jahat tanpa sebarang masalah. Memang assassin yang terbaik tetapi ada juga saat-saat di mana dia sendiri mengalami depresi dan nampak seperti tiada tujuan hidup.
Filem terakhir ini membawa kita melihat Robert yang kini dikenali sebagai Roberto yang tinggal di sebuah bandar kecil di selatan Itali setelah menyelesaikan misi rahsianya di Sicily, Itali. Dia yang akhirnya menemui tempat untuk tinggal ingin menikmati keamanan di bandar tersebut tetapi gangguan mafia telah membuatkannya kembali dengan dendam yang kuat. Senang cerita, ada sesuatu yang terjadi membuatkan Robert memulakan misinya dalam menumpaskan kumpulan mafia tersebut. Itu sahaja yang kami boleh ceritakan. Kalau nak tahu lebih kenalah tontonnya sendiri di pawagam nanti.
Bagi kami, penceritaannya tidaklah begitu sukar untuk difahami. Kalau anda tidak lihat filem terdahulu, anda akan masih faham apa yang ingin disampaikan. Cuma kami kecewa melihat cara kumpulan mafia tersebut ditumpaskan. Memang lemah betul kumpulan tersebut. Robert kalahkan mereka dengan masa yang begitu pendek.
Watak-watak sampingan lain juga tidak begitu menyerlah. Sebagai contoh Emma Collins (Dakota Fanning) yang merupakan seorang ejen CIA yang terlibat dengan satu kes dadah yang berkait dengan kumpulan mafia tadi. Tetapi setelah terlibat dengan satu insiden, terus kita tidak nampaknya sehinggalah bahagian terakhir filem. Memandangkan Robert tinggal di sebuah bandar kecil, sudah tentu dia akan berhubung dengan beberapa watak di sana. Walaupun mereka ini tidak dikembangkan dengan baik, tetapi kami suka melihat bagaimana mereka memberi sokongan terhadap satu sama lain apabila dalam kesusahan.
Kepada anda yang mungkin pernah tonton filem The Equalizer 1 dan 2, rasanya anda tahu bagaimana Washington membawa watak Robert. Aksi yang ditunjuk masih lagi hebat, mencerminkan seorang assassin yang profesional. Cara dia menyerang dengan begitu tangkas membuatkan mangsanya tidak sempat untuk bertindak atau melakukan apa-apa, kelihatan sangat cool. Tetapi apabila di luar, dia kelihatan seperti lelaki biasa dengan jenaka yang tidak kelakar langsung.
Dengan Itali menjadi latar belakang filem, anda akan didedahkan dengan beberapa bahagian bandar yang kelihatan meriah, cantik dengan pemandangannya dan juga sebuah gereja lama dengan sejarahnya yang tersendiri. Melihatnya membuatkan kami ingin ke Itali dan rasai sendiri perasaan Robert yang kelihatan tenang di sana.
Kesimpulan
The Equalizer 3 mungkin akan menghampakan beberapa peminat, tetapi ia masih lagi memberikan penamat yang baik kepada watak Robert yang sudah bersara daripada kerja lampaunya. Aksi yang ditayangkan masih lagi hebat tetapi cara ketua mafia itu tumpas memang sangat mudah. Kalau boleh kami ingin lihat sesuatu yang lebih mencabar daripada mafia tersebut. Apa pun, kalau anda ingin melihat penamat kisah Robert, bolehlah pergi ke pawagam apabila filem ini keluar nanti.
Untuk mendapatkan berita lain mengenai filem daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post