Dunia gaming transport simulation bakal menerima tambahan baru dengan pelancaran Transport Fever 3 akan datang. Dibangunkan oleh Urban Games, sekuel ini menjemput pemain untuk mereka bentuk dan mengoptimumkan rangkaian logistik yang besar, memacu pertumbuhan ekonomi dari awal abad ke-20 hingga ke era moden.

Kami berpeluang untuk berbual bersama Manu Mikael Oehler, seorang Senior 2D/3D Artist yang telah bersama Urban Games sejak penubuhannya, untuk membincangkan inovasi utama dan reka bentuk yang membentuk masa depan siri taikun ini.
Permulaan yang Lebih Laju dan Seronok

Salah satu perubahan dalam Transport Fever 3 ialah garis masa permulaannya. Walaupun siri sebelumnya bermula pada tahun 1850 untuk merakam permulaan zaman kereta api, pasukan di Urban Games telah membuat keputusan untuk menganjakkan garis permulaan ke hadapan.
“Kami sedar bahawa bahagian awal game ini agak perlahan,” jelas Oehler. “Untuk memperbaiki alirannya, kami memutuskan untuk memulakan Transport Fever 3 pada tahun 1900-an. Dengan cara ini, pemain mendapat akses kepada kereta api dan teknologi yang lebih baik dengan lebih cepat, menjadikan gameplay di peringkat awal lebih menarik.”
Game ini akan berkembang merentasi zaman moden dan menjenguk sedikit ke masa depan, walaupun Oehler sambil ketawa mengesahkan mereka tidak akan “membawa masuk kereta terbang buat masa ini!”

Falsafah reka bentuk yang berpusatkan pemain ini juga merangkumi landskap bandar yang terperinci. Walaupun pemain akan melihat penduduk bandar menjalani kehidupan harian mereka, simulasi ini direka untuk menyokong tujuan utama gameplay.
“Simulasi ini dipermudahkan di mana penduduk pada asasnya pergi bekerja, membeli-belah, dan pulang ke rumah,” kata Oehler. “Ia direka untuk menyokong aspek gameplay pengangkutan dan bukannya menjadi simulasi kehidupan bandar yang lengkap.”
Walau bagaimanapun, sistem ini telah ditambah baik dengan tahap kebahagiaan yang baharu, satu ciri taikun yang direka untuk memberi maklum balas yang lebih mendalam tentang keberkesanan pengangkutan mereka dan impaknya terhadap pertumbuhan bandar.
Seni dan Cabaran Reka Bentuk Kenderaan

Mencipta semula sejarah pengangkutan yang merangkumi lebih seratus tahun adalah satu tugas yang sangat besar, dan pasukan seni di Urban Games telah menyelidik dan mereka bentuk koleksi kenderaan klasik yang luas dengan teliti. Oehler mengakui cabaran yang dihadapi, terutamanya dengan model-model lama.
“Sesetengah kenderaan lama sememangnya rumit kerana sukar untuk mencari bahan rujukan yang tepat,” katanya.
Walaupun ada halangan ini, pengalaman luas pasukan tersebut membolehkan mereka mengisi jurang dengan sedikit tafsiran kreatif.
“Ia tidaklah hiper-realistik seperti game simulator, jadi kami mempunyai sedikit kebebasan kreatif semasa mereka bentuknya agar sesuai dengan gameplay.”

Apabila ditanya jenis kenderaan yang paling sukar untuk direka, Oehler menunjuk kepada saiz kapal yang besar dan kerumitan pesawat. Cabaran terbesar terletak pada usaha mengimbangi antara realisme dengan gameplay.
“Bahagian yang rumit mengenai kapal ialah saiznya yang sangat besar dalam kehidupan sebenar, tetapi oleh kerana dunia kami tidak dibina mengikut skala sebenar, kami perlu mencari keseimbangan yang betul apabila mengecilkannya untuk game,” jelasnya.
Proses yang teliti ini memastikan setiap kenderaan, dari trak terkecil hingga kapal kargo terbesar, dapat dimuatkan dalam dunia simulasi permainan.
Peranan Komuniti dalam Visi Global

Urban Games sentiasa memupuk hubungan yang kuat dengan para pemainnya, dan Transport Fever 3 adalah cerminan langsung semangat kolaboratif tersebut.
Studio ini secara aktif menyokong komuniti modding yang besar dan bersemangat, menyediakan mereka dengan alatan dan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan game ini dengan cara yang kreatif. Dialog yang terbuka ini telah mewujudkan persekitaran yang sangat positif.
“Salah seorang rakan sekerja saya, yang sebelum ini bekerja di studio yang lebih besar, menyatakan bahawa dia tidak pernah bekerja untuk game yang disambut begitu mesra oleh pemain,” kongsi Oehler dengan bangga.

Hubungan dengan komuniti ini juga mendorong pengembangan global game tersebut. Setelah memberi tumpuan terutamanya kepada Eropah dan Amerika, siri ini kini meluaskan jangkauannya ke Asia dengan kemasukan kereta api dari China dan Jepun.
Langkah ini sebahagiannya diilhamkan oleh semangat yang semakin meningkat daripada pemain di rantau ini.
“Kami melihat peningkatan jumlah pemain di China, yang mungkin akan mempengaruhi perancangan masa depan kami,” dedah Oehler.
Beliau mengakhiri perbualan dengan jemputan ikhlas untuk lebih banyak maklum balas antarabangsa, terutamanya daripada peminat baharu.
“Kami benar-benar ingin mendengar lebih banyak suara daripada pemain Malaysia! Kadang-kadang pemain mencadangkan, ‘Hei, kenapa tidak tambah kereta api ini?’ — dan itu membantu kami menemui kenderaan baharu yang menarik dari seluruh dunia.”

Game ini bakal dilancarkan pada tahun 2026 untuk PC (Steam, Epic Games Store), PlayStation 5, dan Xbox Series X/S. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[Eksklusif] Mengapa Transport Fever 3 Melangkau Era Awal Kereta Api? Interviu Bersama Manu Mikael Oehler](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/TRANSPORT-FEVER-3_INTERVIU_FI-750x375.jpg)



![[TGS25] Previu No Straight Roads 2 – Cubaan Pertama Memakai Casey, Ternyata Irama Lagi Padu](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/NSR2_PREVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post