Legasi dahulu yang disayangi ramai sememangnya menggerunkan, tetapi bagi Erika Ishii, melangkah ke dunia Ghost of Yōtei bukan sekadar mengikut jejak langkah lama, tetapi lebih kepada mencipta laluan yang baharu.
Sebagai pelakon suara dan pelakon performance-capture untuk Atsu, protagonis hebat dalam sekuel spiritual kepada Ghost of Tsushima, Ishii berdepan tugas besar untuk mencipta seorang wira yang mampu berdiri sendiri sambil menghormati sebuah legasi yang disegani.

Hasilnya ialah watak yang tidak dapat dijangka dan sebuah perjalanan yang dilalui Ishii dengan rasa hormat, dan pelaburan peribadi.
Mencipta Wira Baharu

Sejak awal lagi, Ishii sedar akan perbandingan yang pasti akan dibuat antara wataknya, Atsu, dengan Jin Sakai dari Ghost of Tsushima. Walaupun beliau mengakui prospek itu pada mulanya menakutkan sebagai peminat game asal, beliau menemui keyakinan dalam perbezaan asas antara kedua-dua pahlawan tersebut.
“Dia sangat berbeza daripada Jin dan semua perkara yang saya suka tentang Jin tiada padanya,” jelas Ishii. “Dia tidak puitis, dia tidak terhormat, malah dalam beberapa aspek dia jauh kurang matang berbanding Jin.”
Perbezaan inilah yang menjadi pegangannya, membolehkan beliau membina watak yang tidak ditentukan oleh kehormatan, tetapi oleh emosi yang mentah dan liar.

Perjalanan Atsu penuh liku, bermula dengan gelaran “Onryo”, roh pendendam yang dibelenggu satu tujuan. Untuk mengharungi peralihan watak ini, daripada makhluk yang penuh dendam kepada insan yang mempunyai tujuan baharu, Ishii memuji penulis dan pengarah permainan kerana menyediakan satu peta jalan yang jelas.
“Seolah-olah mereka memberi saya peta perjalanan wataknya,” kenang beliau, yang terbukti penting kerana babak-babak dirakam tanpa mengikut kronologi. Visi panduan ini membolehkannya menentukan keadaan emosi Atsu pada setiap masa. Namun, di sebalik luaran Onryo yang keras, tersimpan kerapuhan.
Ishii mengimbangi dualiti ini dengan menyelami inti pati watak tersebut. “Saya rasa di lubuk hatinya, dia seorang yang penakut dan masih seperti kanak-kanak,” katanya, sambil menekankan bahawa fokus kepada kenangan zaman kanak-kanaknya adalah kunci untuk “mengekalkan sisi kemanusiaan sepanjang perjalanannya.”
Cabaran dan Keriangan di Pentas Lakonan

Menghidupkan watak yang begitu sarat dengan emosi memerlukan penghayatan terhadap detik-detik kemarahan dan kesedihan yang menyeksakan, satu proses yang dianggap Ishii mengujakan dan bukannya memenatkan. Sebagai seorang pelakon, beliau menghargai peluang untuk meneroka spektrum emosi yang luas.
“Itulah impian sebagai seorang pelakon,” katanya, menggambarkan suasana meriah di set di mana babak-babak tegang dan penuh tangisan akan serta-merta disusuli dengan sorakan gembira “yay!” sebaik sahaja pengarah memberhentikan rakaman.
“Saya memandang serius peranan dan detik itu, tetapi bukan diri saya sendiri,” kongsi Ishii, menonjolkan proses yang berakar pada fokus profesional dan bukannya lakonan kaedah.
“Bagi saya, ia sangat menggembirakan sepanjang masa.”

Semangat kolaboratif ini diperhebatkan lagi di pentas performance-capture, di mana beliau berpeluang, sesuatu yang jarang berlaku dalam lakonan permainan video, untuk bekerja secara langsung dengan pelakon lain.
Persekitaran dinamik ini membolehkannya untuk “terbawa-bawa dalam detik itu” dan menyampaikan persembahan yang terasa reaktif dan hidup. Walaupun penuh intensiti, Ishii mengekalkan pemisahan jelas antara dirinya dan Atsu.
Mengibaratkan prosesnya seperti berada di dalam panggung yang gelap, beliau menjelaskan, “Saya sentiasa boleh nampak tanda keluar.” Namun, setelah sekian lama hidup dengan watak itu, hubungan itu masih terjalin.
“Kami orang yang sangat berbeza tetapi berpeluang menjadi Atsu dalam perjalanan yang begitu panjang… saya rasa kami seperti kawan baik.”
Mendalami Dunia Samurai dan Yōtei

Sebagai persediaan untuk watak itu, Ishii mendalami tradisi penceritaan samurai yang kaya. Sebagai peminat tegar filem-filem Kurosawa, jidaigeki, dan interpretasi moden seperti Kill Bill dan Samurai Champloo, beliau mendapati penyelidikan itu adalah lanjutan semula jadi dari minatnya.
“Kerja rumah sangat menyeronokkan kerana saya hanya perlu duduk menonton semua filem kegemaran saya,” katanya sambil ketawa.
Cinta terhadap genre ini, daripada persembahan hebat Toshiro Mifune hinggalah kepada watak inspirasi Barat “man with no name,” menjadi inspirasi kepada lakonannya sebagai Atsu.

Penghargaan terhadap kesenian ini turut merangkumi dunia Ghost of Yōtei itu sendiri. Ishii bercakap tentang latar game ini, menggalakkan pemain untuk menyelami persekitarannya yang direka dengan teliti.
“Landskap Ezo terasa seperti satu watak tersendiri,” katanya. “Saya harap pemain mengambil masa kerana pasukan pembangun telah mencipta dunia yang sangat indah untuk diterokai.”
Setelah menyaksikan evolusi game ini dari seni konsep hinggalah ke bentuk akhirnya, beliau menggambarkan pengalaman pertama kali bermain demo sebagai sesuatu yang hampir sureal. Selepas bertahun-tahun membina dunia itu dalam fikirannya, “melihatnya secara nyata… terasa seperti magis.”
Senjata Pilihan dan Sentuhan Peribadi
Apabila bercakap tentang gaya tempur Atsu yang unik, Ishii mempunyai senjata kegemaran yang jelas dari koleksinya.
“Dual Katana. Tanpa ragu-ragu,” isytiharnya.
Pilihannya diilhamkan oleh samurai legenda, Miyamoto Musashi dan semangat pemberontakan yang diwakilinya.
“Saya rasa ada sesuatu yang sangat mengujakan tentang romantisnya seorang samurai dengan dua pedang dan betapa luar biasanya ia,” jelasnya. “Mana-mana samurai yang terlatih secara klasik tidak akan terfikir untuk melakukannya, tetapi Atsu pula melakukannya mengikut caranya sendiri, apa sahaja yang berkesan.”
Pilihan ini merumuskan sifat Atsu yang pragmatik dan tidak konvensional. Walaupun beliau belum melihat semua set perisai dalam game, Ishii menyuarakan keterujaannya terhadap pilihan kosmetik, kerana beliau gembira pemain akan mempunyai banyak cara untuk mengubah suai penampilan Atsu.

Bagi Ishii, peranan sebagai Atsu sangat istimewa berbanding kerjayanya yang luas dalam dunia permainan video atas satu sebab yang sangat peribadi: keakraban. Perjalanan selama tiga tahun itu membenarkan tahap kolaborasi dan pembangunan watak yang jarang berlaku dalam industri ini.
“Saya tidak pernah melakonkan watak yang mempunyai wajah saya dan adalah saya, serta saya dapat membinanya dari asas, termasuk cara dia bergerak dan corak pertuturannya,” renungnya.
Melangkah ke pentas bunyi Sony buat kali pertama adalah sesuatu yang menggerunkan dan juga merupakan pemenuhan impian seumur hidup.
Akhirnya, memikul gelaran Ghost adalah satu “penghormatan yang sangat, sangat menakutkan”, tetapi ia telah mengukuhkan tempat Atsu bukan sahaja dalam legasi gaming, tetapi juga di hati pelakon yang menghidupkannya.
Ghost of Yōtei kini tersedia untuk PlayStation 5. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS25] Apa Yang Diperlukan Untuk Menghayati Watak Atsu Dalam Ghost of Yōtei? Interviu Bersama Pelakon Utama Erika Ishii](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/GHOST-OF-YOTEI_INTERVIU_FI-750x375.jpg)

![[Eksklusif] Sejarah di Sebalik Penubuhan Massive Monster Bersama Co-Founder Jay Armstrong](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/Jay-Armstrong_IWX-2026_FI-350x250.jpg)

![[TGS25] Sucker Punch Mengubah Formula, Inilah Sebab Ghost of Yōtei Bukan Sekuel Langsung Kepada Tsushima!](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/GHOST-OF-YOTEI_INTERVIU-SUCKER-PUNCH_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post