Tales of Arise oleh Bandai Namco baru sahaja keluar hari ini, dan mungkin ramai yang sudah beli atau pre-order. Sekiranya korang memiliki game ini tetapi masih baru kepada francais, mungkin ada yang tertanya: “Apa yang harus aku lakukan dulu atau apa perkara penting yang patut aku tahu sebelum memulakan game?” Hah, panduan ini sesuai untuk anda! Artikel ini mengandungi petua, tips dan info penting yang sepatutnya dapat membantu para beginner untuk lebih memahami tentang permainan sebelum korang mula berjuang di Tales Of Arise! Tanpa melengahkan masa, inilah panduan asas Tales of Arise untuk pemain baru!
Sentiasa “looting” setiap masa

Mengutip barang atau sumber daya dalam mana-mana JRPG memang meletihkan, lagi-lagi jika jika kita asyik mendapat barang walaupun tahu tidak akan digunakan lagi. Ini menyebabkan banyak kes di mana orang cepat bosan dan hanya fokus pada jalan cerita. Tales of Arise pula amat berbeza kerana setiap bahan yang kita kutip sebenarnya sangat berguna tidak kira walaupun ia barang biasa atau jenis “rare”.
Selain crafting atau memasak, terdapat banyak aktiviti sampingan di mana kita harus memberikan bahan tertentu kepada NPC. Jika korang dengar cakap saya dan tidak berhenti mengutip barang, anda dapat menyelesaikan misi ini serta merta tanpa perlu mencari bahan-bahan tersebut. Yang membuatkan lagi stresss adalah tidak ada petunjuk khusus di mana kita patut mencari bahan-bahan itu. Jadi lebih baik anda mengutip semua barang untuk menjimatkan masa daripada mengembara tanpa hala tujuan hanya untuk menyelesaikan satu misi mudah. Bukan itu sahaja, ada juga item Herb khusus yang dapat memberikan “permanent buff” kepada stat yang secara langsung menguatkan watak kita.
Eksperimen dengan semua watak yang ada

Jika nak ikutkan, anda boleh bermain sebagai satu watak sepanjang game ini, tetapi ia adalah lebih baik untuk bereksperimen dengan watak-watak berbeza. Ini menjadikan pertempuran lebih menarik kerana setiap watak mempunyai gaya unik sendiri ketika bertarung. Alphen, Law dan Kisara mengkhususkan diri dalam pertempuran jarak dekat, Shionne dan Rinwell dapat menggunakan tenaga astral untuk bertarung dari jarak jauh, manakala Dohalim merupakan hibrid dan mempunyai campuran gaya pertempuran.
Ada juga watak seperti Kisara yang tidak dapat menggunakan mekanik “dodging” (mengelak), tetapi menggunakan perisai untuk mempertahankan diri dan anggota parti. Mengeksperimen dengan watak yang berbeza juga sangat penting apabila watak yang kita kawal dibunuh oleh musuh. Daripada menunggu dia hidup semula, lebih baik kita menjaga momentum dengan mengawal watak lain.
Jaga timing antara dodge & Boost Attack

Tales of Arise nampak seperti game action RPG, tetapi ia bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan. Game ini lebih kompleks dan ada beberapa elemen yang korang perlu tahu secara khusus lagi. Sebagai contoh, Arise menumpukan lebih banyak perhatian kepada “dodging” dan counterattack (menyerang balas), jadi blocking atau guarding tidak menjadi pilihan melainkan jika anda bermain sebagai Kisara. “Timing” sangat penting kerana anda bukan sahaja dapat menyerang balas musuh dari jarak jauh, malah dapat memulihkan AG (Artes Gauge) yang digunakan untuk Artes Skill. Jika kita melakukan “perfect dodge”, ia juga mempercepatkan lagi meter Over Limit, yang merupakan fasa di mana kita dapat spam Artes Skill tanpa sebarang kos AG dan mengaktifkan Mystic Artes.
Selain dodging, perkara lain yang anda perlu perhatikan adalah timing untuk Boost Attack. Seperti yang saya kata dalam review, Boost Attack serangan istimewa yang boleh dilakukan oleh setiap anggota parti pada bila-bila masa dengan syarat Boost Gauge (BG) harus penuh.
Berikut adalah senarai Boost Attack bagi setiap setiap watak dan waktu terbaik untuk melakukannya:
Alphen: Dengan menggunakan Perk istimewa Flaming Edge, Alphen akan meghayunkan pedang berapi yang membakar segala-gala yang disentuh. Perk ini memang kuat dan mampu menewaskan musuh mana pun (termasuk bos). Semakin sikit HP-nya, semakin banyak damage yang dilakukan.
*Anda boleh melakukan Boost Attack ini pada bila-bila masa, tetapi lebih baik ketika menyerang titik kelemahan musuh atau bos.*
Shionne: Shionne boleh menembakkan banyak pancaran cahaya yang dapat menembus pertahanan musuh dan memiliki jarak serangan yang luas. Serangan ini berkesan pada musuh di udara, kerana dapat menjatuhkan mereka.
*Anda dapat melakukan Boost Attack ini pada bila-bila masa, tetapi lebih bagus digunakan untuk melawan musuh yang terbang di udara.*
Rinwell: Boost Attack milik Rinwell adalah yang terbaik dalam game ini. Dia dapat mengawal tenaga astral untuk melemahkan musuh sambil melancarkan Artes Skill. Musuh yang terkena akan “down” sementara (lebih kurang seperti Stun) dan Rinwell boleh mencuri skil mereka, lantas membuat musuh tidak dapat menggunakan skil tersebut untuk sementara waktu.
*Masa terbaik untuk menggunakan Boost Attack ini adalah ketika musuh mengecas Elemental Artes (sihir berasaskan elemen).*
Law: Watak ini sangat efektif pada musuh berperisai, kerana dapat menembus pertahanan mereka dengan mudah dalam satu serangan padu.
*Masa terbaik untuk menggunakan Boost Attack ini adalah apabila melawan musuh kuat yang menggunakan perisai atau Zeugle dengan pertahanan kuat. Anda juga dapat menggunakan Boost Attack ini ketika bertarung dengan bos untuk melemahkan pertahanan mereka dengan menyerang titik kelemahan.*
Kisara: Dia akan menanamkan perisai gergasi ke tanah untuk menyerang musuh sambil melindungi anggota parti. Sekiranya terkena musuh, ia akan “downed-kan” serta melemahkan serangan mereka. Skil ini juga meningkatkan pertahanan fizikal dan elemen anggota parti.
*Boost Strike ini cukup fleksibel untuk ofensif dan defensif, dan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa tetapi ia lebih baik digunakan ketika melawan musuh yang dalam status “downed”.
Dohalim: Akan menyeru pokok menjalar dari tanah untuk memerangkap dan menyerang musuh. Boost Attack ini berkesan ketika melawan musuh yang tangkas seperti monyet atau Zeugle jenis serigala, kerana menghalang mereka daripada bergerak.
*Guna Boost Attack ini apabila melawan musuh yang hyperaktif dan tangkas. Malangnya, Boost Attack ini hanya menyerang satu musuh dalam jarak AoE yang kecil.*
Sentiasa susun Artes Skill

Skil atau nama rasminya, Artes, adalah sesuatu yang boleh anda dapat dengan menaikkan level atau maju dalam jalan cerita utama. Artes dibahagikan kepada jenis Ground dan Aerial, di mana korang boleh memilih tiga Arte untuk setiap bahagian. Apabila semakin maju dalam permainan, anda akan mendapat akses ke set Artes kedua. Set ini akan menggandakan jumlah skil yang boleh dipegang oleh satu watak. Oleh itu, jika anda merasakan pertempuran semakin repetitif atau lebih sukar, lebih baik periksa susunan Artes Skill dan melihat jenis kombo apa yang lebih sesuai dengan situasi semasa, kerana beberapa Artes lebih kuat daripada yang lain.
Tingkatkan Artes Skill bila ada peluang

Kita sebenarnya dapat menaikkan tahap semua Artes Skill untuk menjadikannya lebih kuat. Bagaimana cara-caranya? Sebenarnya sangat mudah. Korang hanya perlu kerap menggunakan Arte tersebut hingga capai jumlah tertentu. Bagaimana nak tahu berapa kali kita pakai Artes tersebut? Terdapat satu penunjuk khusus bernama “Count” di menu Arte, untuk mengesan jumlah total yang diperlukan untuk mencapai tahap berikutnya. Cara paling berkesan untuk menaikkan tahap Arte adalah dengan melawat lokasi lama di mana musuh lebih lemah dan menggunakan formasi solo supaya proses lebih cepat. Oleh kerana kita hanya dapat tingkatkan satu Arte pada satu masa, fokus pada Arte itu sehingga ia mencapai tahap yang anda inginkan.
Cuba untuk dapatkan lebih banyak AG

Artes Gauge atau AG adalah sumber yang digunakan untuk melakukan Artes Skill. Oleh kerana Artes tertentu memerlukan lebih dari satu AG, anda perlu mendapatkan lebih banyak AG supaya watak dapat meneruskan ofensif tanpa kehilangan momentum. Kita boleh mendapatkan AG tambahan dengan membuka nod tertentu dari Skill Panel bagi setiap watak. Terdapat juga skil pasif yang dapat meningkatkan lagi masa pemulihan AG. Ini pun boleh diutamakan semasa fasa early game.
Jangan lupa makan!

Aktiviti memasak kembali dalam Tales of Arise dan janganlah anda memandang rendah kepada tahap keberkesanannya. Aktiviti ini boleh diakses semasa berehat di Inn atau Camp, di mana anda boleh memasak resepi yang memberi buff sementara. Bergantung pada siapa yang memasak, tahap dan tempoh buff juga adalah berbeza . Oleh itu, ia bukan sahaja tentang memilih resepi apa yang memberi buff sesuai, kerana kita juga perlu memilih watak mana yang dapat memasak dengan bagus untuk menggandakan lagi kesan.
Pastikan diri memilih peralatan terbaik!

Walaupun sudah mendapat senjata atau perisai yang baik dari lokasi sebelum, kita selalu akan jumpa peralatan yang lebih baik tidak lama selepas itu. Inilah sebab mengapa penerokaan dan looting amat penting, kerana anda memerlukan bahan dan sumber daya untuk membuat senjata. Pada masa yang sama, korang juga berpeluang mendapatkan peralatan hebat sambil mencari harta karun.
Petua akhir saya adalah jangan menjual senjata atau peralatan lama. Untuk membuat senjata, kita harus mempunyai versi senjata yang lebih lemah sebagai salah satu bahan utama, jadi pastikan anda melihat dulu inventori jika barang itu masih boleh digunakan atau tidak.
Maka, tamatlah panduan Tale of Arise saya untuk pemain baru. Tales of Arise secara rasmi dikeluarkan hari ini di PC, PS4, PS5, Xbox One, dan Xbox Series X/S. Untuk segala liputan kami tentang Tales of Arise termasuk panduan Beginner dan petua watak, sila tekan pautan ini. Saya harap petua-petua di atas dapat membantu anda semasa bermain!

@gamersantaimy
Discussion about this post