Kalau pergi ke arked, mesti anda akan jumpa satu mesin game gendang. Kalau anda ingin tahu, game itu juga ada versi konsol malah entri terbaru juga sudah dilancarkan. Game tersebut ialah Taiko no Tatsujin: Rhythm Festival. Ia sudah tersedia Nintendo Switch. Kami tahu mesti anda ingin tahu jika game ini berbaloi atau tidak untuk dimainkan. Jadi tanpa membuang masa, jom kita teruskan dengan review untuk Taiko no Tatsujin: Rhythm Festival.
Cerita
Untuk cerita, anda akan sampai di Omiko City dan menerokanya. Untuk menjadi Taiko Master yang hebat, anda akan menjelajah bersama kawan lain iaitu DON- Chan dan Kumo-kyun. Kalah anda ingin tahu, Kumo-kyun merupakan watak terbaru dalam francais ini.
Kawalan dalam Game
Dalam game Taiko no Tatsujin, anda perlu ambil berat tentang kawalannya. Kalau tidak agak susah untuk anda mainkannya nanti. Kalau anda sudah mempunyai Nintendo Switch Drum, memang bagus sangat untuk anda gunakannya untuk bermain. Sudah tentu ada alternatif lain yang anda boleh gunakan untuk bermainnya. Selain daripada controller drum tersebut, anda boleh gunakan butang, skrin sentuh dan motion control.
Kalau anda seseorang yang suka main secara santai atau di luar, boleh sahaja gunakan butang untuk bermainnya. Jangan lupa pula untuk pilih set butang yang selesa untuk anda mainkan. Kalau tidak berbelit jari itu nanti. Seperti biasa, agak susah untuk anda menekan kesemua butang apabila keluar note “stream”. Jadi mungkin anda perlukan controller khas yang membolehkan anda untuk dapatkan full combo.
Kalau tidak mahu gunakan controller lain, boleh sahaja gunakan mode touch screen. Seperti game rhythm dalam fon, ia memang senang untuk dimainkan. Anda tidak perlu risau jika banyak note yang keluar pada satu masa. Cuma kena pandai main tetapan game, kalau tidak note anda akan terhalang dengan jari pula.
Anda yang ingin “feeling” main seperti drum, boleh gunakan joy-con sebagai drumstick dalam mod motion control. Anda hanya perlu gerakkan joy-con untuk menekan note yang dipaparkan. Tetapi sensor pergerakannya tidaklah begitu terperinci. Jadi jangan pelik kenapa banyak note salah. Mod ini agak seronok juga dimainkan, melainkan anda ingin dapatkan full combo, jauhkan diri daripada mod ini.
Senarai lagu yang banyak
Untuk base game, sudah ada banyak lagu. Kalau anda langgan music pass bulanan, hampir 500 lagu tersedia untuk anda mainkan. Setiap lagu dalam senarai dibahagikan mengikut genre masing-masing seperti lagu anime, game, Vocaloid, Pop (ada K-Pop dan J-pop), Variety, Classical dan Namco Original. Kalau anda peminat game rhythm, ada juga lagu “Freedom Dive” dalam ini. Mesti anda tahu bagaimana “seksa”nya bermain lagu tersebut. Kembali kepada pas lagu bulanan tadi, terdapat dua pilihan tersedia seperti berikut:
- 30 hari berharga 3.99$
- 90 hari berharga 9.99$
Pelbagai mode untuk dimainkan bersama
Bosanlah kalau ada satu mode sahaja. Nasib baik Taiko no Tatsujin: Rhythm Festival mempunyai banyak mode menarik untuk dimainkan. Boleh tahan juga mode yang tersedia. Antara mode tersebut ialah:
- Taiko Mode: Boleh dikatakan sebagai mod biasa untuk dimainkan. Anda bebas untuk memilih lagu yang ada pada library anda. Boleh dimainkan secara seorang atau beramai-ramai. Terdapat juga GOOD Match, di mana pemain yang mendapat banyak GOOD akan menang.
- Great Drum Toy War: Lawan pemain lain atau Comp dengan “dek kad mainan”. Anda perlu menggunakan seberapa banyak kad sambil mengecas kad tersebut. Kad akan lebih pantas dicas jika anda mendapatkan note Perfect. Setiap kad mempunyai efek tersendiri yang membolehkan anda untuk sabotaj pihak lawan. Anda boleh membeli lebih banyak kad di kedai menggunakan coin yang diperoleh daripada gameplay.
- Don-chan Band: Mod co-op sehingga 4 orang untuk memainkan lagu sama seperti sebuah band. Setiap pemain akan mempunyai bahagian mereka sendiri. Akan ada satu masa di mana semua pemain perlu menekan note secara serentak. Kalau terlepas note tersebut, ia dianggap gagal. Note pada pemain juga mempunyai bunyi mereka sendiri, jadi ikut pada pemain, ia boleh menjadi harmoni ataupun huru hara.
- Taiko War: Di sinilah tempatnya untuk anda dapatkan aksesori luaran jika anda berjaya memasuki leaderboard.
Kalau anda ingin tahu, Don-chan boleh diubah rupanya. Malah ucapannya juga boleh diubah. Jadi semasa main dalam talian, tidaklah Don-chan anda kelihatan sama seperti pemain lain. Terdapat juga item yang boleh dibeli menggunakan coin dalam game. Kalau “timing” note anda janggal, ia boleh ditukar melalui tetapan. Untuk pemain baru, anda boleh sahaja lawati practice mode untuk berlatih dahulu. Boleh sahaja kalau anda ingin mainkan mode tersebut sebelum melompat ke mod dalam talian.
Kesimpulan
Memandangkan susah untuk kembali ke arked, anda boleh main game Taiko di rumah masing-masing dan pada bila-bila masa. Lagi seronok kalau anda mempunyai kawan yang juga suka mainkan game seperti ini. Practice mode yang tersedia sememangnya membantu pemain baru mahupun lama sebagai “warm up”. Tidaklah terpotong kombo yang dikumpul nanti. Apapun, kami memang syorkan Taiko no Tatsujin untuk anda mainkan, terutamanya kepada pemain game rhythm. Anda boleh lawati laman web rasmi Nintendo untuk menbelinya.
Untuk membaca review lain daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Taiko no Tatsujin: Rhythm Festival
PROS
- Practice Mode yang bagus
- Pelbagai mode yang menghiburkan untuk dimainkan
CONS
- Motion Control tidak begitu bagus
Discussion about this post