Selepas seminggu kecoh dengan pelbagai spekulasi, Sony akhirnya memberikan penjelasan mengenai sistem Digital Rights Management (DRM) pada konsol PS4 dan PS5.
Segalanya bermula awal bulan ini apabila timbul laporan mengenai sistem “tempoh 30 hari” tersembunyi bagi setiap pembelian game secara digital.
Berdasarkan beberapa posting tular dan ujian yang dilakukan pengguna, Sony didakwa telah memperkenalkan sistem DRM yang mewajibkan konsol untuk melakukan “check-in” secara online setiap bulan.
Ramai pemain bimbang jika konsol mereka tidak disambungkan ke internet lebih daripada 30 hari, seluruh koleksi digital library mereka akan disekat dan tidak boleh dimainkan sehinggalah konsol tersebut kembali online untuk pengesahan.
Namun, dalam satu kenyataan rasmi, PlayStation mengesahkan bahawa keadaan sebenarnya tidaklah seteruk yang disangkakan.
Ketika bercakap kepada portal GameSpot, wakil PlayStation menjelaskan bahawa walaupun ada proses pengesahan (authentication), ia bukannya satu prosedur menyusahkan yang perlu diulang setiap bulan.
“Pemain boleh terus mengakses dan bermain game yang telah dibeli seperti biasa,” menurut kenyataan tersebut. “Hanya satu kali semakan online diperlukan untuk mengesahkan license game tersebut, dan selepas itu, tiada lagi proses check-in susulan yang diperlukan.”
Secara ringkas, sebaik sahaja anda download sesuatu game dan membukanya buat kali pertama semasa konsol bersambung ke internet, license game tersebut akan disahkan secara kekal.
Semakan tersebut adalah langkah keselamatan untuk menutup “lubang” yang sering disalah guna: iaitu pemain membeli game, kemudian meminta refund dengan segera, dan memutuskan sambungan internet supaya mereka boleh terus bermain game tersebut secara percuma tanpa license yang sah.
Dengan mewajibkan proses “sambungan” ke server, Sony memastikan license tersebut adalah sah sebelum membenarkan akses offline sepenuhnya.
Bagi pemain biasa, ini adalah satu berita baik. Selagi anda menyambungkan konsol ke internet sekurang-kurangnya sekali selepas membeli atau memuat turun game, koleksi digital anda akan selamat dan boleh dimainkan secara offline tanpa sebarang gangguan.









Discussion about this post