Siri Solo Leveling meningkat dalam populariti sejak kali pertama membuat debut, dan memandangkan adaptasi anime dan permainan video akan hadir tidak lama lagi, saya sendiri tidak boleh menyangkal kehebatannya. Soalan terbesar di sini ialah mengapa manhwa Solo Leveling sangat popular?
Siri ini bermula sebagai web novel sebelum beralih menjadi webtoon di KakaoPage dan mengisahkan seorang pemburu muda bernama Sung Jin-Woo, yang merupakan salah seorang pemburu paling lemah di seluruh Korea Selatan. Musuh mereka adalah sejumlah raksasa yang mula menyerang dunia manusia setelah sebuah portal menghubungkan dunia mereka dengan dunia manusia.
Sung Jin-Woo dan pasukannya tanpa sengaja terserempak dengan raksasa kuat di mana hampir semua ahli pasukan dibunuh, termasuk Jin-Woo. Tidak lama kemudian, dia dihidupkan semula, dan mendapati dirinya mempunyai kebolehan seperti dalam permainan video. Ini membolehkan Jin-Woo melihat misi rahsia dan memiliki abiliti istimewa, serta HP dan statistik tentang dirinya dan orang lain. Perubahan ini menyalakan semula semangat Jin-Woo untuk menjadi pemburu terhebat di dunia, sambil membongkarkan misteri di sebalik kejadian tersebut.
Kembali kepada topik asal – mengapa Solo Leveling sangat popular? Antaranya adalah adegan aksi, yang menunjukkan kekuatan protagonis dan abilitinya yang terlalu OP (overpowered). Sama seperti sistem permainan video, ini merupakan daya tarikan utama yang menggambarkan Jin-Woo dalam RPG aksi yang kita selalu main.
Melihat Jin-Woo membunuh beribu-ribu musuh dengan satu serangan atau mengalahkan musuh yang kuat, mengesahkan kehebatannya sebagai protagonis dalam genre “MC (main character) yang terlalu kuat pada awal cerita”. Genre seperti ini kini lebih popular dan setanding dengan konsep MC yang harus bertungkus lumus untuk menjadi kuat seperti Naruto dan Goku.
Sebab yang seterusnya adalah gaya seninya yang terperinci dan cantik. Pada permulaan cerita, saya harus mengaku bahawa Jin-Woo tidak memiliki penampilan yang menarik dan sebenarnya agak membosankan. Ternyata saya salah kerana selepas menerima perubahan, penampilan Jin-Woo kelihatan lebih bergaya dan boleh dianggap “sesuai” sebagai protagonis walaupun tidak mempunyai apa-apa ciri unik seperti rambut atau aksesori (Contoh: Kurosaki Ichigo terkenal kerana rambutnya yang berwarna oren).
Bukan setakat rekaan watak, tetapi reka bentuk musuh juga menjadi perhatian. Setiap raksasa mempunyai keperibadian sendiri dari raksasa “dewa” yang membunuh Jin-Woo hinggalah Beru (Ant King), Solo Leveling secara konsisten menghasilkan penjahat yang ikonik dan unik. Selain reka bentuk, lukisan latar belakang seperti bandar, pergunungan, hutan, dan sebagainya juga harus dipuji. Tahap keperincian yang diberikan bukan sahaja untuk watak, tetapi untuk semua objek di setiap panel lukisan. Secara keseluruhan, gaya seni Solo Leveling adalah antara yang terbaik dalam sejarah manhwa buat masa ini.
Kalau hanya harapkan pada aksi dan lukisan sahaja, sudah tentu siri ini akan cepat membosankan pembaca. Satu lagi sebab yang membuat ramai tertarik adalah penyusunan plot naratif dan bagaimana latar belakang setiap watak diperkembangkan. Walaupun genre ini sebenarnya sudah lama wujud dan agak “generik”, cara mereka mengembangkan watak Jin-Woo dan apa yang berlaku di dunianya memberi aspek “ingin-tahu” yang kuat kepada pembaca.
Satu contoh yang saya boleh beri ialah bagaimana Jin-Woo berinteraksi dengan watak-watak lain seperti S-Class Hunter. Siri ini meneroka hubungan dinamik antara setiap pemburu di mana setiap S-Class Hunter mempunyai ego sendiri untuk membuktikan mereka lebih kuat daripada Jin-Woo. Ada yang baik, ada yang jahat tetapi siapakah yang sudi membantu atau menghalang Jin-Woo adalah antara perkara yang membuatkan saya ingin tahu lebih. Jin-Woo sudah terbukti adalah watak paling kuat di dalam siri, tetapi bagaimana mereka berinteraksi dengannya adalah satu penambahan bagus di mana naratif tidak memfokuskan pada protagonis sahaja.
Selain watak-watak manusia, siri ini juga menceritakan tentang setiap raksasa dan matlamat mereka untuk menakluk dunia manusia. Buat masa ini, Jin-Woo telah menghadapi banyak raksasa dengan intelek tinggi yang dapat berkomunikasi dengan manusia. Walaupun masih banyak yang belum didedahkan, ini juga antara sebab mengapa ramai orang ingin mengikuti plot cerita yang sebenarnya agak “tipikal”.
Kesimpulannya, ciri-ciri yang membuatkan Solo Leveling sangat popular berjaya menarik perhatian begitu ramai orang di seluruh dunia walaupun plot ceritanya agak mudah. Manhwa ini tahu apa yang peminat ingin tahu dan tidak pernah gagal memberi apa yang mereka mahu. Siri ini masih tidak boleh menepati citarasa semua orang, tetapi dengan adegan aksi yang menyeronokkan, dan naratif yang mudah untuk faham, saya harus sarankan anda untuk cuba membaca Solo Leveling.
Itulah sebab peribadi saya mengapa Solo Leveling sangat popular! Untuk segala liputan kami tentang siri tersebut, sila tekan pautan ini.
Sumber – Solo Leveling Fandom
@gamersantaimy
Discussion about this post