Uzumaki Naruto, seorang watak yang pada awalnya tidak mempunyai apa-apa tapi sekarang dia adalah hero untuk semua orang. Sepanjang perjalanan hidup dia, Naruto telah berjumpa dengan ramai orang hebat, termasuk guru-guru yang mengajarnya tentang kehidupan dan bagaimana ingin menjadi shinobi yang hebat.
Dengan menanam impian yang besar, orang sekeliling terutama sekali guru-gurunya, selalu ada untuk menyokongnya. Daripada seorang budak berumur 12 yang bergelut dengan kurikulum asas sehinggalah menjadi orang penting untuk kampungnya, inilah senarai guru-guru Naruto yang membantunya menjadi seorang shinobi yang terbaik:
Umino Iruka
Orang pertama yang percaya pada Naruto daripada awal. Walaupun keluarganya dibunuh oleh Kurama yang ketika itu dikawal oleh Uchiha Obito, dia tetap mengambil berat tentang Naruto. Dengan rasa belas kasihan, dia menjadi sebagai seorang yang Naruto boleh berharap. Iruka juga tidak takut untuk menegur Naruto apabila dia membuat silap.
Ketika peperiksaan akhir, Naruto telah gagal dalam membuat Kage Bunshin no Jutsu menyebabkan dia tidak boleh mencapai status genin. Walaupun Iruka yang menggagalkan Naruto, dia tetap percaya dan beri pengikat kepala miliknya kepada Naruto selepas membuktikan dirinya layak. Iruka telah mengajar Naruto tentang kepentingan komuniti, empati dan kasih sayang keluarga.
Hatake Kakashi
Selepas Naruto berjaya mendapat status genin, Kakashi telah menjadi mentor dan ketua kumpulan Team 7 yang terdiri oleh Naruto, Sasuke dan Sakura. Dikenali sebagai seorang guru yang sering menggagalkan anak muridnya, dia telah mencabar Naruto tanpa henti. Hasilnya Naruto dapat belajar tentang kepentingan kerja berpasukan dan untuk berjaya, mereka harus bekerjasama.
Berbeza dengan Iruka yang mengajar dengan cara “tough love”, Kakashi meletakkan Naruto dalam situasi lawan atau mati untuk menyediakan dia menghadap realiti dunia sebenar yang lebih kejam. Kakashi telah membiarkan Naruto dan pasukannya melakukan misi tahap B walaupun mereka belum bersedia, sedangkan mereka diberitahu misi tersebut adalah tahap C.
Walaupun cara pengajaran Kakashi agak tegas, dia amat mengambil berat tentang masa depan anak muridnya terutama sekali Naruto. Selepas kehilangan kawan baiknya, dia mengajar Naruto sesuatu yang sepatutnya dia tahu ketika zaman remajanya iaitu kerja berpasukan, kesetiaan dan keberanian.
Jiraiya
Dikenali sebagai “Pervy sage”, Jiraiya bukanlah contoh yang baik buat Naruto dari segi etika, tetapi dia mempunyai hati yang baik dan selalu memastikan Naruto mengikut jalan yang betul. Sebagai salah seorang daripada tiga legendary sannin, Jiraiya telah dilatih oleh Hokage ke-3 bersama Tsunade dan Orochimaru.
Selepas melihat setiap ahli Team 7 mendapat guru masing-masing, Jiraiya adalah yang paling banyak persamaan dengan Naruto. Dia boleh dikatakan guru terpenting dalam hidup Naruto kerana mengajarnya jutsu rasengan yang dihasilkan oleh Hokage ke-4, kemudiannya dikembangkan oleh Naruto menjadi jutsu terkuat. Jiraiya telah mengajar Naruto supaya jangan putus asa dan teruskan berusaha sedaya upaya.
Fukasaku
Salah seorang rakan seperjuangan Jiraiya yang mengambil tempat untuk mengajar Naruto selepas pemergiannya. Mungkin di mata orang biasa dia hanyalah seekor katak, tetapi dia telah melatih dan mengajar Naruto untuk menggunakan Sage Mode.
Fukasaku juga merupakan orang penting yang memberi dorongan kepada Naruto ketika Pain menceroboh kampung Konoha. Selain itu, dia juga mengajar Jiraiya untuk menggunakan Sage Mode dan menjadikan dia guru kepada guru Naruto.
Killer B
Akhir sekali adalah tidak lain dan tidak bukan, rapper kegemaran setiap ninja, Killer B yang tahu bagaimana cara untuk menjinakkan jinchurikinya. Sebagai guru Naruto, dia berjaya melatihnya untuk mengawalkan kuasa Kurama yang penuh dengan kebencian. Dia juga memainkan peranan penting dalam peperangan Ninja ke-4 ketika berlawan dengan Obito.
Apa yang membuatkan Killer B lebih menyerlah jika nak dibandingkan dengan guru Naruto yang lain ialah dia berani untuk berdepan dengan Sasuke. Ini menjadi sebab utama untuk Naruto ingin menjadi lebih kuat.
Itulah senarai guru-guru Naruto yang memberi impak besar sehingga dia menjadi seorang ninja yang hebat. Jika dia tidak berjumpa dengan mereka, mungkin dia tidak akan berada di tahap sekarang.
Untuk dapatkan liputan lain tentang anime daripada kami, boleh tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post