Sega telah mengumumkan yang mereka telah memperoleh Two Point Studios, pembangun dari British yang bertanggungjawab membangunkan game Two Point Hospital, keluaran tahun 2018 yang seronok dan menawan; dan ia juga merupakan pengganti spiritual kepada game yang terkenal satu ketika dahulu iaitu Theme Hospital.
Two Point Studio buat masa ini memiliki pasukan kerja seramai 17 orang dan telah diasaskan pada tahun 2016 oleh Gary Carr, Mark Webley dan Ben Hymers. Ketiga-tiga mereka pernah bekerja di Lionhead Studios yang terkenal dengan game Fable dan Black & White. Carr dan Webley juga pernah bekerja dengan Bullfrog Productions, studio yang telah membawakan Theme Park, Theme Hospital, Dungeon Keeper, Magic Carpet dan Syndicate.
Two Point Hospital pula sememangnya menggunakan banyak rujukan dan formula untuk kejayaan daripada hasil kerja Bullfrog iaitu Theme Hospital. Hasilnya, menurut Sega; adalah kejayaan komersial yang sangat besar. Two Point Studios akan bekerja bersama pembangun lain dalam Sega seperti Creative Assembly, Sports Interactive, Relic Entertainment dan Amplitude Studios.
Menurut Sega juga, Two Point Studios memiliki beberapa projek yang belum diumumkan yang sangat menarik dan sedang dalam pembangunan. Berita berkenaan projek ini bakal dikongsi tidak lama lagi. Mark Webley juga tidak sabar untuk melansungkan fasa seterusnya dalam rancangan beliau untuk mengembangkan Two Point County, ketika pelancaran Two Point Hospital.
Buat masa ini, kita hanya boleh membuat spekulasi tentang projek yang belum diumumkan tersebut. Game genre tycoon telah mendapat kebangkitan semula baru-baru ini – dengan membawakan kepada kita game pengurusan berfokuskan taman tema, dinosaur, hospital, penjara, supermarket dan banyak lagi. Ini menjadikannya lebih menarik untuk melihat apa yang bakal diumumkan Two Point Studios.
Sumber: Eurogamer
@gamersantaimy
Discussion about this post