Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Sebelum Segalanya Musnah, Silo Season 3 Membongkarkan Konflik Kuasa & Memori Yang Dipadam

Razin Syafiq by Razin Syafiq
June 29, 2026
in Apple TV+, Artikel, Berita, Movie/siri, Temuramah
0 0
0
Sebelum Segalanya Musnah, Silo Season 3 Membongkarkan Konflik Kuasa & Memori Yang Dipadam
Share on FacebookShare on Twitter

Sempena tayangan perdana musim ke-3 bagi siri distopia popular Silo di Apple TV+ pada Jumaat, 3 Julai 2026, barisan kreatif di sebalik tabir mula membongkar rahsia dunia bawah tanah yang penuh misteri ini.

Bagi yang kurang tahu atau terlupa plot cerita, musim ini meneruskan kisah 10,000 penduduk yang mendiami sebuah struktur bawah tanah yang sangat besar. Mereka hidup dalam keadaan yang serba misteri… malah tidak tahu asal-usul sendiri atau sebab mereka dilarang keluar.

Selepas pemberontakan di Silo 18 pada akhir musim lalu, jalan cerita beralih ke zaman Before Times untuk membongkarkan kisah asal-usul struktur tersebut.

Menerusi mata wartawan Helen Drew (Jessica Henwick) dan Ahli Kongres Daniel Keene (Ashley Zukerman) di sebuah restoran di Washington D.C., siri ini mula merungkai bagaimana dunia tersebut mula terbentuk.

Bagi membincangkan tema, perubahan dinamik watak, serta skala produksi yang membentuk musim baharu ini, pencipta merangkap showrunner Graham Yost berkumpul bersama barisan pelakon utama—Rebecca Ferguson (yang juga bertindak sebagai penerbit eksekutif), Common, Alexandria Riley, Jessica Henwick, dan Ashley Zukerman—untuk satu perbualan mendalam bersama kami.

Persamaan dengan Realiti dan Isu Kehilangan Memori

Dunia distopia Silo sebenarnya banyak mencerminkan realiti hari ini… daripada perubahan iklim dan konflik politik sehinggalah kecerdasan buatan (AI) serta isu maklumat palsu.

Namun, Graham Yost mendedahkan bahawa segala persamaan ini berlaku secara tidak sengaja, memandangkan jalan ceritanya berdasarkan novel asal tulisan Hugh Howey yang dihasilkan lebih sedekad lalu.

“Kami menulis musim ketiga pada tiga tahun lepas, sebelum semua isu ini kembali hangat,” jelas Yost.

Beliau turut menambah:

“Apabila anda mula memahami sepenuhnya apa yang berlaku di Silo, anda akan sedar bahawa realiti sebenar amat berbeza daripada apa yang anda fikirkan atau apa yang diberitahu kepada anda.”

Musim ketiga membongkar kebenaran rumit ini dengan membawa penonton ke dua garis masa berbeza secara serentak: konflik masa kini di dalam silo dan sejarah asal-usulnya.

Ferguson sempat bergurau bahawa rancangan garis masa ini menggunakan “AI”, yang kemudiannya dinafikan oleh Yost sambil menjelaskan bahawa mereka tidak menggunakan AI sama sekali.

Sebaliknya, kehilangan ingatan yang dialami Juliette Nichols (Rebecca Ferguson) pada masa kini direka untuk mencerminkan masalah kognitif adik Daniel, Charlotte, pada masa lalu.

Yost menyatakan kaitan ini membantu penonton sedar bahawa “peristiwa yang menimpa Juliette sebenarnya bermula sejak 350 tahun atau lebih yang lalu,” lantas menjadikan peralihan antara dua garis masa ini saling menyokong.

Penerokaan tentang memori menjadi satu kritikan sosial, selari dengan pepatah terkenal dari Brazil:

“Sesuatu bangsa yang tiada memori dihukum untuk mengulangi kesilapan masa lalu.”

Pepatah ini menggambarkan situasi di Silo, di mana para penduduknya hanya tahu sejarah beberapa generasi dahulu sahaja pada satu-satu masa. Seperti yang diperhatikan oleh Ashley Zukerman:

“Masyarakat tanpa memori sangat mudah diisi dengan naratif moden serta maklumat baharu, dan ini boleh menjadi sesuatu yang amat berbahaya.”

Musim ini mempersoalkan konsep penghapusan sejarah, lalu mendedahkan betapa mudahnya rakyat yang kehilangan masa lalu dimanipulasi oleh golongan berkuasa.

Evolusi Watak Juliette, Keluarga Sims, dan Hubungan Helen-Daniel

Garis masa masa kini memberi tumpuan kepada evolusi watak Juliette. Terjaga dalam keadaan hilang ingatan dan tiba-tiba dilantik sebagai Mayor, Juliette terpaksa membiasakan diri dengan realiti baharu sambil bertekad mencari kebenaran demi berbakti kepada komunitinya.

Bagi menjayakan watak amnesia ini, Ferguson bekerjasama rapat dengan pasukan kreatif untuk merancang plot kehilangan memori Juliette agar nampak meyakinkan. Beliau sempat bergurau tentang kehidupannya sendiri:

“Dulu masa zaman saya kuat minum, memang selalu hilang ingatan.”

Di sebalik jenaka itu, beliau mengaku bahawa melakonkan watak amnesia tidaklah sesukar “fasa ketika memori tersebut mula kembali.”

Ssalnya, Juliette Nichols tidak pernah ingin jawatan pemimpin mahupun Sheriff, namun beliau terpaksa menggunakan kedudukan itu pada musim pertama untuk menyiasat kematian pasangannya, George.

Kini, Juliette perlu bertahan hidup di sebuah silo asing (yang dirujuk sebagai “silo dua” atau Silo 17 dalam plotnya) bersama seorang lelaki yang terselamat di situ bernama Solo. Mengulas tentang keunikan watak Juliette, Ferguson tertarik dengan konflik dalaman watak tersebut:

“Dia cekap membaiki mesin… tetapi dirinya sendiri sangat runtuh dan dia tidak tahu cara untuk memulihkannya.”

Dalam persekitaran baharu ini, beliau terpaksa berinteraksi dan membina hubungan dengan Solo. Peralihan ini agak mencabar buat Ferguson kerana “lebih mudah melakonkan watak Juliette yang menyendiri berbanding watak yang cuba mendekati orang lain.”

Sementara itu, perubahan dalam dinamik kuasa mula menggoncang keluarga Sims. Camille Sims (Alexandria Riley) tiba-tiba memegang kuasa sebagai ketua jabatan IT, lalu merampas pengaruh yang selama ini didominasi suaminya, Robert Sims (Common).

“Peralihan kuasa antara watak kami ini sangat menarik dan kami seronok melakonkannya,” kongsi Riley.

Namun, beliau menegaskan bahawa mereka berusaha keras untuk memastikan rasa cinta yan antara pasangan itu tetap utuh di sebalik konflik tersebut. Common menyamakan hubungan ini dengan situasi keluarganya sendiri:

“Ada masanya saya melihat anak perempuan saya dan terfikir, siapa kamu sebenarnya? Apa yang kamu buat? … tetapi kasih sayang saya tidak pernah hilang.”

Robert Sims kini buntu melihat isterinya dan dirinya sendiri, malah mula mempersoalkan identitinya kerana “segala yang diperjuangkan dan dikorbankannya selama ini rupa-rupanya tidak seperti yang disangka.”

Riley berjenaka bahawa Camille begitu “menikmati” kuasa baharunya, manakala Common pula “sangat tidak menyukainya sepanjang penggambaran.”

Bagi Common, membawakan watak yang mempertahankan status quo yang korup merupakan satu percanggahan besar dengan aktivisme dunia sebenarnya.

“Untuk mendalami jiwa Robert Sims, saya berfikir, adakah yang mendorong seseorang untuk terus mempertahankan golongan berkuasa?” ulasnya.

Beliau menjelaskan bahawa Sims bukanlah seorang sosiopat, sebaliknya dia benar-benar percaya bahawa tindakan kasarnya itu adalah demi melindungi keluarga dan 10,000 penduduk silo. Riley turut mengambil pendekatan serupa bagi memahami keputusan kontroversi Camille.

Beliau melihat wataknya sebagai “seorang yang baik pada dasarnya, tetapi terpaksa membuat keputusan yang salah” akibat tekanan memikul tanggungjawab menjaga ribuan nyawa. Sebelum ini, Camille dan Robert hanya mempersoalkan operasi silo secara rahsia demi masa depan anak mereka.

Namun, apabila berhadapan dengan maklumat sulit dan amaran bahawa semua orang akan musnah jika dia membantah, dia kini terperangkap dalam situasi “ditelan mati emak, diluah mati bapak”—menjadikan pilihannya hanya hidup atau mati.

Dalam garis masa masa lalu, bibit cinta yang berkembang perlahan antara Helen Drew dan Daniel Keene menjadi penenang di tengah-tengah plot saspens konspirasi, yang membangkitkan nostalgia filem klasik tahun 1970-an seperti The Parallax View dan The Three Days of the Condor.

Jessica Henwick menggambarkan Helen sebagai seorang wartawan profesional dan logik yang cenderung menilai orang dengan cepat, sehinggalah beliau mengenali Daniel yang sering mengejutkanny.

Semasa pertama kali bertemu pada musim kedua, Helen menyangka beliau sudah dapat membaca perwatakan Daniel sebagai ahli politik, tetapi Daniel memecah tanggapan itu dengan menawarkan sebekas gula-gula Pez.

“Orang yang sunyi selalunya mudah mengenali sesama mereka, dan keserasian itu tercipta begitu sahaja,” jelas Henwick, walaupun pada mulanya Helen cuba menepis perasaan itu kerana hubungan cinta “memang tiada dalam rancangan.”

Kedua-dua pelakon ini sengaja melambatkan detik percintaan watak mereka agar perkembangan emosi tersebut terasa lebih semula jadi dan tidak tergesa-gesa.

Kerjaya watak mereka turut mencerminkan landskap sosial masa kini, namun kedua-dua pelakon membawakannya sebagai manusia biasa yang sarat emosi, bukan sekadar watak klise.

Henwick melakonkan watak Helen dengan rasa hormat yang tinggi terhadap kerjaya wartawan, serta memuji keberanian mereka yang sanggup mempertaruhkan reputasi dan nyawa demi kebenaran. Zukerman pula membawakan watak Daniel, seorang ahli kongres yang sebenarnya lebih menganggap dirinya sebagai jurutera.

Walaupun Daniel pada mulanya menaruh kepercayaan kepada sistem pentadbiran, keyakinan itu perlahan-lahan runtuh. Peranan ini turut memberikan cabaran lakonan yang unik buat Zukerman kerana beliau perlu menggambarkan seorang lelaki yang akhirnya kehilangan seluruh identiti dirinya.

Beliau mendalami watak ini dengan mengaitkannya dengan trauma peribadi Daniel dan membuatkannya nampak “semoden mungkin seperti manusia pada tahun 2026.” Dengan cara itu, apabila amnesia berlaku, ia dirasakan sebagai kehilangan besar terhadap dirinya yang telah dibina selama ini, termasuk dari segi tingkah laku dan suara.

Melalui karya ini, kedua-dua pelakon memperoleh pengajaran peribadi; Zukerman belajar untuk menerima masa lalu dan kesakitan hidup demi kebebasan diri, manakala Henwick sedar bahawa memori buruk juga penting dalam membentuk diri kita, menjadikan hidup “tidak semestinya lebih bahagia, tetapi lebih bermakna dan matang.”

Proses Produksi, Reka Bentuk Set, dan Kehidupan di Set

Usaha yang sangat luar biasa diperlukan bagi menghidupkan dunia Silo yang luas. Penggambaran musim ketiga melibatkan dua unit berbeza yang bekerja serentak selama beberapa bulan; satu unit fokus kepada kisah asal-usul, manakala satu lagi fokus kepada penceritaan di dalam silo.

Skala produksi amat menakjubkan sehinggakan Ferguson menyamakan reka bentuk set, penggunaan kren, dan sistem pencahayaan yang rumit dengan pengalamannya dalam filem pecah panggung besar seperti Dune atau Mission: Impossible.

Bagi Ferguson, fasa yang paling menyeronokkan sebenarnya bermula sebelum kamera mula merakam. Beliau sangat teruja sepanjang tempoh persiapan apabila berpeluang bekerjasama dengan empat pengarah musim ini: yang membahagikan episod mengikut formula tiga, tiga, dan empat.

Sesi membaca skrip, membincangkan perwatakan, dan berkumpul untuk latihan lakonan adalah detik yang paling dihargainya. Ini termasuklah berkongsi pandangan tentang skrip, walaupun mereka perlu berhati-hati:

“Kami ada memberikan pandangan, tetapi kami tidak memanggilnya ‘nota’ kerana itu boleh membuatkan penulis skrip marah,” guraunya sambil ketawa.

Apabila berkumpul untuk berlatih, “segala idea boleh dibincangkan secara terbuka,” kata Ferguson, menceritakan kebebasan mereka untuk mengubah dan mencuba pelbagai cara penyampaian skrip ketika sesi tersebut.

Di bawah seliaan pereka bentuk produksi Nicole Northridge, pasukan itu berjaya mencipta identiti visual tersendiri untuk setiap persekitaran, termasuk perbezaan antara Silo 17, Silo 18, dan Silo One yang baharu diperkenalkan, serta kawasan di luar silo.

Yost menjelaskan bahawa Silo One “perlu dikenali dengan serta-merta sebagai sebuah tempat yang berbeza, tetapi masih mengekalkan estetika dunia asal siri ini,” yang menurut Ferguson sangat “masuk akal” sebaik sahaja anda melihatnya.

Peranan Ferguson sebagai penerbit eksekutif (jawatan yang beliau berjenaka terpaksa dicari di Google terlebih dahulu apabila mula-mula ditawarkan) membolehkan beliau terlibat secara aktif dalam keputusan kreatif dan reka bentuk ini.

Peranan itu juga membantu memupuk suasana kerja yang mesra dan harmoni di set penggambaran. Daripada menyendiri di dalam treler mewah peribadi seperti amalan biasa, barisan pelakon sebaliknya memilih untuk berkongsi kawasan merangkumi pondok-pondok kecil ala karavan yang disusun berbentuk ladam kuda di atas rumput tiruan.

Dilengkapi pokok zaitun yang besar, lampu karnival, dan alunan muzik, kawasan ini menjadi tempat untuk pelakon dan kru makan tengah hari, bergelak tawa, malah berkongsi kesedihan bersama-sama.

“Set penggambaran ini sudah seperti sebuah keluarga,” kenang Ferguson.

Keakraban antara kru dan pelakon sebenarnya telah bermula sejak awal pembikinan siri ini. Yost mengimbau semula detik beliau membentangkan keseluruhan jalan cerita musim kedua kepada Ferguson di celah-celah waktu pengambaran semasa musim pertama, di mana mereka berdua hanya duduk di dalam sel penjara balai polis.

Asas kepercayaan yang kuat ini diteruskan semasa jadual penggambaran yang sangat padat untuk musim ketiga dan keempat, yang dilakukan secara berturut-turut dengan hanya cuti rehat selama tiga bulan di antaranya.

Walaupun para pelakon berjenaka bahawa menyimpan jalan cerita untuk 20 episod di dalam kepala menyulitkan mereka berkongsi cerita menarik tanpa membocorkan rahsia, mereka gembira dapat mengimbau kenangan lucu di set.

Common, yang mengelak daripada merakam album penuh semasa penggambaran demi memberikan fokus sepenuhnya kepada lakonan, masih sempat berkongsi cadangan muzik baharu di set.

Beliau juga sempat berkongsi perkembangan tentang album kolaborasinya akan datang bersama penerbit Madlib yang bertajuk Still Waters, yang disiapkannya di antara masa penggambaran.

Riley mengakui beliau pada mulanya berasa sangat kagum apabila mendapat tahu bakal berlakon bersama pemenang anugerah Oscar tersebut, malah berasa gementar di dalam treler sebelum pertemuan pertama mereka.

Walau bagaimanapun, Common sendiri yang mengajak untuk berjumpa sebelum penggambaran bermula bagi membina keserasian. Sepanjang tempoh produksi, mereka saling menyokong dan menaikkan semangat satu sama lain sekiranya ada yang berasa penat atau kurang bersemangat.

Mereka berdua malah menyanyikan lagu duet Common yang bertajuk “The Light” semasa majlis penamat penggambaran, sebagai tanda ikatan seni yang terbina antara mereka.

Akhirnya, barisan pelakon mengaitkan daya tarikan Silo kepada keberanian naratifnya dan nilai kemanusiaan yang mendalam. Seperti yang dinyatakan oleh Zukerman, siri ini bukan sahaja misteri pasca-apokalips yang sinis, tetapi “sebuah kisah tentang harapan, tentang bagaimana untuk memastikan cahaya itu terus hidup di dalam diri anda.”

Henwick bersetuju sambil menunjukkan kesediaan siri ini untuk mengambil risiko kreatif yang berani… seperti menukar watak utama pada awal jalan cerita dan membuka musim kedua dengan episod yang hampir tiada dialog langsung.

Dengan jalan cerita yang telah dirancang untuk empat musim dari awal lagi, penonton boleh menjangkakan satu pengembaraan yang disusun dengan hebat dan bukannya sekadar “mencuba nasib” seperti yang diungkapkan oleh Henwick.

Anda boleh menonton siri ini di Apple TV+ Malaysia.

Tags: interviuSilo
ShareTweetSend
Previous Post

Pokémon Center SINGAPORE Buka Semula 1 Julai 2026; Maskot Solgaleo, Rupa Baharu & Merch Tempatan

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Pokémon Center SINGAPORE Buka Semula 1 Julai 2026; Maskot Solgaleo, Rupa Baharu & Merch Tempatan
Jom Singgah!

Pokémon Center SINGAPORE Buka Semula 1 Julai 2026; Maskot Solgaleo, Rupa Baharu & Merch Tempatan

June 29, 2026
Khabar Angin Hanya Salah Faham, Rockstar Tegas Tidak Akan Keluar CD Fizikal GTA VI
Berita

Khabar Angin Hanya Salah Faham, Rockstar Tegas Tidak Akan Keluar CD Fizikal GTA VI

June 29, 2026
Bandai Namco Umum Animasi Chibi ‘TEKKEN CARTOON’
Animasi

Bandai Namco Umum Animasi Chibi ‘TEKKEN CARTOON’

June 29, 2026

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd