Game aksi-pengembaraan bertemakan Arthurian, Tides of Annihilation, telah menarik perhatian seluruh dunia. Namun, pratonton baru-baru ini mencetuskan kontroversi besar. Selepas tayangan video gameplay terkini pada pertengahan Ogos 2026, para peminat sedar akan beberapa perubahan pada watak utamanya, Gwendolyn… khususnya pada model wajah.
Walaupun reaksi awal memuji sistem combat, dunianya, serta hala tuju berkonsepkan dark fantasy, perubahan pada rupa paras Gwendolyn menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemain. Malah, ada yang menganggap penampilan baharu ini sebagai satu “visual downgrade”.
Perubahan ini bermula pada pertengahan Julai 2026 apabila pelakon suara terkenal, Jennifer English (Baldur’s Gate 3, Clair Obscur: Expedition 33), mengumumkan bahawa beliau terpaksa melepaskan watak utama tersebut demi memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal dan mentalnya. English kekal sebagai penasihat dan telah mencadangkan sendiri penggantinya.
Peminat kemudian dapat mengecam suara baharu dalam klip gameplay terbaharu sebagai Angela Sant’Albano, yang terkenal dengan persembahan hebatnya sebagai Grace Ashcroft dalam Resident Evil Requiem.
Selain menukar suara, demo di Shanghai serta video gameplay terbaru menunjukkan perubahan besar pada wajah Gwendolyn. Berbanding trailer sebelum ini, rahangnya nampak lebih lembut dan ciri wajahnya pun nampak berbeza. Ini membuatkan pemain tertanya-tanya sama ada pihak studio telah menukar model watak secara senyap-senyap atau menurunkan kualiti grafik game tersebut.
Pelbagai komen membanjiri platform seperti X dan YouTube, di mana ramai meminta agar pihak studio mengembalikan rekaan asal.
Dalam satu sesi soal jawab (Q&A) baru-baru ini bersama media Game Tea House dari China, ketua penerbit Fu Kun menjelaskan kontroversi tersebut dan menegaskan bahawa pihak studio tidak pernah menukar model wajah Gwendolyn.
Fu menjelaskan bahawa kedua-dua trailer terdahulu dan demo semasa menggunakan real-time rendering, bukannya sinematik CG pre-rendered. Perbezaan visual yang dilihat itu sebenarnya berpunca daripada pengoptimuman pencahayaan yang belum sempurna dalam versi build terkini.

Dibangunkan oleh studio Eclipse Glow Games dari China, Tides of Annihilation akan dilancarkan di PC (melalui Steam dan Epic Games Store), PlayStation 5, serta Xbox Series X/S. Walaupun tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan, pihak pembangun memberi jaminan bahawa judul ini akan tiba “tidak lama lagi.”


![[BIC2026] Visi Jangka Panjang Toei Games Menuju Ke Projek Berskala Besar; Game Kamen Rider/Super Sentai Tidak Terkecuali](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Hiroaki-Nagashima-TOEI_BIC_FI-350x250.jpg)
![[BIC2026] Bukan Isekai Biasa! Bagaimana Creator Chronicles Mengaburkan Dunia Realiti & Maya](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Creator-Chronicles_BIC_FI-350x250.jpg)




Discussion about this post