Octopath Traveler 0 mengajak kita mengembara sekali lagi ke benua Orsterra melalui sebuah prekuel yang diadaptasi daripada game mobile, Champions of the Continent.
Game ini memang sesuai dijadikan pengenalan kepada siri ini, meletakkan pemain sebagai seorang wira yang terselamat daripada tragedi kemusnahan kampung halamannya dan kini memulakan misi untuk menuntut keadilan.
Dengan kebebasan meneroka dunia yang luas, kemampuan untuk merekrut berpuluh-puluh watak, serta peluang membina semula sebuah warisan yang hilang, ia menjanjikan pengembaraan paling peribadi dan berskala besar dalam francais ini. Inilah ulasan penuh kami.
Kisah Dendam dan Harapan di Wishvale

Memandangkan ia adalah sebuah prolog, game ini merupakan titik permulaan yang paling ideal bagi mereka yang baru hendak mengenali siri Octopath Traveler.
Berlatarkan benua Orsterra, sama seperti game pertamanya, dunia kali ini dipersembahkan dalam keadaan yang lebih huru-hara di bawah cengkaman tiga pemerintah zalim: Herminia, “the Covetous Witch”; Tytos, “the Hero”; dan Auguste, “the Playwright”.
Masing-masing daripada mereka memiliki kuasa suci yang dianugerahkan melalui cincin peninggalan Flamebringer, Aelfric, yang bertaburan di seluruh benua. Suatu hari, Tytos berhasrat untuk merampas salah satu cincin tersebut yang terletak di sebuah perkampungan terpencil bernama Wishvale.

Wishvale merupakan kampung halaman protagonis, dan dalam game ini, anda diberi kebebasan untuk mencipta watak sendiri. Sebelum memulakan pengembaraan, anda boleh menentukan jantina, gaya dan warna rambut, jenis suara, serta makanan kegemaran watak yang boleh dinamakan sendiri.
Pilihan ini akan bertambah apabila anda melepasi bahagian pengenalan, merangkumi lapan pilihan ‘Job’ (kelas) utama dan skil ‘Mastery’ yang unik.

Plot permainan tidak bergerak tergesa-gesa ke babak-babak penting. Sebaliknya, ia meluangkan masa yang secukupnya untuk pemain membina ikatan emosi dengan perkampungan Wishvale serta para penduduknya.
Setiap NPC di sini mempunyai nama, hubungan peribadi tersendiri, malah ada yang mempunyai rancangan untuk berkahwin. Ketika kampung itu sedang meriah meraikan sebuah pesta yang diakhiri dengan upacara keagamaan, Tytos bersama angkatan tenteranya, Scarlet Wings, tiba-tiba menyerang dan memusnahkan Wishvale.

Akibat tragedi itu, protagonis kehilangan kedua-dua ibu bapanya serta hampir kesemua penduduk kampung. Hanya beberapa rakan terdekat yang terselamat, terutamanya Stia, yang dipaparkan sebagai heroin utama yang sentiasa menemani protagonis.
Walaupun jalan ceritanya mudah dijangka sejak dari awal, dan saya menjangkakan tiada banyak impak emosi, ternyata jangkaan saya salah. Game ini berjaya memasukkan babak-babak tragis ini dengan begitu baik sehinggakan ada ketikanya saya hampir menitiskan air mata.

Kisah ini dari mula lagi menetapkan dua tema utamanya: dendam dan pemulihan. Anda diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih sama ada mahu menumpaskan ketiga-tiga pemerintah zalim itu terlebih dahulu atau memberi tumpuan kepada usaha membangunkan semula Wishvale.
Tiada sekatan yang menghalang anda mengikuti mana-mana haluan. Jika memilih jalan dendam, anda boleh menyasarkan mana-mana pemerintah tersebut melalui laluan cerita mereka yang tersendiri.
Bergantung kepada sasaran pertama anda, pengembaraan akan membawa anda ke wilayah berbeza, bertemu dengan pelbagai watak unik untuk direkrut, serta memperoleh bonus pengaruh dalam aspek Wealth, Power, atau Fame, yang berkait rapat dengan Path Actions.

Tidak dapat dinafikan, naratif Octopath Traveler 0 adalah lebih gelap dan ganas. Namun, pada masa yang sama, ia diimbangi dengan sisi penceritaan yang emosi melalui usaha memulihkan semula kampung halaman.
Kebanyakan game lain mungkin hanya akan fokus pada salah satu aspek, tetapi Octopath Traveler 0 berjaya menyatukan kedua-dua tema ini sebagai sifat yang saling melengkapi.
Daripada hanya dibelenggu dendam dan penyesalan, pengembaraan ini sewajarnya diakhiri dengan harapan, dan memulihkan kegemilangan Wishvale adalah jalan terbaik ke arah itu.
Bina Wira Sendiri dalam Dunia Tanpa Sempadan

Dengan cerita yang menawarkan pelbagai pilihan untuk mencorakkan pengembaraan, kemajuan game ini secara semula jadinya terasa lebih terbuka berbanding judul-judul sebelumnya.
Selain daripada laluan cerita berbeza yang boleh dipilih dari awal, anda juga bebas untuk merantau ke mana sahaja untuk sekadar bersantai atau grinding tanpa sebarang halangan.
Ini memberikan ilusi seolah-olah ia sebuah game open world, walaupun pembangun telah memastikan tahap cabaran sentiasa seimbang supaya anda boleh menjelajah sebahagian besar peta tanpa perlu risau watak anda ‘underleveled’.

Untuk menguatkan watak, anda semestinya perlu banyak bertarung untuk meningkatkan level mereka. Namun, aspek yang tidak kurang pentingnya adalah untuk membuka akses kepada skil baharu.
Setiap watak boleh mempelajari skil asas dalam kategori Battle dan Support dengan menggunakan JP, iaitu mata khas yang diperoleh selepas setiap pertarungan. Ada juga Action Skill, yang berfungsi seperti abiliti yang boleh dipakai dan ditukar.
Anda masih memerlukan JP untuk membuka slotnya, tetapi sifatnya yang tidak terikat kepada mana-mana watak menjadikannya sangat fleksibel untuk dipindahkan antara watak bagi menyesuaikan strategi anda.

Selain itu, ada ‘Support Skill’ yang memberikan bonus pasif, dengan had empat skil bagi setiap watak. Untuk mengaksesnya, anda perlu mempelajari sekurang-kurangnya empat skil lain terlebih dahulu.
Nasib baik, game ini tidak memaksa anda untuk sentiasa mengaktifkan Support Skill; anda boleh mematikannya jika mahu cabaran yang lebih tinggi, memandangkan sesetengah bonus boleh menjadikan combat jauh lebih mudah.

Bagaimana pula dengan sistem Job (kelas)? Di sinilah letaknya perbezaan yang besar. Hanya kelas protagonis sahaja yang boleh ditukar, manakala ahli parti yang lain mempunyai ‘job’ yang telah ditetapkan secara kekal.
Perkara ini mungkin dilihat sebagai satu kekurangan oleh sesetengah pemain, tetapi saya tidak begitu terkesan kerana jumlah watak yang boleh dimainkan kini jauh lebih ramai, bukan sekadar lapan orang.
Keputusan reka bentuk ini kemungkinan besar dibuat untuk menjaga keseimbangan gameplay atau untuk mengelakkan pemain daripada runsing kerana terpaksa menguruskan pembangunan ‘job’ bagi setiap watak.

Perbincangan mengenai sistem ini tidak akan lengkap tanpa menyentuh tentang ‘Path Actions’, salah satu mekanik istimewa siri ini.
Dalam Octopath Traveler 0, pilihan yang ada adalah serupa dengan Champions of the Continent: anda boleh menawar harga barangan, meminta item secara percuma, mencabar NPC bertarung, merekrut mereka ke dalam pasukan, atau mempelawa mereka untuk menjadi penduduk baharu di Wishvale.

Kejayaan setiap Path Actions bergantung pada peratusan kebarangkalian yang dipaparkan, yang turut dipengaruhi oleh tahap Wealth, Power, dan Fame anda. Namun, oleh kerana kadar kejayaannya selalunya sangat tinggi, impak kegagalannya terasa sangat kecil. Ini menyebabkan pemain seakan-akan rugi jika tidak memanfaatkannya.
Pada pandangan saya, sistem ini wajar diperkemas agar tidak membuang masa pemain berinteraksi dengan setiap NPC.
Sebaik-baiknya, setiap pilihan haruslah memberi kesan yang lebih mendalam, menawarkan ganjaran yang lebih bermakna, dan mengenakan akibat yang lebih berat jika gagal, bukannya sekadar penalti reputasi yang mudah dipulihkan selepas lima kegagalan.
Kuasa Lapan Wira di Medan Perang

Kebanyakan elemen combat dari Champions of the Continent masih lagi diguna pakai. Perkara yang paling menonjol sudah tentu adalah formasi lapan watak yang bertarung serentak, tetapi mekaniknya diubah suai untuk mengekalkan keseimbangan.
Jika pemain diberi kawalan penuh ke atas kesemua lapan watak pada satu-satu masa, setiap pertarungan pasti akan menjadi terlalu mudah, walaupun pada tetapan kesukaran tertinggi, kerana kekuatan pasukan akan meningkat dua kali ganda.

Oleh itu, game ini mengadaptasi sistem tersebut dengan menggunakan barisan Front dan Back. Hanya watak di barisan hadapan sahaja yang boleh dikawal secara langsung. Watak di barisan belakang pula bertindak sebagai pasukan simpanan yang akan memulihkan diri secara beransur-ansur.
Pelaksanaan ini pada saya cukup bijak, kerana ia menjadikan watak di barisan belakang ibarat sumber tenaga simpanan yang dicas semula semasa combat. Apabila watak di hadapan nazak, anda boleh terus menukarnya dengan watak dari belakang yang berada dalam keadaan sihat, manakala watak yang cedera boleh pulih dengan selamat.

Sistem ini bukan sahaja menjadikan combat lebih dramatik dengan kehadiran ramai watak, malah ia benar-benar praktikal dan lebih seronok berbanding mekanik pertukaran watak dalam kebanyakan JRPG lain. Selebihnya, tiada banyak perubahan besar.
Jika anda sudah biasa dengan sistem combat Octopath Traveler, anda pasti boleh memahaminya dengan pantas tanpa memerlukan tutorial. Ia masih mengekalkan gaya turn-based klasik, di mana anda perlu mengeksploitasi kelemahan musuh untuk memecahkan perisai mereka dan meletakkan mereka dalam keadaan Break.

Setiap watak dibekalkan dengan beberapa jenis senjata yang boleh ditukar ganti serta pelbagai skil. Selain bergantung pada watak utama, anda juga boleh merekrut NPC rawak di dunia untuk membantu dalam pertarungan sebagai “Helper”.
Ini boleh dianggap sebagai skil bonus, kerana mereka bukanlah ahli parti tetap, tetapi anda boleh menggunakan satu skil unik mereka yang mungkin sangat berguna dalam situasi genting.

BP (Boost Points) juga kembali untuk menyokong mekanik Boost, yang membolehkan anda menggandakan kekuatan dan kesan serangan. BP dipaparkan sebagai titik merah dengan lima slot, dan anda akan mendapat satu BP pada setiap penghujung giliran.
Tiada perubahan di sini, namun penggunaan BP pada waktu yang tepat adalah kunci kemenangan, terutamanya ketika menentang bos yang sukar.
Sesetengah bos mempunyai fasa di mana kuasa mereka meningkat, dan anda perlu menggunakan serangan Boost yang paling kuat untuk memecahkan pertahanan mereka dan mengembalikan mereka ke keadaan biasa.
Tugas Membangunkan Semula Kampung Halaman

Setakat ini, Octopath Traveler 0 mungkin kelihatan hampir sama dengan Champions of the Continent. Namun, ada satu ciri yang benar-benar membezakannya, iaitu penambahan sistem pembangunan bandar.
Berbeza dengan pelaksanaannya dalam Champions of the Continent yang lebih terasa seperti misi sampingan linear, game ini memberikan anda sebuah kawasan yang luas—bekas tapak Wishvale—untuk anda bangunkan semula dari kosong.

Dibantu oleh Stia, rakan masa kecil protagonis yang merupakan seorang arkitek, anda akan bermula dengan membina bengkel, diikuti dengan rumah-rumah untuk penduduk, sebuah kedai minuman sebagai pusat komuniti, dan seterusnya memperluas kawasan dengan lebih banyak rumah serta fasiliti lain.
Sistem ini mempunyai UI yang ringkas, dan pemain tidak perlu pening kepala memikirkan susun atur kerana ia telah direka agar selari dengan gaya visual 2D permainan. Ini bermakna, anda tidak perlu risau tentang orientasi bangunan kerana semuanya akan menghadap ke hadapan secara automatik.

Selain bangunan, anda juga boleh menghias kampung dengan pelbagai objek dan mereka bentuk laluan pejalan kaki menggunakan material yang berbeza. Untuk memajukan Wishvale, anda perlu mengikuti jalan cerita utama bertajuk Kindlers of the Flame.
Misi ini juga akan menemukan anda dengan watak-watak baharu yang boleh direkrut sebagai ahli pasukan dan seterusnya menjadi penduduk tetap di kampung anda.
Setiap penduduk baharu akan mendiami rumah yang telah anda bina, dan anda bebas menentukan penempatan mereka, kecuali bagi watak-watak tertentu yang mempunyai peranan khas di fasiliti spesifik.

Secara keseluruhan, sistem ini tidaklah terlalu rumit. Sesetengah pemain mungkin akan berpendapat ia kurang rumit atau tidak diterokai sepenuhnya. Namun, saya secara peribadi menyukai pendekatan ini kerana ia tidak membebankan pemain yang ingin membina sebuah kampung yang cantik.
Kemajuannya juga disusun dengan rapi, jadi anda sentiasa tahu bila masa yang sesuai untuk mengembangkan Wishvale, termasuk lokasi terbaik untuk setiap binaan.
Bahagian yang mungkin sedikit mencabar adalah hiasan, kerana rekaan dalam mod builder kadangkala kelihatan berbeza apabila anda melihatnya semasa meneroka, menyebabkan rekaan yang pada mulanya nampak janggal mungkin kelihatan lebih menarik dalam gameplay sebenar.
Kualiti Visual yang Terjejas Akibat Aset Kitar Semula

Aspek ini penting untuk dibangkitkan kerana sesetengah peminat mungkin tidak akan perasan sehinggalah mereka memainkannya sendiri. Kita semua tahu bahawa visual HD-2D telah menjadi identiti utama francais ini. Malangnya, kualiti visual dalam Octopath Traveler 0 kelihatan sedikit kurang mengagumkan.
Hal ini boleh difahami kerana game ini menggunakan aset daripada Champions of the Continent, tetapi perbezaan kualitinya amat ketara jika dibandingkan dengan Octopath Traveler II.
Ini merangkumi tahap butiran dan kepadatan piksel, tekstur, serta pencahayaan, yang kesemuanya kelihatan setaraf atau lebih rendah sedikit berbanding Octopath Traveler pertama.

Oleh itu, bagi mereka yang menjangkakan kualiti visual setanding Octopath Traveler II atau sebarang inovasi baharu dalam gaya HD-2D, game ini mungkin akan mengecewakan. Tambahan pula, saya mendapati game ini sering mengalami sedikit gangguan prestasi setiap kali beralih ke cutscene tertentu.
Walaupun nampak remeh, ia boleh menjejaskan kelancaran bermain kerana masalah ini berlaku secara konsisten.
Pendapat

Dibangunkan daripada premis yang amat menarik—iaitu mengubah sebuah game mobile menjadi sebuah prolog penuh—saya dapat membayangkan betapa besarnya cabaran yang dihadapi. Namun, Square Enix berjaya menghasilkan sebuah game yang mempunyai identitinya yang tersendiri.
Dengan penceritaan yang berpusat pada dua tema yang kontras, iaitu dendam dan pemulihan, Octopath Traveler 0 cemerlang menggabungkan kedua-duanya menjadi satu pakej yang harmoni. Hasilnya, pemain diberi kebebasan untuk membentuk hala tuju protagonis tanpa terikat kepada satu jalan cerita sahaja.

Pemain yang pernah mencuba Champions of the Continent akan menemui banyak persamaan, terutamanya dari segi sistem combat. Walaupun begitu, game ini masih terasa segar dalam beberapa aspek, khususnya dengan adanya sistem pembangunan bandar yang mempunyai jalan ceritanya yang unik.
Jika diketepikan elemen kitar semula dan penurunan kualiti visual HD-2D, Octopath Traveler 0 merupakan sebuah permulaan yang sangat baik untuk pendatang baharu yang ingin mengalami dunia francais ini.

Octopath Traveler 0 akan tersedia pada 4 Disember, di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam, Epic Games Store, serta Microsoft Store.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Octopath Traveler 0
Octopath Traveler 0 ialah sebuah prekuel dengan kisah yang lebih gelap, menggabungkan tema dendam terhadap pemerintah zalim dengan usaha membina semula sebuah kampung yang musnah. Walaupun kami puji kerana kebebasan eksplorasi dan sistem combat lapan watak yang unik, game ini masih menggunakan semula banyak kandungan dari versi mobile serta kualiti visual HD-2D yang lebih rendah. Secara keseluruhan, ia dianggap sebagai titik permulaan yang mantap untuk pemain baharu.
PROS
- Penceritaan yang lebih matang dan emosional, mencengkam dari awal
- Kebebasan yang luas, memberikan pengalaman seakan RPG open world
- Senarai watak yang boleh dimainkan jauh lebih ramai berbanding Octopath Traveler I & II
- Sistem pembangunan bandar yang kreatif dan selari dengan tema pemulihan
- Formasi combat lapan watak yang sangat praktikal dan menyeronokkan
CONS
- Banyak elemen dan kandungan masih dikitar semula daripada Champions of the Continent
- Kualiti visual HD-2D menunjukkan penurunan yang ketara
- Path Actions sering kali tidak memberi impak atau akibat yang besar









Discussion about this post