Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle membuka tirai kepada pertarungan terakhir Demon Slayer Corps, menyajikan sebuah pengalaman sinematik yang pasti akan mengagumkan peminat paling tegar sekalipun.
Ditayangkan di Malaysia mulai 14 Ogos (dengan tayangan awal pada 13 Ogos), filem ini tidak membuang masa, menyambung terus selepas Hashira Training Arc.
Kisah menjadi semakin genting apabila Muzan Kibutsuji menyerang kediaman Ubuyashiki, lalu menghumban semua watak ke dalam Infinity Castle untuk sebuah pertarungan yang bakal menentukan segalanya.
Perlu diingatkan bahawa ini hanyalah bab pertama kepada pengakhiran siri ini. Judul rasmi filem, iaitu Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – The Movie: Infinity Castle – Part 1: Akaza Returns, merupakan filem pertama dalam siri finale yang terbahagi kepada tiga filem, dengan Part 2 dan part 3 bakal menyusul.
Walaupun jangkaan saya sebagai peminat yang sudah membaca manga begitu tinggi, saya masih terpukau dengan persembahan filem ini. Inilah ulasan (tanpa spoiler) saya.
Sebuah Mahakarya Visual
Pertama sekali, pujian harus diberikan kepada Ufotable, kerana hasil kerja animasi mereka sememangnya tiada tandingan. Kualiti visual dalam filem ini ternyata sungguh hebat.
Setiap butiran—daripada pelbagai teknik dan kekuatan Akaza, hinggalah ke skala megah dan seni bina Infinity Castle yang dinamik—dipersembahkan dengan butiran yang sangat teliti.

Tanpa mendedahkan spoiler besar, salah satu kemuncak utama sudah tentulah babak pertarungan antara Akaza, Tanjiro, dan Giyu. Kita pernah melihat sekilas kehebatan Akaza dalam filem Mugen Train pada tahun 2020, tetapi potensi sebenarnya masih belum ditunjukkan sepenuhnya.
Kini, dalam Infinity Castle, kita akhirnya berpeluang menyaksikan kuasa penuhnya dilepaskan. Cara Ufotable menghidupkan kemahirannya memang menakjubkan; setiap penumbuknya terasa padu dan berimpak, disokong oleh animasi yang cantik dan kesan bunyi yang tepat.

Bukan Akaza sahaja yang mencuri tumpuan. Tanjiro dan Giyu juga menerima penambahbaikan visual yang drastik berbanding siri anime. Animasi berjaya menangkap impak pergerakan mereka dengan begitu lancar sehinggakan penonton seolah-olah dapat merasai tenaga yang terpancar.
Lebih mengagumkan lagi, beberapa elemen baharu yang diperkenalkan dalam filem terasa begitu hidup dan nyata, memberikan kesan yang tidak dapat dirasai sepenuhnya hanya melalui bacaan manga.

Selain itu, kesan 3D dalam animasi digunakan dengan cemerlang, terutamanya melalui pergerakan kamera yang kreatif semasa babak pertarungan dan struktur Infinity Castle yang sentiasa berubah.
Perpaduan antara seni 2D yang terperinci dan perspektif 3D yang dinamik ini memberi pengalaman yang sinematik seolah-olah penonton berada di sana.
Bunyi dan Muzik lagi Menghidupkan Suasana
Dari segi reka bentuk audio, Infinity Castle mencapai satu standard yang baharu. Kesan bunyi direka dengan tepat untuk selari dengan setiap gerakan, serangan, dan perubahan suasana di dalam istana.
Daripada bunyi dentuman kuat tumbukan Akaza hinggalah ke bunyi desingan tajam teknik pernafasan, setiap bunyi memberikan kesan dan rasa realistik kepada aksi di skrin.
Bunyi latar yang halus, seperti lantai yang beralih, gema di koridor, dan bunyi dinding yang bergerak, turut memainkan peranan penting dalam menarik penonton ke dalam suasana.

Muziknya, seperti yang boleh dijangka daripada Demon Slayer, sangat luar biasa. Runut bunyinya merupakan adunan yang bijak antara orkestra yang gah dengan melodi instrumen tradisional Jepun.
Babak pertarungan menjadi lebih dramatik dengan iringan dan alunan instrumen pantas, manakala momen-momen yang lebih tenang dan menyentuh perasaan diiringi oleh melodi yang lembut. Lagu “Kamado Tanjiro no Uta” menjadi tumpuan utama, yang muncul beberapa kali dengan gubahan yang berbeza.
Setiap kali ia dimainkan, gubahannya diubah suai dengan irama dan nuansa berlainan agar secocok dengan mood babak tersebut.

Secara keseluruhan, kesan bunyi dan muzik ini berfungsi sempurna dengan animasi Ufotable, menjadikan setiap pertarungan, detik emosi, dan babak di dalam Infinity Castle terasa lagi sukar dilupakan.
Kisah Gabungan Aksi dan Emosi, Tetapi Pacing Diganggu Flashback
Dari sudut penceritaan, Infinity Castle menawarkan pengalaman tontonan yang lengkap, bukan sekadar aksi semata-mata. Filem ini diselitkan dengan elemen jenaka yang tidak dijangka, memberikan momen-momen ringan yang melegakan ketegangan sambil mengingatkan kita tentang ikatan antara watak-watak.
Pada masa yang sama, ia turut memaparkan momen-momen yang menyentuh hati, dengan babak-babak tertentu yang menyentuh tema keazaman dan betapa beratnya perjuangan yang perlu dihadapi.

Sudah semestinya, aksi pertarungan menjadi sorotan utama, dengan babak lawan berisiko tinggi yang membuatkan penonton tidak senang duduk. Koreografinya, ditambah pula dengan perkembangan watak sejak kisah-kisah awal, menjadikan setiap pertembungan terasa dekat di hati tetapi berskala besar.
Terdapat juga babak yang sarat dengan kemarahan dan putus asa, di mana watak-watak terpaksa melangkaui batas kemampuan mereka apabila berhadapan dengan musuh yang terlalu kuat.

Namun, aspek yang sedikit mengganggu bagi saya ialah rentak cerita semasa pertarungan Akaza. Walaupun saya faham babak flashback itu mengikut manga, peralihannya dalam sebuah filem berdurasi 2 jam 30 minit terasa agak janggal.
Filem ini bermula dengan membawa penonton terus ke dalam aksi tanpa pengenalan panjang, dan momentumnya dibina dengan baik sehinggalah babak flashback yang panjang semasa pertarungan Akaza memperlahankan rentaknya.
Walaupun penting untuk perkembangan watak, saya merasakan ia boleh disusun dengan lebih baik dan tidak diletakkan di tengah-tengah pertarungan yang sengit. Keadaannya ibarat sedang memecut laju di atas roller coaster, lalu tiba-tiba dihentikan untuk menikmati pemandangan di taman bunga yang tenang.

Walaupun begitu, humor, emosi, debaran, dan kemarahan watak menghasilkan aliran cerita yang dinamik, memastikan penonton sentiasa terhibur—ada kalanya ketawa, ada kalanya menahan nafas, dan sering kali membuat saya teruja dengan aksi yang dipaparkan.
Pendapat
Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle ialah sebuah permulaan yang hebat untuk final arc, lengkap dengan animasi yang mengagumkan, muzik yang tepat pada masanya, dan pertarungan yang mendebarkan.
Ufotable sekali lagi mempamerkan kehebatan mereka dalam mengadaptasikan penceritaan yang penuh emosi, koreografi aksi yang mantap, dan rekaan bunyi yang cemerlang untuk sebuah pengalaman sinematik yang sukar dilupakan.

Dari sudut negatif, kerana ini hanyalah bahagian pertama daripada tiga, beberapa watak tidak banyak muncul di skrin. Walaupun struktur ini memberi ruang untuk cerita berkembang, ia bermakna watak kegemaran ramai seperti beberapa Hashira dan watak sampingan hanya muncul seketika.
Apabila digabungkan dengan aliran cerita yang terganggu seketika, terutamanya semasa flashback di pertarungan Akaza, sesetengah babak terasa hilang momentum.

Meskipun begitu, Infinity Castle tetap sebuah karya yang mesti ditonton oleh peminat anime dan pembaca manga, sebagai konklusi yang pastinya gah.
Sama ada anda menonton untuk aksi hebat, momen-momenyang menusuk kalbu, atau sekadar mahu melihat watak kegemaran anda dihidupkan dengan visual paling hebat, filem ini tidak akan mengecewakan.
Untuk masa tayangan, lihat SINI.
The Review
Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle
Demon Slayer: Infinity Castle (9/10) ialah sebuah karya visual hebat dengan animasi luar biasa dan pertarungan yang sengit. Walaupun rentaknya sedikit perlahan akibat flashback, ia tetap permulaan yang epik untuk finale tiga bahagian ini dan wajib ditonton oleh semua peminat.
PROS
- Visual Ufotable sangat mengagumkan, dengan butiran hebat dalam seni 2D dan kesan 3D
- SFX yang berkuasa dan runut bunyi yang menyentuh perasaan, termasuk beberapa gubahan semula “Kamado Tanjiro no Uta” yang penuh emosi
- Aksi mendebarkan yang terasa peribadi dan sinematik
- Campuran humor, emosi, dan drama berisiko tinggi menjadikan mengekalkan pengalaman supaya menarik
- Peminat cerita asal akan menghargai bagaimana adaptasi ini mengikut babak-babak penting dengan teliti
CONS
- Flashback di tengah-tengah pertarungan sengit, terutamanya pertarungan Akaza, mengganggu momentum. Dengan durasi filem 2 jam 30 minit, kelembapan ini terasa lebih ketara
- Sebagai Part 1 daripada trilogi, banyak watak kegemaran peminat hanya muncul secara ringkas









Discussion about this post