MSI memang antara jenama paling bagus kalau korang sedang mencari laptop gaming premium dengan spesifikasi yang mantap. Sempena itu, mereka telah melancarkan MSI Stealth 15M yang memiliki pemproses Intel Core i7-11375H dan GPU Nvidia GeForce RTX 3060. Semuanya dibungkus ke dalam casis yang nipis dan ringan. Cuma persoalannya: “adakah ia bagus?” Kalau korang nak tahu jawapannya, inilah review saya untuk MSI Stealth 15M!
Reka bentuk
Reka bentuk MSI Stealth 15M sesuai dengan namanya, sangat “stealthy”. Warna di seluruh casis lebih ke arah minimalis di mana kita boleh melihat logo MSI di bahagian atas. Logo pun berwarna hitam, yang membuatnya nampak lebih serasi dengan casis keseluruhan. Permukaan komputer riba dilapisi dengan cat matte, termasuk papan kekunci, “palm rest” dan sebagainya. Oleh kerana bahannya matte, cap jari dan cap tangan memang tidak akan tertinggal di atas laptop.
Ukuran untuk MSI Stealth 15M adalah 358.3 x 248 x 16.15 mm, manakala beratnya adalah 1.7kg, yang boleh dianggap “ringan” untuk sebuah laptop gaming. Untuk port I/O, terdapat 2 USB Type-A (satu di setiap sisi), 1 Thunderbolt, 1 USB Type-C, 1 HDMI (sokongan hingga 4K @ 60Hz), 1 jack audio 3.5mm, dan slot micro SD. MSI juga memberi tetikus sekali, tetapi daripada segi penampilan, mungkin ramai yang tidak berkenan.
Papan Kekunci dan Touchpad
Papan kekunci lebih kurang sama dengan laptop gaming. Apabila tekan, semua butang “agak” senyap dan bukan “klik-klak” seperti keyboard gaming. Namun, tahap respon bagi setiap butang sangat lancar dan laju. Saya tidak mempunyai masalah semasa menaip dan rasanya ini adalah suatu kelebihan memandangkan sesetengah papan kekunci mempunyai tekstur yang kasar.
Selain itu, papan kekunci ini mempunyai lampu RGB yang boleh diubah suai menggunakan aplikasi MSI Dragon Center. Terdapat empat efek berbeza untuk kita pilih dan sekiranya anda ingin efek cahaya selain Steady (yang hanya menampilkan satu warna), Stealth 15M mempunyai pilihan tambahan: Light Speed yang mempengaruhi kepantasan apabila cahaya berubah. Papan kekunci memang mantap, tetapi touchpad kurang memuaskan. Seolah-olah seperti ada geseran yang menghalang saya daripada menggerakan jari dengan lancar.
Paparan
Ke paparan pula! Laptop ini mempunyai paparan IPS 15.6’’ yang menyokong resolusi hingga 1920×1080, dengan refresh rate 144Hz. Bagi saya, paparan pun cukup baik dan dianggap sebagai “standard” semasa untuk mana-mana laptop gaming. Ditambah lagi dengan fitur “anti-glare”, memang tidak ada masalah kalau kita menggunakan laptop dalam keadaan silau.
Warna semuanya cerah, dan paparan 144Hz menjadikan segala visual terasa sangat lancar. Satu lagi fitur istimewa adalah Stealth 15M boleh dibaringkan sehingga 180 darjah. Jikalau korang ada entah apa-apa sebab untuk membaringkan laptop ini, itu pun tidak menjadi masalah..
Isu pemanasan
Untuk laptop gaming yang begitu nipis, secara jujur, ini akan sentiasa menjadi isu. Walaupun ada enam ruang pengudaraan (satu di setiap sisi, dua di bahagian belakang, satu di atas papan kekunci, dan satu di bahagian bawah), laptop ini masih akan cepat panas. Saya hanya memuat turun game dan perisian penanda aras (dalam mod “Balance”) dan itu sudah cukup untuk membuatkan suhu naik mendadak hingga 80 darjah celsius. Anda boleh memilih, secara manual, memaksimumkan kelajuan kipas dalam mod Extreme Performance, tetapi bunyinya macam roket nak melepas pun ada.
Yang paling teruk ialah kepanasan dapat dirasakan di tangan apabila kita menggunakannya untuk tempoh masa yang lama.
Jangka hayat bateri
Satu lagi perkara penting yang korang harus tahu adalah ini bukan laptop dengan tujuan produktiviti. Itu memang bateri tahan lama. Tetapi ini adalah laptop gaming, jadi faham-faham lah. Dengan bateri sebanyak 52 Whr, saya membuat satu ujian yang mudah. Dalam proses menulis review MSI Stealth 15M, saya membuka lagu selama satu jam dan ingin lihat apakah hasil keputusan. Dari 92%, bateri telah turun hingga 62%.
Bagi aspek pengecasan, MSI Stealth 15M menyokong pengecasan Thunderbolt dan memberi adpater 150W yang mengecas bateri dari 24% hingga 78% dalam 1 jam. Wahhh, pantas kan? Kelajuan pengecasan memang pantas, tetapi malangnya, jangka hayat bateri tidak begitu handal. Tetapi jangan risau, pastikan korang membawa charger saja.
Dragon Center
Dragon Center adalah aplikasi khusus MSI yang membolehkan kita customise kebanyakan ciri-ciri dalam laptop. Terdapat mod gaming istimewa, di mana anda boleh memilih mod prestasi yang berbeza untuk beberapa game khusus dalam tab User Scenario. Jika anda memilih mod Extreme Performance, ia membolehkan kita overclock laptop dan meningkatkan kelajuan kipas hingga ke maksimum.
Anda juga dapat memantau prestasi laptop, sambil melihat suhu dan penggunaan CPU dan GPU. Untuk mereka yang sukakan visual, aplikasi ini juga penting bagi mengubah suai lampu RGB di papan kekunci.
Audio
Pembesar suara di bahagian bawah nampaknya menjadi kebiasaan untuk laptop pada masa kini, dan MSI Stealth 15M tidak terkecuali. Dengan persijilan Hi-Res Audio, kualiti bunyi cukup mantak untuk kita layan movie bersama kawan-kawan. Yang penting, kuat dan jelas. Sudah tentu, untuk pengalaman audio paling sedap, memang disarankan untuk memakai headset.
Penanda aras
Stealth 15M ini mencatat markah sebanyak 6,309 dalam 3DMark, tipikal untuk laptop dengan spesifikasi seperti ini. Ia mungkin boleh pergi lebih tinggi tetapi mungkin ada masalah termal, kerana laptop menjadi terlalu panas.
Dalam PCMark 10, laptop ini memperoleh markah 5,900, yang sebenarnya lebih baik daripada kebanyakan laptop gaming.
Pengalaman gaming
Satu-satunya masalah disini adalah suhu dan bunyi kipas. Selain itu, semuanya hebat, dan ia mudah menjadi salah satu laptop gaming dengan prestasi terbaik jika bukan kerana isu-isu di atas.
Biomutant (Tetapan Maksimum)
Prestasi sangat konsisten pada 60 FPS tanpa penurunan frame rate yang besar. Walaupun dalam situasi bertarung (sinilah tempat paling bermasalah), frame rate masih stabil, dan bagus.
RE Village (tetapan High)
Di dalam bangunan atau rumah, FPS akan sentiasa melebihi 150 FPS. Boleh dikatakan surga lah untuk sebuah laptop gaming. Sekiranya bermain di luar dengan aset flora/fauna yang bersepah, FPS akan jatuh pada 120 tetapi itu pun bukanlah sesuatu yang teruk bagi saya.
RE Village (RTX diaktifkan)
Disebabkan RTX diaktifkan, frame rate menjadi tidak stabil. Semasa di dalam rumah, FPS akan cecah antara 60-90 FPS, atas sebab-sebab yang saya tidak tahu. Tetapi apabila di luar, FPS menjadi stabil, dan cecah sekitar 55-60 FPS.
CSGO (tetapan Maksimum)
Tidak menjadi masalah sama sekali untuk menjalankan CSGO kerana saya berjaya capai lebih dari 150 FPS. Tidak ada input lag, jadi kita tidak akan ketinggalan aksi. Jika anda ingin bermain game kompetitif lain seperti Valorant, memang laptop ini mampu uruskan segalanya pada tetapan maksimum.
Pendapat
Segala-galanya tentang aspek gaming dan reka bentuk memang memuaskan hati saya untuk MSI Stealth 15M. Dengan badan yang nipis dan ringan, rekaan minimalis, dan permukaan matte yang kemas, laptop ini pasti menjadi perhatian untuk warga netizen yang tidak begitu suka design terlalu “flashy”. Bagi aspek prestasi, laptop ini terlalu mengagumkan, di mana pengalaman gaming saya berganda lebih seronok. Ia siap boleh menjalankan RE Village dengan RTX ON, bersama purata 60 FPS yang stabil!
Tetapi dua masalah paling serius tentang laptop ini adalah jangka hayat bateri dan pemanasan termal. Ia mudah menjadi panas (sehingga boleh dirasa ke tangan), dan apabila perkara ini berlaku, kipas serta merta menjadi terlalu bising. Jika anda tidak kisah tentang semua kekurangan itu dan hanya ingin laptop gaming dengan spesifikasi canggih demi menguruskan semua game AAA terkini, saya sarankan anda untuk dapatkan MSI Stealth 15M sekarang.
Itu sahaja untuk review saya bagi MSI Stealth 15M! Kalau ada sesiapa yang berminat, laptop ini sudah dilancarkan di Malaysia pada nilai harga RM6699. Untuk maklumat lanjut, sila lihat laman web rasmi MSI di sini.
Jika anda ingin membelek segala liputan kami tentang MSI, korang boleh tekan pautan ini.
[wpdatatable id=38]@gamersantaimy
Discussion about this post