“Kiri dulu~ Eh kanan dulu~ Tak dua-dua kaki kena gerak sekali lah!” Menyelaraskan keempat-empat kaki anda dengan pasangan adalah satu cabaran, tetapi ini adalah kerjasama chaos yang dimiliki oleh pembangun NEXT Studio untuk anda dalam permainan terbaru mereka, Biped! Biped adalah sebuah permainan video terbaru yang membawa aksi co-op dengan memberi fokus dalam setiap perjalanan serta kolaborasi untuk 2 pemain!
2 robot comel bernama Aku dan Sila akan bekerjasama di sisi untuk penegmbaraan yang penuh aksi untuk diharungi! Robot-robot ini berfungsi di kapal Angkasa ‘Onion dan merupakan anggota pasukan intergalaksi yang ditugaskan untuk memperbaiki suar dan membawa cahaya ke Bumi.
Kali ini, kami sekali lagi berpeluang mencuba permainan yang comel dan tersangatlah sesuai untuk dimainkan bersama keluarga atau rakan anda! Jangan risau, kalau solo pun boleh, ada je mod nya disediakan! Dah bersedia dengan pengembaraan dua bipedal robot yang comel? Jom mulakan!
Pengenalan permainan
Biped adalah sebuah permainan fizik 3D aksi pengembaraan yang sangat memerlukan fokus yang kuat antara kolaborasi dua pemain. Kali ini kami mencuba terus dalam mod co-op yang semestinya menjadi sangat seronok sampai tergelak-gelak tak ingat dunia!
Bermula dengan stage tutorial, mula-mula memang rasa agak janggal, kerana Biped hanya menggunakan Joystick pada Dualshock 4 kita! Iya hanya menggunakan kedua joystick untuk penggerakan kaki Aku dan Sila, berskating, memegang, mematahkan dan mencampak barangan untuk mendapat coin!
Pengembaraan selepas tutorial membawa kami ke banyak kawasan yang sangat cantik dan misteri~ Ada macam hutan, air terjun lah, tempat berais la, dan semua ini membawa kami untuk selesaikan halangan yang sememangnya memerlukan kolaborasi yang baik bersama pasangan bermain.
Jom mulakan pengembaraan bersama Aku dan Sila!
Aku dan Sila ni comel sangan ibarat bola bulat dan petak dengan dua kaki yang baru belajar berjalan! Seperti yang dinyatakan diatas, tiada kawalan butang lain untuk penggerakan dua robot ni, hanya menggunakan Joystick kiri dan kanan sahaja untuk segalanya. Adapun butang anak panah lah, tapi ianya hanya untuk mengeluarkan emoji yang kita boleh tekan dan kononnya itu untuk menyatakan perasaan kita ketika itu pada teman permainan.
Nak gerak tu memang kena ikut rentak dengan betul, ada antara platform yang memerlukan 2 atau 3 kaki sahaja diatas nya, maka salah satu robot perlu mengangkat satu lagi kaki agar platform tidak mengecil. Ada juga yang memerlukan penggerakan melalui warna robot kita. Jadi ikuti warna tersebut untuk setiap langkah yang dibuka! Jangan pula letak kedua-dua kaki sekali, sia-sia mati sebab platform hilang. Memang comel la sebab nak gerakkan robot kita ni memang kena ikut step by step kalau tak, jadi kelam kabut terutama macam atas platform yang bergerak!
Teruskan sahaja perjalanan yang perlu dipergi, makin lama makin selesa untuk bermainnya, cuma jangan ingat game ni comel ianya akan menjadi mudah! Sebaliknya semua stage platform akan menjadi susah! Lagi satu pastikan jangan jauh sangat dengan pasangan, lebih 16m je pasangan akan mati dan kembali pada anda. Jadi sentiasa gerak bersama, kerjasama ikut rentak yang diperlukan, jangan kelam kabut sangat nak selesaikan misi-misi tersebut!
Ye sememangnya perlu sangat berhati-hati dan teruskan dalam keadaan tenang. Kalau menggelabah memang 50 kali anda dan pasangan co-op anda akan mati. Awal permainan kami rasa platform yang disediakan agak sukar, ada juga platform yang memerlukan pasangan berpisah seketika untuk menyelesaikan puzzle tertentu. Contohnya, Aku perlu duduk disitu untuk menekan butang yang diperlukan dan Sila perlu menanti Aku agar dia boleh ke seberang dahulu dan kemudian gilirannya melakukan pekara yang sama untuk Aku pula meyeberangi kepadanya untuk membuka peringkat seterusnya.
Coin juga ada dimana-mana! Pastikan perhatikan sekeliling kerana ada tong barrel, cactus, carrot, tulang, atau kawasan tertutup yang memerlukan anda untuk pecahkan, cabutkan dan mencari “harta karun” tersebut. Kalau tak buat, rugi lah anda. Kemudian, terdapat mini game dalam permainan jika anda terjumpa coin berwarna turqois! Pergi kat coin tersebut, kemudian anda akan masuk ke cabaran masa terhad dimana anda perlu kumpul semua coin biru dengan cepat sebelum masa habis! Ganjarannya adalah coin biasa yang banyak!
Peta stage memang banyak~ senang cerita ada 30 keseluruhannya, setiap daripada peta sebenarnya ada waktu untuk kita capaikan, tapi disebabkan banyak kerenah main dengan pasangan, sudah semestinya perjalanan akan melebihi dari masa yang diperlukan! Mati lebih dari 10 kali tu lagilah dah pasti~ Ok nak gelak jap! Tertolak pasangan sikit pun boleh terjatuh, jadi kalau korang geram dengan pasangan, pergi cabut carot dan gunakannya untuk “pelepuk” pasangan anda!
Setiap perjalanan, ada juga robot lain yang memerlukan bantuan Aku dan Sila, jadi ikut arahannya antaranya seperti perlu bantu robot menyeberangi platform atau bantuan mereka diperlukan untuk ke peringkat seterusya. Jika dah membantu mereka, maka dapatlah ganjaran darinya. Bagi mod solo, walaupun petanya sama, tapi perjalanannya dan gameplaynya agak berbeza sedikit. Jadi anda sememangnya akan selalu jumpa robot lain untuk menyelesaikan misi anda. Tetapi jujur, lebih seronok bermain dengan pasangan!
Grafik dan Visual
Dari segi grafik, Biped sangat terang dan sebuah permainan yang penuh dengan warna, peta sangat kemas, bersih dan menarik! Ada antara peta yang diliputi ais, macam padang pasir, hutan dan banyak lagi untuk kekalkan keseronokan dalam permainan. Semua peta memang sangat teliti sebab robot kita akan meninggalkan tapak kaki juga di tanah!
Secara visual pula, Biped ibarat kartun 3D yang membawa watak seperti Wall-E kartun dari Pixar tu~ Semua peralatan nampak sangat up-to-date kerana membawa ke dunia angkasa lepas kan. Untuk audio, lagu-lagu memang comel, untuk watak mereka menggunakan bahasa robot yang sememangnya kami tak faham apa yang diboraknya. Tapi, jangan risau ada translate terutama pada NPC yang memberi kita tugas. Cuma agak sukar sikit nak faham perintahnya sebab cepat sangat hilang bubble talk tu. Ha! Lagi satu, anda boleh tendang hempuk NPC tersebut, kerana ada diantaranya boleh mengeluarkan coin!
Kesimpulannya~
Paling penting dalam permainan Biped ini adalah yang pertama, Sentiasa dekat dengan pasangan anda; Kedua, Komunikasi, rancang dan lepaskan diri dari peringkat sebagai kerjasama satu pasukan; dan yang Ketiga, Skil dan rentak permainan haruslah difaham betul-betul, inilah peluang anda untuk kenali pasangan anda melalui mulutnya yang kuat membebel~
Jadi, secara keseluruhannya Biped adalah sebuah permainan yang sangat menyeronokkan terutama dalam mod co-op! Bukan sahaja comel, semua misi peringkat yang sangat mencabar membuatkan kita geram dan ingin teruskan permainan lagi! Apa lagi yang anda nantikan? Mainlah bersama rakan, atau keluarga atau dengan anak-anak anda, sebab Biped memang seronok dan bukan hanya permainan yang biasa-biasa!
Biped kini hadir di platform PlayStation 4, PC via Steam dan Nintendo Switch pula akan datang. Harganya hanyalah RM79 di PlayStation 4 dan PC kini ada diskaun hanya RM27.20 sehingga 30 Mei ini. Harga asalnya adalah RM32.00. Murah kan? Jadi apa lagi yang anda nantikan! Dah bosan PKP ni, ni lah peluang untuk berseronok dengan rakan dan keluarga bermain permainan ini!
@gamersantaimy
The Review
Biped
Biped adalah pilihan yang sangat baik untuk pemain dewasa dan kanak-kanak. Permainan solo agak menyeronokkan tetapi tidak seseronok mod co-op!
PROS
- Kawalan yang sangat mudah hanya menggunakan Joystick!
- Permainan Co-op menarik dan menyeronokkan
- Tidak membosankan! Ada sahaja stage yang mencabar dan robotnya sememangnya comel!
CONS
- Arahan yang dikeluarkan terlalu cepat hilang
- Mod Solo agak tepu
Discussion about this post