Mengadaptasi sebuah filem aksi langsung dari siri permainan video popular adalah perkara yang sukar. Sebaik sahaja filem-filem seperti ini diumumkan, pasti ramai peminat akan memberi kritikan negatif sekiranya mereka menemui sesuatu yang tidak sepadan dengan permainan asli. Di sini saya akan akan memberi review peribadi tentang ‘Dynasty Warriors‘, sebuah filem berdasarkan siri permainan musou popular dengan nama yang sama.
Seperti yang anda semua tahun, filem Dynasty Warriors adalah adaptasi dari permainan video hack-and-slash Jepun yang telah kekal popular selama 24 tahun di 15 konsol berbeza. Filem ini pada awalnya memulakan penggambaran pada tahun 2017, tetapi tidak dapat dikeluarkan kerana sebab-sebab kewangan. Akhirnya, ia dilancarkan pada tahun 2021 di China dan kini boleh ditonton di Netflix untuk penonton antarabangsa termasuk Malaysia.
Diarahkan oleh Roy Hin Yeung Chow, Dynasty Warriors dibintangi oleh Louis Koo sebagai Lu Bu, yang terkenal dengan sejarahnya sebagai pahlawan terkuat menentang Cao Cao (Wang Kai). Filem aksi langsung ini juga memfokuskan Liu Bei (Tony Yang), yang merupakan keturunan dari Maharaja Shu serta dua rakan setianya Guan Yu (Han Geng) dan Zhang Fei (Justin Cheung). Untuk menyampaikan ciri-ciri terkenal dari siri permainan video ini, versi filem menggunakan adegan aksi yang “agak” bombastik, sebilangan tentera yang besar (kebanyakannya CGI), dan kesan khas untuk abiliti unik dalam permainan.
Pandangan pertama saya? “Woww, macam dalam game lah.” Filem Dynasty Warriors bermula dengan adegan pertempuran yang sama seperti permainan di mana Liu Bei, Zhang Fei dan Guan Yu tiba di medan peperangan, dan menewaskan berpuluh-puluh askar seorang diri menggunakan kemahiran dan abiliti seperti dalam permainan.Kesan khasnya memang “over-the-top” tetapi mungkin agak sesuai kerana ia diadaptasikan daripada permainan dan bukan dari sejarah sebenar China.
Daripada segi visual, filem ini memang cantik dan memiliki sinematografi yang mengagumkan oleh Tse Chungto tetapi ia bukan 100% bagus. Disebabkan filem ini adalah filem aksi dengan kuasa unik dan sihir, teknologi CGI banyak digunakan. Niat ingin meniru permainan, tetapi hasil akhir tidak begitu kemas di mana pertarungan terakhir antara wira-wira dan Lu Bu ternyata agak kelakar kerana kesan khas CGI yang buruk. Jangan harap kualiti yang sama seperti Marvel Cinematic Universe ya? Saya hanya mampu puji bahagian sinematografi sahaja yang menunjukkan persekitaran China yang menawan. Ia memang cantik dan boleh dikatakan antara yang terbaik pernah saya lihat.
Visual boleh tahan, tapi filem ini tidak begitu berjaya daripada segi konsep cerita. Di sini, saya akan memberi sinopsis pendek. Jalan cerita mengisahkan Liu Bei, Guan Yu, dan Zhang Fei yang berusaha untuk mengalahkan seorang diktator kejam bernama Dong Zhuo (Suet Lam). Pada masa yang sama, Cao Cao, seorang lelaki licik dan kononnya “pembunuh upahan, juga melarikan diri kerana cuba membunuh diktator yang sama. Mereka berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan untuk akhirnya bersatu. Namun, kini harus menghadapi cabaran tersebut iaitu mengalahkan pahlawan legenda, Lu Bu.
Siri permainan Dynasty Warriors memiliki latar belakang dan naratif luas yang menceritakan kerajaan Wei, Wu, dan Shu, bersama dengan beberapa puak lain. Ia mempunyai potensi untuk sebuah adaptasi filem luar biasa yang penuh dengan watak-watak menarik dan adegan aksi hebat yang membuatkan permainan popular. Walau bagaimanapun, filem Dynasty Warriors ini gagal pada plot ceritanya yang terbatas, dan merugikan peluang untuk menyerlahkan watak-watak sedia ada.
Plot naratif ini bukan sahaja tidak menepati versi permainan malah mengelirukan penonton yang tidak tahu tentang francais permainan tetapi masih berminat untuk menonton bersi filem. Setiap adaptasi filem dari sumber yang terkenal memerlukan sejumlah pengetahuan dan pemahaman asas daripada penonton, tetapi filem Dynasty Warriors tidak akan menjelaskan apa yang terjadi di mana penonton sendiri harus tahu apa yang berlaku dan dari mana watak-watak ini berasal.
Pada masa yang sama, isu ini membuatkan ramai tidak faham tentang latar belakang bagi setiap watak kerana sejarah atau motivasi mereka tidak dijelaskan dengan betul. Malangnya, hanya peminat setia sahaja yang mempunyai ilmu cukup untuk memahami sepenuhnya skop dan naratif filem ini. Saya beri contoh. Mengapa pahlawan paling kuat di China, Lu Bu, jatuh cinta pada seorang wanita yang tidak dikenali iaitu Diao Chan? Walaupun peminat pasti tahu tentang kisah Diao Chan, penonton baru mungkin tidak tahu bagaimana situasi ini boleh berlaku.
Selain itu, apakah tujuan senjata mistik yang diberikan kepada Liu Bei, Guan Yu, dan Zhang Fei oleh Master of the Sword Forge Castle (Carina Lau)? Kita tahu hanya yang terpilih sahaja layak mendapat senjata ini dan ia diperlukan untuk bertarung dengan Liu Bei, tetapi setakat itu sahaja ke untuk penjelasannya? Latar belakang bagi senjata mistik ini nampaknya seperti titik plot yang sangat penting, tetapi tidak pernah dijelaskan selepas itu. Disebabkan ada terlalu banyak “plot hole” dalam naratif, filem ini cuba untuk menarik perhatian penonton melalui kesan khasnya yang canggih dan sinematografi yang menawan.
Untuk aspek lakonan, semua pelakon sebenarnya melakukan kerja yang bagus. Louis Koo sebagai Lu Bu memang menyerlah dan setiap kali dia muncul, kita dapat melihat persona seorang pahlawan yang agung. Wang Kai pun berlakon dengan bagus sebagai Cao Cao, dan mempunyai “chemistry” yang baik dengan Tony Yang sebagai Liu Bei. Seorang lagi pelakon yang saya suka ialah Carina Lau, yang berlakon sebagai Master of the Sword Castle. Walaupun penampilannya tidak lama, sejarah Carina Lau sebagai aktres yang berpengalaman dapat dilihat melalui lakonannya.
Secara keseluruhan, filem ini memukau secara visual jika anda suka aksi “over-the-top” dan tidak kisah kalau CGI nya agak kelakar. Namun, semua ini dihampakan oleh naratif penceritaan yang tidak kemas dan kurang jelas. Walaupun filem ini berakhir secara “cliffhanger”, saya pasti ia akan mendapat sekuel di mana kisah kerajaan Wei, Wu, dan Shu baru bermula. Adakah ia akan memperbaiki kesilapan di filem pertama? Saya tidak tahu. Kita hanya mampu tunggu sahaja apabila ia keluar nanti. Itu sahaja untuk review saya tentang filem Dynasty Warriors! Apa review anda pula tentang filem Dynasty Warriors? Jom kongsikan pendapat di ruang komen.
Untuk pembaca yang berminat, anda boleh menonton filem ini sekarang di Netflix. Bagi segala liputan kami tentang francais Dynasty Warriors, sila tekan pautan ini.
Sumber gambar – Netflix
@gamersantaimy
Discussion about this post