Kemas kini Patch 5.0 untuk Diablo Immortal bakal dilancarkan secara rasmi pada 17 Jun 2026, dan membawa lebih daripada sekadar pelarasan biasa.
Diberi nama “The Bloodied Jewel,” kemas kini besar ini memperkenalkan class kesepuluh: Warlock, yang mempertaruhkan gaya permainan berisiko tinggi demi ganjaran yang lumayan (high-risk, high-reward).
Selain berpeluang bermain sebagai spellcaster yang menyeru iblis, pemain juga dapat meneroka bandar klasik Lut Gholein yang kini dicemari, menewaskan boss baharu, serta menikmati pelbagai kemas kini quality-of-life yang menjadikan pengalaman bermain jauh lebih lancar. Berikut adalah ulasan kami.
Class Warlock Baharu

Tarikan utama Diablo Immortal Patch 5.0 pastinya class Warlock. Berbeza dengan Necromancer yang bergantung pada tentera undead, Warlock pula menggunakan ilmu hitam iblis yang terlarang. Di sini, anda boleh menyeru makhluk terus dari Burning Hells sambil melancarkan Shadow Magic dan Hellfire.
Tema class ini memang sangat kena dengan jiwanya. Bermain sebagai Warlock bermakna anda perlu menggadaikan keselamatan diri demi kuasa. Anda harus mengorbankan nyawa sendiri, memberikan buff kepada iblis seruan melalui ritual gelap, dan bermain secara agresif untuk mengimbangi antara risiko dengan ganjaran.
Gaya permainan sebegini sangat serasi dengan dunia Diablo yang gelap dan kejam.

Perkara yang paling mengejutkan kami selepas mencuba Warlock ialah betapa aktifnya cara ia dimainkan. Pada mulanya, kami menyangka ia seakan-akan Necromancer—di mana minion melakukan sebahagian besar kerja bertarung.
Sebaliknya, anda perlu sentiasa bergerak aktif, mencari cara untuk menggabungkan skill, dan menguruskan sumber dengan teliti.

Minion utama anda iaitu Soulgorger merupakan inti penting bagi class ini. Ia bukanlah sekadar minion pakai buang, sebaliknya bertindak seperti rakan seperjuangan yang berkembang seiring dengan watak anda. Memang sangat memuaskan melihat ia memakan musuh yang tewas dan memperoleh abiliti baharu.
Hal ini memberikan rasa kemajuan yang menyeronokkan walaupun hanya dalam pertarungan biasa.

Skill seperti Infernal Eruption dan Devouring Darkness pula amat menonjol dalam pertarungan berskala besar. Campuran taktik mengunci musuh, menyekat kawasan, dan mencetuskan letupan memberikan ritma pertempuran yang unik kepada Warlock berbanding class lain.
Kembali ke Lut Gholein

Bagi peminat tegar Diablo, peluang untuk kembali ke Lut Gholein pastinya menjadi antara tarikan. Namun, apa yang paling mencuri tumpuan bukanlah sahaja melihat semula bandar klasik itu, tetapi menyedari betapa banyaknya ia telah berubah.
Melalui jalan cerita “The Bloodied Jewel,” Lut Gholein tidak berfungsi sebagai tempat mengimbau nostalgia sahaja. Ia benar-benar terasa seperti sebuah bandar yang telah hancur akibat kekejaman kuasa syaitan.
Berjalan di celah-celah bangunan yang kosong, jalanan yang hancur, serta kawasan kejiranan yang tercemar melahirkan suasana suram yang cukup besar.

Game ini tidak hanya bergantung pada elemen nostalgia semata-mata. Jalan ceritanya memanfaatkan lokasi ikonik ini untuk menunjukkan betapa besarnya ancaman semasa terhadap dunia Sanctuary.
Ini membuatkan patch baharu terasa seperti sebuah perkembangan naratif yang bermakna, dan bukannya cubaan untuk meniru Diablo II bulat-bulat.
Boss Helliquary Baharu
Walaupun tumpuan utama diberikan kepada Warlock, pertarungan boss Helliquary baharu juga tidak kurang hebatnya. Kadangkala, raid boss dalam Diablo Immortal boleh terasa agak terasing daripada plot utama. Namun kali ini, barisan boss “Pitbound” yang diperkenalkan sangat berkait rapat dengan tema kemas kini ini.

Boss bernama Gulakht sangat menyerlah kerana latar belakangnya yang menyeramkan. Ia merupakan seekor Khazra yang menjadi gila akibat dijadikan bahan eksperimen selama berabad-abad, sekali gus mendedahkan sejarah gelap dunia Sanctuary yang telah dilupakan.
Selain itu, ada Shackled Maw, seekor boss yang terasa seperti versi seram kepada teman Soulgorger milik Warlock. Kemunculan iblis-iblis kuno ini sebagai raid boss sangat membantu mengikat keseluruhan jalan cerita dengan lebih erat.

Antara ketiga-tiga boss baharu tersebut, Yradus pastinya yang paling sukar untuk ditewaskan, terutamanya pada tahap kesukaran Inferno XV.
Blizzard mengesyorkan pemain untuk mencapai sekurang-kurangnya Paragon Level 1700 dengan kira-kira 64,000 Combat Rating sebelum cuba melawannya, menjadikannya antara pertarungan raid yang paling mencabar dalam game buat masa ini.

Kami juga sangat kagum dengan visual dan suasana pertarungan yang cukup epik, selain aspek mekanik gameplay-nya. Diablo Immortal jelas semakin mahir dalam menghasilkan pertarungan boss yang gah.
Jika anda seorang pemain veteran yang fokus pada fasa endgame, barisan boss ini menawarkan cabaran yang sangat berbaloi dan bukannya ‘seasonal filler’ biasa.
Kemas Kini Senyap Tetapi Sangat Bermakna
Di samping penambahan kandungan, patch ini turut membawa beberapa perubahan quality-of-life dan penambahbaikan sistem yang patut dipuji.

Peningkatan had Server Paragon ke tahap 1500 memberi matlamat baharu kepada pemain lama untuk dikejar. Pada masa yang sama, ‘experience boost’ membantu pemain baharu serta pemain lama untuk mengejar level semasa.
Tambahan pula, sistem drop untuk Legendary Essence telah disegarkan semula, menjadikan proses mencari barang jauh lebih efisien kerana anda tidak lagi perlu menapis banyak loot lapuk yang tidak berguna.
Kemas kini sebegini mungkin tidak cukup gah untuk ditayangkan dalam trailer, tetapi kepentingannya setanding dengan kandungan baharu. Memandangkan game ini telah mengumpul pelbagai sistem yang rumit selama bertahun-tahun, inisiatif pihak pembangun untuk memudahkan keadaan amatlah dihargai.
Ada juga Legendary Gem baharu bernama Hellbound Desire yang nampak cukup berpotensi untuk build berfokuskan damage. Secara teori, ia sangat sesuai bagi pemain yang gemar memberi tekanan berterusan kepada musuh sambil memaksimumkan damage semasa pertarungan yang panjang.
Pelbagai Event Menarik

Selain kandungan baharu, Blizzard turut melancarkan pelbagai event bagi meraikan kedatangan Warlock. Semasa sesi pratonton, kami berpeluang mencuba beberapa event tersebut.
Tarikan utamanya termasuk event New Class Experience yang dibahagikan kepada tiga bahagian berbeza:
- Episodic Experience: Sebuah event ringkas yang menawarkan item Mystery Legendary dan Mystery Set sebagai ganjaran.
- Hellish Trials: Di sini anda boleh mendapatkan lebih banyak Mystery Legendary dan ganjaran yang paling bernilai: iaitu sebuah Stash Tab tambahan untuk menyimpan kelengkapan.
- Warlock Race Challenge: Ini merupakan event ala speedrun di mana anda perlu cuba menguasai class baharu secepat mungkin. Peserta berpeluang memenangi kosmetik eksklusif Warlock, Legendary Crest, serta lebih banyak item Mystery.
Apa yang paling kami hargai adalah kesemua aktiviti ini langsung tidak terasa meletihkan. Walaupun anda bukan jenis pemain yang suka speedrun, objektifnya tetap mudah dicapai.
Pemain baharu pasti tiada masalah untuk mendapatkan ganjaran yang berbaloi, manakala pemain veteran pula mendapat dorongan tambahan untuk mencantikkan build mereka.

Blizzard turut memperkenalkan Phantom Market baharu yang menampilkan set kosmetik “Beacon of Hope”. Cita rasa kosmetik sememangnya subjektif, tetapi ini mungkin salah satu set Phantom Market paling gempak yang pernah dikeluarkan.
‘Main Armor’ menampilkan skema warna putih yang dipadankan dengan sayap malaikat serta efek bercahaya. Rekaan ini sangat kontras dengan identiti Diablo Immortal yang biasanya gelap dan suram, membuatkan pemain mudah menonjol di kawasan bandar yang sesak mahupun semasa aktiviti berskala besar.
Jika mahu berehat seketika daripada bermain Warlock, beberapa event biasa seperti Earth Resurgent, Path of Shadow, dan Bloody Hell turut kembali. Walaupun semua event ini tidak mengubah mekanik gameplay asas, ia memberi lebih banyak peluang untuk mengutip loot dan menaikkan level.
Dengan pelbagai pelancaran dan sambutan untuk Warlock, barisan event ini membuatkan Diablo Immortal Patch 5.0 terasa seperti satu perayaan yang meriah, dan bukannya sekadar kemas kini kandungan biasa.
Bagi pemain yang pernah berhenti dan terfikir untuk bermain semula, ini adalah masa yang paling tepat untuk kembali. Dengan adanya class baharu, serta pelbagai event yang berlangsung serentak, ganjaran berterusan sentiasa menanti anda.
Peningkatan Prestasi

Salah satu kejutan paling menggembirakan ketika bermain baru-baru ini adalah betapa lancarnya game ini berbanding semasa awal pelancarannya. Versi PC kini berjalan dengan sangat baik.
Walaupun hanya menggunakan komputer lama (cip Ryzen 5 3600 dan kad grafik Radeon RX 6800), saya masih boleh bermain pada ‘Max Settings’ di resolusi 1440p tanpa sebarang masalah stuttering.
Gameplay masih lancar biarpun ketika berada di tengah-tengah peperangan yang dipenuhi dengan minion, letupan Hellfire, serta efek serangan musuh di seluruh skrin.
Pendapat

Selepas meluangkan masa meneroka kandungan dalam Diablo Immortal Patch 5.0, rumusan terbesar kami ialah “The Bloodied Jewel” jauh lebih besar daripada kemas kini class biasa. Kehadiran Warlock sahaja sudah cukup untuk merombak meta Diablo Immortal.
Apabila digabungkan dengan bandar Lut Gholein, boss Helliquary baharu, serta pelbagai kemudahan quality-of-life, keseluruhan pakej kemas kini ini sangat padat dan memuaskan.
Lebih penting lagi, Warlock langsung tidak terasa seperti versi tiruan kepada class sedia ada. Ia berjaya membina identiti tersendiri melalui abiliti menyeru iblis, mekanik manipulasi portal, serangan yang mengorbankan nyawa, dan minion Soulgorger yang boleh berevolusi.
Game ini tersedia untuk main di Android, iOS, dan PC. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

![[Eksklusif] Diablo Immortal – Visi Blizzard Untuk Warlock, Dungeon Baru & Crossover Akan Datang](https://cdn.gamersantai.com/2026/06/DIABLO-IMMORTAL_5.0-INTERVIU_FI-350x250.jpg)


![[Eksklusif] Diablo Immortal – Visi Blizzard Untuk Warlock, Dungeon Baru & Crossover Akan Datang](https://cdn.gamersantai.com/2026/06/DIABLO-IMMORTAL_5.0-INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post