Sebagai sebuah RPG ikonik yang berusia lebih dua dekad, FINAL FANTASY X/X-2 HD Remaster bukanlah nama yang asing dan berada di hampir semua platform. Namun, tambahannya di Nintendo Switch 2 membawakan daya tarikan sendiri.

Meskipun tidak menawarkan sebarang cerita baharu, versi ini menambah baik pengalaman sedia ada dengan fungsi Booster yang praktikal serta lonjakan prestasi mudah alih menerusi perkakasan terbaharu. Hasilnya ialah sebuah pengembraan klasik yang lebih pantas, lancar, dan selesa untuk dimainkan di mana-mana sahaja.
Inilah ulasan kami.
Penambahan Booster & Impak Gameplay
Seperti kami kata tadi, penambahan terbesar dalam versi Nintendo Switch 2 ialah set Booster. Kita mendapat pilihan seperti Turbo mode (kelajuan 2x dan 4x), Enemy Encounter Override, Supercharge, dan Auto Battle.
Selain itu, kita boleh mengubah parameter permainan untuk memaksimumkan Gil, membuka semua skill, atau mendapatkan semua item serta-merta.

Tiada satu pun pilihan ini yang mengacau jalan cerita atau sistem asas gameplay. Ia sekadar memberi kawalan penuh terhadap gaya permainan; sama ada kita mahu melepasi grinding yang berulang dengan cepat, atau santai menikmati cerita mengikut rentak sendiri.
Turbo mode dan Enemy Encounter Override merupakan ciri yang paling praktikal. Kedua-duanya membolehkan pemain menyesuaikan rentak permainan, lantas menjimatkan masa apabila meneroka kawasan, level grinding, atau bertarung “random encounter” yang berulang.

Supercharge pula direka untuk pemain yang mengutamakan naratif. Dengan menjadikan setiap pertarungan lebih mudah, anda boleh memberi tumpuan sepenuhnya pada jalan cerita FINAL FANTASY X dan X-2 tanpa dihalang oleh “tembok kesukaran”.
Auto Battle juga satu penambahan yang menyenangkan, walaupun tahap kegunaanya bergantung pada game yang anda main. Biar saya jelaskan lebih khusus.

Dalam FINAL FANTASY X, combat sangat bergantung pada peranan setiap watak dan mengeksploitasi kelemahan musuh. Hanya ahli party yang bertindak dalam combat akan menerima EXP, jadi kita akan kerap menukar watak mengikut jenis musuh.
Disebabkan Auto Battle hanya menggunakan “basic attack” secara berterusan, ia hanyalah kemudahan sampingan dan bukannya ciri yang boleh diharapkan sepanjang permainan.

Sebaliknya, FINAL FANTASY X-2 dimanfaatkan sepenuhnya oleh Auto Battle. Dengan hanya tiga ahli party dan sistem leveling standard, basic attack sudah memadai untuk menumpaskan kebanyakan random encounter.
Apabila digabungkan dengan Turbo mode, proses level grinding dan AP farming untuk membuka abiliti Dressphere dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
Prestasi Mod Handheld, Grafik & Masalah Skip Cutscene
Seperti versi Switch biasa, NS2 masih mengekalkan ciri skrin sentuh. Kita boleh menyentuh skrin untuk pulih dengan pantas semasa meneroka, atau menetapkan durasi animasi summon (FINAL FANTASY X) serta transformasi Dressphere (FINAL FANTASY X-2).
Walaupun ini adalah satu sentuhan yang bagus, faedahnya agak kecil jika dibandingkan dengan kewujudan Booster.

Dari segi prestasi, game ini agak solid secara keseluruhan. Seperti remaster lain, gameplay dikekalkan pada locked 30 FPS. Pada Switch 2, visual mencapai resolusi sehingga 1440p dalam mod docked dan 1080p dalam mod handheld.
Walaupun model watak jelas menunjukkan era PlayStation 2, arahan seni masih nampak tajam, terutamanya pada skrin handheld.

Sepanjang sesi bermain, frame rate kekal konsisten. Pengaktifan Turbo mode terasa pantas dan responsif tanpa sebarang masalah stuttering ketara.

Namun begitu, ada satu kekurangan: kita masih tidak boleh skip cutscene. Tidak seperti versi Steam, versi NS2 melupakan ciri ini. Pemain baharu mungkin tidak terkesan, tetapi peminat lama yang mahu melangkau babak cerita yang pernah ditonton mungkin akan rasa sedikit kecewa.
Switch 2 vs Konsol Lain: Berbaloikah Beli Semula?

Oleh sebab FINAL FANTASY X/X-2 HD Remaster ditawarkan di pelbagai platform, setiap versi mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri:
- Steam: Versi paling lengkap dari segi fungsi. Merangkumi Booster, sokongan skip cutscene, dan sistem auto-save.
- PlayStation 4 & Xbox Series X|S: Prestasi yang stabil, namun langsung tidak mempunyai fungsi Booster.
- Nintendo Switch (Asal): Tiada Booster, resolusi lebih rendah, serta memberikan prestasi keseluruhan yang kurang memuaskan berbanding versi Switch 2.

Perlu diingatkan juga bahawa tiada laluan upgrade mahupun pemindahan save data. Jika sudah memiliki versi Switch, anda terpaksa membeli edisi Switch 2 secara berasingan tanpa boleh membawa masuk save file sedia ada.
Bagi pemilik versi Switch pula, keputusan untuk membeli bergantung sama ada fungsi Booster itu berbaloi atau tidak. Versi Switch 2 tidak dinafikan ialah cara portable terbaik untuk menikmati game ini, tetapi penambahbaikannya lebih berfokus pada faktor kemudahan dan bukannya kandungan baharu.

Meskipun begitu, sekiranya anda mahukan fleksibiliti mudah alih bersama set Booster, versi Switch 2 tanpa ragu ialah platform terbaik untuk mencuba dua game ini.
FINAL FANTASY X: Perjalanan Emosional Tidus & Yuna Melawan Sin
FINAL FANTASY X mengisahkan tentang Tidus dan seorang summoner bernama Yuna dalam misi untuk menewaskan entiti pemusnah gergasi dikenali sebagai Sin, sambil membongkar rahsia tragis di sebalik dunia Spira.

Sebagai antara RPG paling disanjung sepanjang zaman, FINAL FANTASY X masih meninggalkan impak besar. Meneroka Spira melalui mata Tidus sebagai ‘orang luar’ menonjolkan realiti pahit dunia tersebut serta pengorbanan penghuninya.
Hubungan romantik antara Tidus dan Yuna pula adalah antara salah satu kisah cinta paling nostalgia dalam sejarah gaming, malah kerap tersenarai antara momen paling menyentuh hati walaupun sudah lebih dua dekad wujud.
Sistem Combat CTB & Pembangunan Watak Sphere Grid

FINAL FANTASY X menggunakan sistem combat CTB (Conditional Turn-Based Battle) yang memaparkan urutan giliran. Ini membolehkan kita merancang strategi lebih awal serta menyesuaikan langkah mengikut kelajuan, corak serangan, dan kelemahan musuh.
Berbeza dengan combat turn-based tradisional, CTB memberi penekanan pada pertukaran watak dan pengurusan peranan. Setiap ahli party memainkan peranan yang unik, memaksa kita kerap menukar watak di tengah-tengah combat bagi menghadapi pelbagai jenis ancaman.

Daripada bergantung pada sistem level-up biasa, kemajuan watak diuruskan melalui sistem Sphere Grid yang sangat unik. Kemenangan dalam combat menganugerahkan Ability Points (AP) yang digunakan untuk bergerak di atas “node map” yang luas bagi membuka peningkatan stat, magic, dan ability.
Walaupun setiap watak bermula pada laluan mengikut peranan asas mereka, pemain bebas melencong ke laluan lain seiring kemajuan gameplay. Sebagai contoh, Yuna yang bermula sebagai healer dan summoner boleh diarahkan ke laluan Black Magic untuk dijadikan spellcaster hebat.
Kebebasan dalam customization watak inilah faktor utama yang membuatkan gameplay kekal relevan dan memikat.
Eksplorasi Linear & Cabaran Mini-Game yang Susah

Berbanding RPG moden, eksplorasi dalam FINAL FANTASY X bersifat tradisional dan linear. Kawasannya berstruktur tanpa gangguan side quest yang keterlaluan, membolehkan game ini mengekalkan fokus dan rentak cerita.
Game ini turut mempunyai pelbagai mini-game yang selalunya terbuka di fasa akhir cerita dengan ganjaran equipment canggih. Namun begitu, beberapa cabaran mini-game ini terkenal kerana amat susah, lalu menjadi halangan besar buat pemain “completionist” yang mahu membuka segala-galanya.
FINAL FANTASY X-2: Yuna Mencari Identiti Baharu
Kisah FINAL FANTASY X-2 pula bermula selepas kekalahan Sin, dalam era yang dikenali sebagai Eternal Calm. Yuna berganding bahu dengan sepupunya Rikku dan rakan baharu bernama Paine untuk membentuk kumpulan Gullwings; yang berkhidmat sebagai “sphere hunter” sambil meneroka Spira yang sedang mengalami perubahan.

Berbeza dengan tema pengorbanan berat dalam game sebelum, FINAL FANTASY X-2 membawa nada yang lebih santai.
Perubahan drastik ini pernah menimbulkan kontroversi semasa pelancaran, namun di sebalik visual yang ranggi itu tersembunyi naratif yang berat; yang mengupas perjalanan seorang summoner yang telah mencurah segalanya demi dunia, dan kini berusaha mencari identiti baharu selepas beban takdir diangkat.
Bebas daripada Spira, Yuna akhirnya berpeluang menentukan kehidupan yang benar-benar diinginkan.

Game ini mengadaptasi struktur misi berasaskan bab. Kita boleh melawat semula wilayah-wilayah “familiar” di Spira untuk melihat evolusi dunia, di samping melihat watak-watak lama menyesuaikan diri dengan era kedamaian.
Sistem Combat ATB & Ketidakseimbangan Dressphere

FINAL FANTASY X-2 bertukar kepada sistem Active Time Battle (ATB) serta memperkenalkan Dressphere. Penggunaan Dressphere membolehkan watak kita menukar job dan gaya pertarungan serta-merta di tengah-tengah combat.

Combat terasa lebih pantas dan dinamik berbanding sistem CTB FFX yang strategik, namun sedikit mengorbankan unsur taktikal. Keseimbangan job juga kurang sekata; sesetengah Dressphere terlampau “overpowered” sementara yang lain agak tidak berguna.
Apabila sudah membuka job peringkat tertinggi, kita tidak lagi bertukar ke job lain, dan combat biasa jarang sekali memerlukan penukaran job secara strategik.
Sistem Completion Rate & Cabaran Membuka Secret Ending
Meskipun FINAL FANTASY X-2 tidak menerima julangan setinggi game asal, ia menampilkan “secret ending” yang memberikan penutup sempurna buat kisah Tidus dan Yuna, dan memberi dorongan kuat kepada pemain untuk mengejar kadar “completion” yang tinggi.

Kemajuan naratif dipantau menerusi peratusan kelengkapan yang akan bertambah setiap kali kita menyelesaikan misi dan memajukan cerita. Mencapai peratusan yang ditetapkan akan membuka ending rahsia tersebut.

Bagaimanapun, syarat kelengkapan game ini terkenal kerana amat ketat sekali. Meskipun tidak memerlukan 100% untuk menonton ending rahsia, amat mudah untuk kita terlepas dialog kecil, cutscene pendek, atau trigger tertentu… walaupun sedang merujuk panduan secara langkah demi langkah.
Bagi pemain kasual, sistem ini sekadar pelengkap kepada dunia permainan, namun buat golongan completionist, ia boleh menjadi satu pengalaman yang cukup menjengkelkan.
Pendapat
Daya tarikan terbesar FINAL FANTASY X/X-2 HD Remaster di Nintendo Switch 2 bukanlah peningkatan grafik atau kandungan cerita baharu, tetapi terletak pada fungsi Booster serta prestasi daripada perkakasan terbaharu ini.

FINAL FANTASY X tidak dapat disangkal lagi ialah bintang utama. Walaupun visualnya mula menunjukkan tanda-tanda usia, jalan cerita, combat taktikal CTB, dan sistem Sphere Grid masih terasa seronok hingga hari ini.
FINAL FANTASY X-2 mungkin tidak mencapai impak naratif yang sama, namun berjaya mengembangkan masa depan Spira, menjelaskan perkembangan peribadi Yuna, dan menawarkan ending rahsia yang amat memuaskan buat peminat Tidus dan Yuna.

Buat pemain baharu, Switch 2 ialah pilihan konsol terbaik ketika ini. Fungsi Booster membuatkan JRPG klasik yang panjang ini jauh lebih mesra pengguna, manakala format mudah alih sangat serasi dengan skala pengembaraan.

Bagi peminat lama yang sudah memiliki versi Nintendo Switch, agak susah untuk kami menyarankan game ini melainkan anda memang inginkan pengalaman handheld yang terbaik. Jadi lebih baik untuk menunggu jualan murah.








Discussion about this post