Baru-baru ini, kami berpeluang untuk mencuba Code Vein II selama kira-kira tiga jam. Dalam sesi tersebut, kami dapat mencipta watak sendiri, mempelajari asas gameplay melalui tutorial, meneroka dunianya, dan juga berhadapan dengan dua boss yang hebat.
Ini merupakan pengenalan awal yang agak komprehensif tentang apa yang ditawarkan oleh game ini, memberikan kami gambaran yang baik tentang mekanik asas dan gameplay loop-nya.

Sebagai sekuel, Code Vein II kembali ke latar “Revenant di dunia post-apocalyptic” yang menjadi trademark siri ini. Namun, kali ini, pertaruhannya lebih tinggi.
Ia bukan lagi sekadar kisah tentang makhluk vampire yang cuba untuk terus hidup; kerana satu ancaman besar yang mampu memanipulasi masa kini meletakkan seluruh dunia di ambang kemusnahan.
Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah previu kami.
Dunia Apokalips Sama, Namun Lebih Gelap
Code Vein II membawa sebuah cerita tersendiri, tetapi peminat game pertama akan menemui elemen-elemen yang biasa seperti Revenant dan ancaman pemburu yang sentiasa ada. Struktur naratif juga terasa seperti game pertama, lantas terasalah kesinambungannya.

Kisah bermula pada zaman dahulu, dengan satu peristiwa misteri dipanggil “The Resurgence” melanda seluruh dunia, yang mengubah manusia dan haiwan menjadi makhluk mengerikan yang dikenali sebagai Horrors dan merosotkan tamadun.
Pada saat-saat paling gelap bagi umat manusia, para Revenant yang telah lama bersembunyi muncul dari bayang untuk mengurung malapetaka ini, membawa kepada satu era keamanan.

Kini, seabad kemudian, kurungan itu semakin lemah. Cocoons yang menahan The Resurgence mula pecah, mengancam untuk memulakan bencana yang akan menamatkan dunia. Di dalam Cocoons ini tersimpan Offspring of The Resurgence, makhluk yang asal-usulnya dirahsiakan dan hanya diketahui oleh segelintir Revenant.

Untuk mengelakkan kiamat ini, anda dan teman anda, Lou, mesti mengembara 100 tahun ke masa lampau. Misi adalah untuk mencari Heroes legenda yang pertama kali mengurung The Resurgence, memusnahkan Cocoons, dan mengalahkan Horrors sebelum mereka sempat melenyapkan dunia.

Berdasarkan trailer dan sesi percubaan kami, Code Vein II juga menampilkan wajah baharu. Visual yang diinspirasikan daripada anime dalam game pertama telah digantikan dengan gaya seni 3D yang lebih realistik. Dunianya masih terasa suram, dengan seni bina gah menambahkan lagi suasana post-apocalyptic.
Walaupun gaya baharu ini berjaya membuatkan kita lebih ‘asyik’ dalam dunia permainan, sesetengah persekitaran dan model watak dalam versi demo ini terasa sedikit kasar. Kami jangkakan ia akan dikemas kini dalam versi akhir nanti.
Cipta Watak Anda

Seperti kebiasaan, salah satu perkara pertama yang akan anda lakukan dalam Code Vein II ialah mencipta watak sendiri, dan pilihan customization yang disediakan sangat banyak.

Anda boleh mengubah suai segala-galanya, daripada gaya dan warna rambut kepada raut wajah, ketinggian, dan bentuk badan. Anda juga boleh melaraskan saiz dada dan pinggul. Selain pilihan asas ini, pelbagai aksesori seperti perhiasan rambut, gaya mata yang unik, topeng, dan lingkaran cahaya membolehkan pengayaan yang lebih terperinci.
Bagi pemain yang suka meluangkan masa berjam-jam untuk mencipta avatar sempurna, sistem ini pastinya satu impian.
Combat Lebih Pantas, Namun Beri Impak

Dari segi combat, Code Vein II mengekalkan “rasa impak” yang menjadi ciri khas siri ini, membezakannya daripada banyak action RPG lain yang memfokuskan kepada combo sepantas kilat.
Ada rentak dalam setiap aksi; pergerakan antara menyerang, mengelak, dan parry tidak berlaku serta-merta, dan game ini sangat tegas tentang tindakan mana yang diberi keutamaan.
Serangan kuat dan skil hebat mempunyai tempoh recovery, dan langkah yang salah masa boleh menyebabkan anda tidak dapat berbuat apa-apa dan terdedah kepada serangan musuh.

Reka bentuk ini memaksa anda untuk berfikir tentang timing dan posisi, bukannya sekadar menekan butang tanpa henti. Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk dibiasakan, tetapi apabila anda sudah memahaminya, combat menjadi sesuatu yang memuaskan dan bersifat strategik.
Walau bagaimanapun, pada peringkat awal, terutamanya apabila berhadapan dengan musuh atau boss baharu, combat boleh menjadi sangat mencabar.
Bina Watak Cara Anda
Blood Code kembali dan masih menjadi asas kepada build watak anda. Ia bertindak seperti class, menentukan statistik asas anda—Strength, Dexterity, Mind, Willpower, Vitality, dan Fortitude—yang seterusnya mempengaruhi senjata dan kelengkapan yang boleh anda gunakan.
Tidak seperti kebanyakan game ala “Souls-like”, anda boleh menukar antara Blood Code pada bila-bila masa, membolehkan pemain mengubah gaya permainan sepenuhnya mengikut kehendak.

Satu perubahan besar dalam sekuel ini ialah skil tidak lagi terikat pada Blood Code. Sistem “Gift” lama telah digantikan dengan “Weapon Formae”. Kini, setiap senjata didatangkan dengan set skil uniknya sendiri, yang dibahagikan kepada abiliti pasif dan aktif. Skil aktif pula dipecahkan lagi kepada jenis serangan, buff, dan magic.
Anda juga boleh mengubah suai loadout skill yang berbeza pada senjata yang sama, memberikan lebih banyak kebebasan untuk mencipta tetapan yang sesuai dengan anda. Perubahan ini menjadikan pengurusan skil lebih mudah, di mana Blood Code kini lebih tertumpu pada penentuan statistik dan hala tuju watak anda.

Pilihan senjata mempunyai impak yang besar terhadap cara anda bermain. Dalam sesi demo, kami dapat mencuba one-handed sword, two-handed sword, dual sword, bayonet rifle, great hammer, and rune sword. Senjata ringan mengutamakan kelajuan dan mobiliti, membolehkan anda melancarkan combo pantas.
Senjata berat pula menggantikan kelajuan dengan kuasa mentah, memerlukan anda untuk mengatur masa serangan dengan teliti. Senjata jarak jauh seperti bayonet rifle membolehkan anda bertarung dari jauh dan mengawal rentak combat.
Menukar senjata bukan sekadar menukar statistik; ia mengubah sepenuhnya pendekatan anda terhadap combat dan menggalakkan pemain untuk bereksperimen dengan Blood Code dan senjata yang berbeza.

Satu ciri baharu bernama “Heart Jail” (atau “Jail”) menambah satu lagi lapisan kepada combat. Tujuan utama Jail adalah untuk menyerap darah daripada musuh anda, yang kemudiannya ditukarkan menjadi Ichor—sumber yang diperlukan untuk menggunakan skil anda.

Combat loop ini mudah: serap Ichor, gunakan skil, habiskan Ichor, dan kemudian serap lagi. Dengan menyelaraskan sistem Blood Veil dan serangan darah yang kompleks ke dalam sistem Jail baharu ini, Code Vein II mempermudahkan mekaniknya tanpa mengorbankan kerumitan.
Ini memberi fleksibiliti untuk menggabungkan Blood Codes, senjata, dan Jail untuk mencipta pelbagai strategi.
Pemain Tidak Keseorangan
Sistem partner turut kembali, membolehkan anda membawa seorang teman yang dikawal oleh AI ke dalam combat. Partner akan berjuang di sisi anda dan juga boleh menghidupkan anda semula (revive), memulihkan sebahagian daripada nyawa . Selepas revive, teman anda akan berundur seketika dari pertarungan untuk pulih.

Perlu diingat bahawa anda tidak boleh bergantung pada revive selama-lamanya. Setiap kali dihidupkan semula, nyawa yang dipulihkan akan menjadi semakin sedikit, dan selepas tiga atau empat kali revive, partner anda tidak akan dapat menyelamatkan anda lagi.

Anda boleh memilih sama ada mahu teman anda bertarung di sisi anda atau bergabung bahru untuk meningkatkan kebolehan anda sendiri. Ini ditunjukkan pada health bar anda: bahagian kuning ialah nyawa anda sendiri, manakala bar biru bertindak sebagai perisai yang disediakan oleh partner anda.
Sebarang damage yang anda terima akan ditolak daripada bar biru terlebih dahulu.

Setiap teman juga mempunyai “Link Trait” unik yang memberikan buff pasif. Trait ini hanya aktif selagi bar perisai biru masih mempunyai baki nyawa. Jika perisai itu habis, anda akan kehilangan buff ini buat sementara waktu.
Meneroka Dunia yang Musnah
Dunia Code Vein II terasa lebih terbuka berbanding game sebelumnya. Anda boleh menggunakan fast travel di sekitar peta, dan game ini tidak memaksa anda mengikuti laluan cerita yang linear.

Gameini meneruskan pendekatan minimalis dalam membimbing pemain. Daripada memenuhkan skrin dengan penanda objektif, ia menggunakan cutscene dan reka bentuk persekitaran untuk menunjukkan arah tuju anda. Mini-map hanya memaparkan kawasan yang telah anda terokai, tetapi ia sudah cukup untuk membantu anda bergerak.
Susun atur level, pencahayaan, dan petunjuk halus lain akan membimbing anda ke destinasi seterusnya secara semula jadi.

User Interface juga telah dikemaskan. Menu equipment kini lebih intuitif. Di sebelah kiri, anda akan melihat gear yang tersedia; di tengah ialah statistik dan skil anda; dan di sebelah kanan ialah senarai atribut watak anda. Ini menghasilkan pengalaman yang lebih kemas dan mesra pengguna berbanding game pertama.
Pendapat
Sesi demo Code Vein II kami menunjukkan evolusi untuk siri ini, dengan sistem yang lebih mudah diakses dan mekanik yang lebih bersepadu.
Walaupun combat yang berat dan kelancaran animasi memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan, dan visualnya masih boleh diperbaiki, sistem Blood Code dan Jail yang dipermudahkan, skil berasaskan senjata, dan penerokaan lebih terbuka merupakan penambahbaikan yang sangat dialu-alukan.

Sekiranya versi akhir nanti dapat mengemas kini lagi aliran combat dan menggilap visualnya, Code Vein II berpotensi untuk menjadi sekuel yang berjaya. Berdasarkan pandangan awal ini, kedua-dua pemain baharu dan veteran siri ini mempunyai banyak perkara untuk dinantikan.

Game ini akan dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam pada 30 Januari 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post