Kohei Ikeda, pengarah game dan ketua penerbit di sebalik Tekken 8, telah meletakkan jawatannya daripada Bandai Namco Entertainment. Pemergian beliau menandakan berakhirnya karier selama 20 tahun bersama syarikat tersebut.
Dikenali oleh peminat dengan nama gelaran “Nakatsu,” Ikeda merupakan antara tokoh utama francais Tekken selama dua dekad. Walaupun pencapaian terbarunya adalah memantau pelancaran Tekken 8 serta merancang post-launch roadmap bagi game tersebut, sumbangan beliau sebenarnya sudah lama dalam sejarah IP ini.
Beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah untuk Tekken 7, menjadi produser Tekken 3D: Prime Edition, serta menyumbang sebagai pereka untuk Tekken Tag Tournament 2. Karier beliau di syarikat itu sebenarnya bermula dengan Soulcalibur IV, di mana beliau bertugas sebagai ‘battle effect director.’
Dalam mesej, Ikeda mengimbau perjalanannya daripada seorang pelajar yang menghabiskan masa di pusat arked sehingga menjadi peneraju salah satu francais game terbesar di dunia.
“Bagi orang seperti saya, menjadi sebahagian daripada Namco—syarikat yang sentiasa saya kagumi—adalah satu impian yang menjadi kenyataan,” kata Ikeda. Beliau menyatakan bahawa “harta” paling berharga dalam kariernya adalah hubungan yang dibina bersama Fighting Game Community (FGC).
Beliau turut menghargai segala pujian serta “kritikan pedas” yang membantunya mengimbangi dan menambah baik kualiti game sepanjang tahun.
Pemergian Ikeda berlaku pada waktu yang agak mencabar bagi pasukan pembangunan Tekken. Ia menyusuli perletakan jawatan tokoh utama francais tersebut, Katsuhiro Harada, yang meninggalkan Bandai Namco pada Disember 2025 selepas 31 tahun berkhidmat. Harada kini menubuhkan “VS Studio” di bawah naungan SNK.
Dengan ketiadaan Harada dan sekarang Ikeda, pasukan “Tekken Project” bakal memasuki era baharu. Bagaimanapun, Ikeda memberi jaminan bahawa masa depan Tekken 8 berada dalam tangan yang selamat.
Beliau telah “menyerahkan baton” kepada pasukan veteran yang berkongsi komitmen yang sama untuk sentiasa mendengar suara komuniti.









Discussion about this post