Rainbow Six Extraction merupakan sebuah game co-op shooter 3 pemain terbaru dalam dunia Rainbow Six yang dibangunkan oleh Ubisoft. Game ini telah diumumkan semasa acara E3 2019 sebagai kemasukan seterusnya untuk siri Rainbow Six Tom Clancy. Namun pelancarannya telah ditangguhkan kerana wabak pandemik yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020, dan mengganggu proses pembangunan game ini.
Akhirnya, hari ini Rainbow Six Extraction telah pun dilancarkan di acara E3 2021, setelah ditunda selama lebih setahun. Kami telah diberi peluang untuk mencuba sendiri game tactical shooter ini di platform PC, dan merasakan sedikit gameplay asas dari permainan penuh. Selepas bermain beberapa jam, saya ingin menerangkan pada anda, apa yang bakal dirasai pemain apabila dimainkan. Jadi, ini adalah pandangan pertama saya mengenai Rainbow Six Extraction!
Satu peta yang meliputi banyak ketakutan
Dari segi grafik untuk Rainbow Six Extraction, ianya mempunyai pemandangan yang sangat menarik, kesan pencahayaan dan pantulannya pada setiap model menjadikan game ini lebih realistik. Reka bentuk musuh mungkin nampak seperti biasa sahaja, tetapi ianya telah dipelbagaikan dengan rupa zombi humanoid yang membawa karung besar di belakang mereka dan akan meletup apabila ditewaskan sangat menarik. Malah rupa untuk watak musuh bos sangat menakutkan, dan ia mampu menembak dari tangannya.
Saya juga sangat tertarik dengan reka bentuk kawasan yang dibina oleh pembangun. Walaupun hanya ada satu peta sahaja yang tersedia untuk dimainkan, iaitu peta Alaska, tetapi level in-game dirancang dengan sangat teliti. Terdapat banyak kawasan yang tertutup dan sempit, yang mungkin boleh membuatkan anda merasa sesak serta tidak selesa kerana akan ada adegan tembak menembak. Malah, jika pemain berdiri secara sebaris dalam ruang yang sempit, mungkin akan menyebabkan mereka tertembak rakan pasukan sendiri secara tidak sengaja.
Walau bagaimanapun, game ini masih mempunyai beberapa kawasan terbuka untuk dimainkan, cuma anda mungkin kena mencari cara untuk mengelakkan dari dikesan musuh ketika bergerak di kawasan lapang.
Musuh yang boleh menghasilkan damage walaupun sudah mati
Musuh-musuh dalam Extraction ini dipanggil sebagai Archæan, dan ia mempunyai pelbagai jenis yang berbeza rupa. Saya tidak pasti sama ada saya telah melihat ke semua jenis musuh yang ada, tetapi mungkin hampir semua jenis sudah muncul sepanjang saya bermain game ini.
Selain itu, perkara penting sekali untuk kekal selamat dalam game ini adalah, anda perlu sentiasa berhati-hati dari Nest, kerana ia mampu menghasilkan sesuatu yang dipanggil Sprawl untuk memperlahankan pergerakan pemain dan menarik perhatian musuh. Anda boleh menembak Sprawl untuk membersihkan semula laluan, tetapi ia tidak akan memberi kesan jika anda menggunakan senjata melee.
Disamping itu, antara musuh lain yang paling biasa anda akan jumpa juga adalah Grunt, iaitu zombi humanoid biasa dan zombi Bloater atau Breacher yang membawa karung besar di belakang mereka. Terdapat perbezaan antara Bloater dan Breacher, iaitu Bloater akan meletup lalu menghasilkan asap toksik. Manakala Breacher pula akan meletup dan menghasilkan damage pada semua yang ada disekelilingnya.
Dalam Extraction juga, anda akan bertemu dengan musuh kecil yang sangat berbahaya, iaitu Sticky Spores. Jika pemain menghampirinya, ia akan melekat pada mereka untuk beberapa saat dan meletup lalu menghasilkan damage yang menyakitkan. Walaupun Sticky Spores agak kecil dan mungkin sukar untuk dilihat, tetapi anda boleh mengelak atau menembaknya sebelum ia melekat pada pemain. Jika Sticky Spore melekat pada rakan pemain, anda boleh menembaknya supaya ia jatuh. Namun, perlu diingatkan, jika tembakan itu tersasar maka anda hanya menembak rakan dan nyawa mereka akan berkurang.
Dari gameplay PvP, ke PvE
Rainbow Six Extraction memberikan gaya gameplay PvE dengan maksima 3 pemain dalam satu pasukan, serta tiada PvP, dan ianya satu perubahan baru jika hendak dibandingkan dengan Rainbow 6: Siege. Walaupun ianya boleh dimainkan secara solo, tetapi anda disarankan untuk bermain secara parti
Terdapat 9 senarai operator yang anda boleh mainkan, tetapi Sledge hilang tanpa dikesan, jadi pemain perlu menyelesaikan beberapa jenis objektif untuk menyelamatkannya. Sebelum ini saya tidak pernah bermain Rainbow 6: Siege, jadi saya tidak tahu siapa Sledge dalam game ini. Tapi sebelum anda boleh memilih operator sendiri, Extraction akan memberitahu pemain jenis objektif yang perlu diselesaikan supaya kita tahu apa yang harus dilakukan atau difokuskan.
Setiap game akan mempunyai 3 objektif yang akan dipilih secara rawak oleh sistem. Berikut adalah senarai objektif yang anda akan mainkan:
- Specimen: Menarik sasaran ke Extraction Zone untuk menangkapnya.
- Decontamination: Mendapatkan sample dari Nest yang tercemar di kawasan tertentu dalam peta.
- Nest Tracking: Misi memecah masuk untuk menanam penjejak dalam kawasan Nest yang tercemar tanpa disedari.
- Triangulation: Mencari dan mengaktifkan 3 laptop tertentu dalam sub-map untuk mendapatkan intel.
- Serial Scan: Menangkap dan mengawal siri atau kawasan dari ancaman gelombang makhluk asing.
- Hunt: Membunuh beberapa Archæan biasa untuk menyeru Elite Archæan serta membunuhnya juga.
- Rescue: Menyiapkan objektif untuk menyelamatkan operator yang hilang.
- No One Left Behind: Membawa kembali ahli pasukan anda yang tewas ke Extraction Zone.
- Shutdown: Membawa 3 bahan letupan ke Parasite Tower untuk melumpuhkannya.
- Sabotage: Mempertahankan muatan letupan untuk beberapa masa dari serangan gelombang Archæan.
- Biopsy: Mengumpul sampel tisu dari sasaran tertentu melalui takedown.
Kesukaran setiap objektif ini berbeza-beza, ada yang sangat mudah untuk diselesaikan, dan ada juga yang memerlukan bantuan dari pasukan anda. Untuk pengetahuan anda juga, urutan objektif dalam senarai tidak berdasarkan tahap kesukarannya, jadi ada kemungkinan objektif pertama sudah mula menjadi sukar untuk anda selesaikan.
Antara sebab saya katakan yang urutan objektif tidak berdasarkan tahap kesukarannya adalah kerana semasa saya melakukan operasi Decontamination, saya perlu membunuh sejumlah Breacher yang akan meletup apabila mereka mati atau berdekatan dengan pemain. Bagi saya ketika itu sangat sukar untuk diselesaikan, dan ahli pasukan kami asyik mati disebabkan damage yang dihasilkan Breacher.
Salah satu lagi sebab adalah ketika di operasi Rescue Mission, di mana pemain ditugaskan untuk menyelamatkan operator yang hilang. Anda akan mendapati yang operator tersebut dalam tawanan Chimera Archæan Tree, dan ada sejumlah Pulsating Fuel Pods yang mengikatnya untuk mendapatkan kekuatan melawan pemain. Cara untuk menyelamatkan operator itu hanyalah anda perlu menghancurkan Pulsating Fuel Pods tersebut berulang kali.
Dari sinilah koordinasi kerjasama antara pemain dan pasukannya ditunjukkan, kerana salah seorang dari mereka perlu mencari cara untuk menyelamat operator, dan dua pemain lain pula mencari kedudukan yang strategik untuk menghancurkan Pulsating Fuel Pods. Sekiranya anda berada di kawasan dengan dua ketinggian yang berbeza, salah seorang perlu menyerang dari atas, manakala pemain lain akan melakukan serangan dari bawah.
Seperkara lagi yang boleh saya kongsikan pada anda ialah indikator kesihatan operator akan dibawa ke game seterusnya. Contohnya, jika anda menggunakan Hibana untuk game pertama, dan ditamatkan pada 50HP, jadi game kedua nanti nyawa Hibana akan bermula dengan paras 50HP juga. Sekiranya pemain ingin membuat penyembuhan, mereka perlu menyelesaikan game lain yang ada penyembuhan bonus.
Malang sekali dalam Rainbow Six Extraction ini, mendapatkan penyembuhan ini sangat jarang. Jadi operator yang berperanan sebagai Doc dan boleh melakukan skil penyembuhan sangatlah penting. Bukan sahaja dalam in-game sahaja ianya berguna, malah untuk post-game dan perkara lain juga sama juga.
Perkara terakhir yang boleh saya kongsikan dalam review ini adalah, setiap orang mempunyai kereta drone camera, dan ianya dapat digunakan untuk membuat pemantauan di kawasan yang ingin dituju. Drone ini menggunakan bateri berdasarkan jarak perjalanannya, tetapi anda boleh mengisi semula bateri itu hanya dengan memanggilnya kembali.
Pendapat
Secara keseluruhannya, Rainbow Six Extraction mempunyai perubahan yang cepat, dari multiplayer PvP FPS menjadi PvE. Persembahan grafik game juga sangat menarik, dan berjaya memberikan aura seram serta tidak selesa kepada para pemain.
Reka bentuk level juga sangat bagus, dengan peta yang sangat besar dan mempunyai pelbagai kawasan untuk pemain terokai sehingga sesat semasa in-game. Walaupun reka bentuk musuh agak cliche, tetapi ia masih mampu menaikkan adrenalin sepanjang bermain.
Dari segi gameplay pula, jika anda peminat Rainbow Six, pastinya anda sangat berpuas hati kerana terdapat gabungan misi berbeza. Dari serang hendap sehingga serangan penuh, dan segala yang disediakan dalam game ini membuatkan anda hilang rasa ragu-ragu dalam membuat sesuatu tindakan.
Pemain juga turut dimaklumkan sebelum melakukan sesuatu objektif supaya boleh menyediakan operator dan senjata yang sesuai, dan bagi saya ini adalah sistem gameplay yang patut dipuji. Sekurang-kurangnya tidaklah pemain membawa senjata yang tidak sesuai semasa melakukan serangan hendap dalam in-game.
Itu sahaja untuk pandangan pertama Rainbow Six Extraction saya! Untuk membaca segala liputan lama kami tentang game ini, tekan sahaja pada pautan yang tersedia.
@gamersantaimy
Discussion about this post