Selama lebih dua dekad, pencipta One Piece, Eiichiro Oda, cukup dikenali dalam merancang plot rahsia lagi misteri. Antara rahsia besar tersebut adalah rupa fizikal antagonis utama siri ini iaitu Imu. Namun, persoalan peminat selama bertahun-tahun akhirnya terjawab minggu ini melalui Bab 1179.
Dalam bab terbaru, Imu telah meninggalkan Marijoa dan turun sendiri ke Elbaph. Bab ini mengesahkan identiti beliau sebagai Saint Nerona Imu, salah seorang daripada “First Twenty” yang mengasaskan World Government lebih 800 tahun yang lalu.
Imu dipaparkan dengan rambut putih yang panjang, kulit gelap seperti kaum Lunarian, serta dua tanduk yang melengkung. Tubuhnya dihiasi dengan tatu yang akhirnya membentuk corak mata pada bahagian belakang tangannya.
Selain mempunyai fizikal yang agak berotot, beliau juga memakai jubah yang mempunyai simbol Covenant (kontrak ghaib antara Imu dengan orang-orang bawahan, iaitu Five Elders dan Holy Knights, sebagai simbol kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi).

Satu perkara penting yang perlu difahami adalah wajah yang didedahkan dalam bab terbaru ini bukanlah wajah Imu yang sebenar, sebaliknya ia hanyalah rupa beliau dalam bentuk transformasi separa iblis. Wajah manusianya masih lagi terselindung di sebalik bayang-bayang, jadi identiti fizikal miliknya masih belum terbongkar sepenuhnya.
Jika dilihat daripada bentuk biasanya, Imu digambarkan sebagai susuk yang sangat besar dengan saiz sekitar dua hingga tiga kali ganda manusia normal. Walaupun wajahnya masih samar, ia dikatakan mempunyai ciri lelaki dan wanita yang bercampur.

Satu lagi pendedahan dalam bab ini sudah tentulah adalah Devil Fruit yang dimiliki oleh Imu.
Dirujuk sebagai Akuma no Mi (ataupun The Devil’s Fruit), kuasa ini membolehkan beliau berubah menjadi entiti syaitan yang memiliki pelbagai abiliti unik seperti ekor tajam yang boleh serang pihak lawan, sebuah buku mistik yang mampu menghasilkan senjata, serta kebolehan teleportasi melalui manifestasi Abyss.

Apa yang lebih menakutkan adalah kebolehan Imu untuk melakukan “Covenant” ke atas orang lain. Beliau telah memberikan kuasa ini kepada Five Elders dan Holy Knights, yang memberikan hidup abadi serta membolehkan mereka menggunakan kuasa Abyss.
Pada masa yang sama, Imu mampu mengawal malah merasuk tubuh sesiapa sahaja yang telah melakukan perjanjian dengannya. Selain itu, Imu juga mampu menukarkan musuh-musuhnya menjadi syaitan yang tidak berakal dan dahagakan darah.









Discussion about this post