Nagoshi Studio, syarikat pembangun permainan video yang diasaskan oleh pencipta siri Yakuza, Toshihiro Nagoshi, dilaporkan telah menutup operasinya secara kekal. Khabar duka ini menyusul selepas spekulasi berbulan-bulan mengenai pemberhentian sokongan kewangan daripada syarikat induknya, NetEase.
Setakat hari ini, status pejabat mereka di daerah Ebisu, Tokyo, telah bertukar kepada “permanently closed” pada senari perniagaan Google.
Tanda-tanda kejatuhan studio ini semakin jelas apabila laman web rasminya tidak lagi boleh diakses, manakala saluran YouTube serta semua trailer bagi debut project mereka telah dipadamkan sepenuhnya daripada internet.

Kejatuhan ini dipercayai berpunca daripada kos pembangunan yang melambung tinggi bagi projek pertama mereka, sebuah game aksi bercita-cita besar bertajuk Gang of Dragon. Game ini mencuri tumpuan di The Game Awards tahun lalu dengan penampilan bintang terkenal, Ma Dong-seok (Don Lee).
Ia juga dianggap sebagai spiritual successor kepada siri Yakuza (kini Like a Dragon) yang dibina dengan bajet yang sangat besar.
Namun, hubungan antara Nagoshi dan NetEase dikatakan mula bermasalah selepas satu audit mendedahkan kos projek tersebut telah jauh tersasar daripada bajet asal. NetEase dilaporkan menarik balik pembiayaan selepas mendapati Gang of Dragon memerlukan tambahan ¥7 bilion (kira-kira RM174+ juta) lagi untuk disiapkan sepenuhnya.
Walaupun Nagoshi mempunyai nama besar dalam industri, studio tersebut gagal mencari publisher atau pelabur baharu untuk menampung kos berkenaan. Memandangkan NetEase dilaporkan memegang hak ke atas semua aset pembangunan, Nagoshi Studio buntu tanpa sebarang jalan untuk meneruskan operasi secara bebas.
Apa yang paling mengejutkan adalah ketiadaan sebarang pengumuman rasmi mengenai penutupan ini. Toshihiro Nagoshi, yang biasanya sangat vokal dalam dunia gaming, nampaknya hanya membisu. Sehingga sekarang, tiada sebarang mesej perpisahan kepada peminat mahupun kenyataan media rasmi dikeluarkan oleh pihak syarikat.









Discussion about this post