Selepas lebih setahun pandemik COVID-19 melanda Malaysia, rasanya ramai yang rindu untuk pergi ke acara langsung dan bukan lagi dalam talian termasuk diri saya sendiri. Akhirnya, satu peluang tiba apabila miHoYo mengumumkan Hoyo Fest, sebuah acara yang menggumpulkan 3 game miHoYo iaitu Honkai Impact 3rd, Tears of Themis dan Genshin Impact. Melibatkan enam negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, saya mendapat peluang untuk melawat kafe Hoyo Fest sesi Genshin Impact yang diadakan di myBurgerLab MyTown.

Sebelum ini, beberapa rakan sekerja saya dapat pergi ke sesi Hoyo Fest Honkai dan pendapat mereka sebenarnya agak “bercampuran”. Ada yang puas hati, ada yang kurang. Tetapi bagaimana pula dengan sesi Genshin Impact? Kita tahu game ini jauh lebih famous, jadi harapan saya agak tinggi. Tanpa melengahkan masa lagi, inilah pendapat saya semasa memasuki kafe Hoyo Fest Genshin Impact Malaysia!
Kafe sangat meriah tidak kira di luar atau di dalam

Sebaik sahaja sampai ke lokasi, saya serta-merta melihat barisan yang sangat-sangat panjang. Walaupun begitu, kakitangan myBurgerLab memang profesional (selepas menguruskan sesi Honkai Impact dan Tears of Themis) dan kebanyakan pengunjung ditunjukkan ke meja masing-masing selepas menunjukkan bukti tempahan.
Masuk sahaja ke dalam, suasana masih sangat meriah di mana saya melihat pengunjung sibuk mengambil gambar visual kafe. Satu perkara yang saya perlu tekankan adalah myBurgerLab bukanlah restoran yang besar dan hanya bersaiz sederhana. Kerana peraturan SOP, pengunjung hanya dibenarkan duduk di dalam kafe selama 45 minit.

Melihatkan suasana di dalam kafe yang sibuk, saya mengambil keputusan untuk melihat keadaan sekeliling. Seperti yang saya jelaskan di atas, terdapat tiga game yang dipilih dalam untuk acara ini iaitu Honkai Impact 3rd (5-16 November 2021), Tears of Themis (19-30 November 2021) dan Genshin Impact (3-14 December 2021). Menurut rakan sekerja saya yang melawat sesi Honkai Impact, jumlah kehadiran tidak terlalu tinggi. Sampai sahaja giliran Genshin Impact, perghh, sambutannya memang meriah.

Untuk aspek hiasan, ia sebenarnya boleh tahan bagus. Apa yang saya boleh lihat adalah kafe mempamerkan beberapa standee watak, hiasan wallpaper dan potret di dinding, hiasan di meja dan hiasan yang tergantung di atas. Sekali imbas, kita boleh lihat “imej Genshin Impact”, tapi entah kenapa saya rasa dekorasinya tidak begitu “menyerlah” (mungkin kerana kedudukan hiasan kot). Untuk menambahkan lagi immersion, kafe sebenarnya memainkan BGM dan lagu Genshin Impact di latar belakang. Jadi secara keseluruhan, saya boleh nampak usaha myBurgerLab untuk memberi “the best experience possible” kepada pelanggan.
Sesi mencuba makanan
Terdapat tiga set kombo yang boleh anda pilih sepanjang tempoh Genshin Impact iaitu:
- 5-Star Beef Burger (RM39.50)
- Forbidden Ration (RM38.50)
- Thundersplitter (RM37.50)

Secara lebih khusus, setiap set mempunyai 1x burger pilihan, 1x side dish Nachos, 1x minuman Celestial Shower Icy Blue Mint Tea dengan HoYo FEST cup-sleeve, 1x coaster dengan design rawak – Aether, Lumine atau Paimon,1x set pelekat yang menampilkan Aether, Lumine dan Paimon, dan poskad edisi terhad Genshin Impact.
Setiap hidangan datang dalam satu beg kertas bertema Hoyo Fest yang diisi sekali dengan merchandise bonus. Secara visual, kotak makanan dan bungkusan air sangat cantik dan comel. Satu lagi perkara yang saya suka adalah cara bungkusan ini terasa sangat praktikal dan memudahkan pengunjung untuk bungkus balik pulang andai kata tidak cukup masa untuk habis makan.
Masa untuk taste-test! (saya hanya akan mengulas tentang Thundersplitter. Set lain dicuba oleh rakan-rakan saya).

Buka sahaja kotak makanan, saya menyaksikan keindahan burger Thundersplitter yang nampak sangat menyelerakan. Terdiri dari ayam goreng krispy, hirisan bawang, hirisan tomat, salad, sour cream, lada hijau dan sedikit jus limau -burger ini memang padat dari atas hingga bawah. Saya kena beri pujian kepada myBurgerLab sebab burger mereka memang antara yang paling sedap di Malaysia. Itu memang fakta, jadi bab rasa, korang tak perlu risau.
Sedikit nasihat untuk sesiapa yang bakal pergi. Saya memang kuat makan, tapi tak sangka pula burger ini dapat mengenyangkan perut dengan cepat. Jika datang melawat, jangan lah isi perut dahulu dengan makanan berat ya.
Proses membeli merchandise terlalu kompetitif

Mengenai ketersediaan merchandise, ramai yang masih kecewa dengan sistem berdasarkan “siapa cepat dia dapat”. Sejak sesi Honkai Impact pun, semua peminat dimaklumkan bahawa ketersediaan merchandise adalah terhad untuk setiap hari. Jika datang tanpa tempahan, anda tidak layak untuk membeli apa-apa barang. Sama seperti sebelum ini, anda perlu beratur di East Entrance untuk MyTOWN. Pengunjung boleh mula membeli barang jam 9 pagi tetapi hakikatnya, ramai peminat tegar sudah mula beratur sejak jam 4 pagi.
Jika bernasib malang tetapi masih ingin membawa pulang sesuatu yang eksklusif, masih terdapat kaunter pra-pesanan yang kita boleh imbas di kaunter untuk barangan eksklusif lain dari Hoyo Fest!
Adakah hype-nya berbaloi?

Sekarang kita bercakap tentang harga yang pernah menjadi perbincangan hangat di media sosial ketika pertama kali diumumkan. Bagi pendapat saya, harga tersebut masih “sesuai” walaupun ada beberapa orang mengadu bahawa merchandise percuma kena “nerf”. Kita harus ingat -myBurgerLab berkolaborasi dengan miHoYo, sebuah IP besar. myBurgerLab pun bukanlah gerai burger biasa yang kita selalu jumpa tepi jalan tetapi sebuah restoran yang mengkhususkan dalam resepi profesional.
Satu lagi perkara yang saya perlu jelaskan adalah Hoyo Fest bukan seperti “maid cafe” yang menampilkan cosplayer sebagai pelayan. Jika itu tanggapan pertama awak, ternyata korang di universe lain. Hoyo Fest adalah kafe yang berkonsepkan IP! Orang yang mengunjungi kafe berkonsep tidak datang hanya untuk makan, tetapi untuk mengalami “dunia Genshin Impact” yang mereka gemari dalam cara yang paling mirip buat masa ini.

Secara keseluruhan, myBurgerLab berjaya menepati jangkaan saya untuk sebuah kafe berkonsep Genshin Impact di Hoyo Fest tetapi masih banyak yang boleh diperbaiki, terutamanya dari segi hiasan dan sistem merchandise. Hanya satu persoalan yang tinggal, “Adakah pengalaman saya di kafe Hoyo Fest Genshin Impact memuaskan?”Jika cakap jujur, jawapannya adalah 50/50. Ini hanya pendapat saya subjektif saya.
Maka tamatlah ulasan saya untuk kafe Hoyo Fest Genshin Impact di myBurgerLab Malaysia. Jangan lupa untuk berseronok, dan nikmati detik-detik ini. Lebih penting lagi, sila ingat untuk mengamalkan penjarakan sosial! Semoga korang dapat raikan acara Hoyo Fest Malaysia secara selamat dan menyeronokkan!
@gamersantaimy
Discussion about this post