Horizon Forbidden West akhirnya tiba ke PC setelah dilancarkan pada Februari 2022 di PlayStation 5. Game ini merupakan sekuel kepada penceritaan pada game pertama serta expansion Frozen Wilds. Terdapat banyak rujukan daripada cerita terdahulu termasuklah kemunculan watak-watak lama serta antagonis. Jadi kalau anda tidak mainkan game pertama, anda mungkin keliru nanti. Jadi kami sangat-sangat syorkan anda untuk mainkan game pertama sebelum mulakan Horizon Forbidden West. Kalau anda tidak mahu main juga tiada masalah, boleh sahaja lihat video ringkasan melalui YouTube untuk mendapatkan konteks penuh game.
Game sekuel ini mengikuti pengembaraan Aloy yang mengembara ke barat (Forbidden West) untuk mencari backup daripada Super AI bernama GAIA dan mengembalikan semula kehidupan yang hampir pupus di Bumi. Pengembaraannya bukanlah mudah kerana wilayah barat adalah wilayah yang didiami puak berbahaya yang dikenali sebagai Tenakth, yang turut dibahagikan kepada beberapa suku. Aloy juga berdepan ancaman daripada kumpulan yang dikenali sebagai Regalla apabila cuba memasuki wilayah mereka, di mana dia melihat konflik yang berlaku di wilayah itu.

Sebalik usaha Aloy untuk menyelamatkan dunia daripada kepupusan, dia secara tidak langsung terlibat dalam pelbagai konflik dalam Forbidden West dan perlahan-lahan menjadi “penyelamat” sebenar. Ada banyak lagi kejutan yang berlaku dalam cerita game ini. Anda kenalah mainkannya kalau nak tahu apa yang berlaku.
Kami telah mainkan Horizon Forbidden West pada PC dengan spesifikasi berikut:
- Ryzen 5 3600
- 32GB RAM 3600MHz
- AMD Radeon RX 6700XT
- Monitor 1440P

Prestasi mengikut tetapan
Salah satu perkara yang kami suka dengan game PlayStation yang mendapat port PC adalah pembangunnya memberikan pilihan untuk upscale game, jadi pemain boleh gunakannya mengikut spesifikasi PC tersendiri. Memandangkan kami menggunakan grafik kad AMD, kami boleh menggunakan FSR 2.2. Kami telah rekodkan jumlah FPS yang kami mampu capai dalam pelbagai tetapan grafik. Anda boleh rujuk rekod tersebut di bawah:
- Tanpa FSR: 61 fps
- FSR Quality: 71 fps
- FSR Balance: 74 fps
- FSR Performance: 76 fps
- FSR Ultra Performance: 77 fps
Bagi kami, FSR Quality sudah cukup bagus untuk mendapatkan 60 fps semasa bermain. Visualnya juga tidaklah nampak teruk. Jika anda mula menggunakan tetapan Performance dan seterusnya, anda boleh nampak perubahan pada game, di mana ia kelihatan kebur dan tidak begitu jelas.
Prestasi game secara keseluruhan
Bercerita tentang prestasi keseluruhan game, kami memang puas hati. Semasa bermain, kami tidak alami sebarang penurunan fps mahupun sangkut. Frame rate game juga stabil sahaja. Jika lihat pada aplikasi monitoring, game ini menggunakan lebih banyak GPU berbanding CPU walaupun ia menawarkan dunia terbuka yang luas. Jadi buat anda yang mempunyai CPU kentang, anda tidak perlu risau sangat.

Satu lagi perkara yang kami kagum adalah persembahan visualnya yang cukup cantik. Efek particle ada di mana-mana sahaja, latar belakang yang penuh dengan aktiviti serta cutscene yang mempunyai impak seperti filem animasi. Masa loading juga boleh tahan pantas lebih-lebih lagi bermain pada SSD.
Cuma agak kecewa sebab tiada FSR 3.0 yang dibawa pada game. Versi baru itu boleh meningkatkan sedikit fps game. Ia juga mungkin diperlukan oleh gamer yang bermain pada PC dengan spesifikasi sederhana mahupun rendah.

Controller
Seperti game PC PlayStation yang lain, ia menyokong controller DualSense. Plugkan sahaja controller tersebut, anda boleh dapat rasakan Haptic Feedback semasa bermain. Anda boleh merasainya apabila menggunakan busur, memukul musuh atau menggunakan grapple. Apabila berada dalam mode stealth atau menunggang robot, ia terasa seperti bermain pada PS5.

Untuk Adaptive Trigger pula, kami tidak begitu merasainya semasa bermain. Trigger tersebut cuma jelas semasa menggunakan busur. Sebagai contoh, rasa tegang apabila menekan butang R1 semasa menggunakan light bow dan perlu menekan lebih kuat apabila menggunakan Heavily Arrow atau Boltblaster. Itu sahaja perbezaan yang kami rasakan.
Bermain dengan mouse dan keyboard juga cukup selesa. Pilihan butang secara default juga lebih mudah untuk digunakan dan terasa optimum seperti game PC PS yang lain. Jadi boleh sahaja anda mainkannya dengan mudah. Kalau anda mempunyai controller DualSense, kami sangat syorkan anda untuk bermain dengan controller tersebut kerana ia sangat bagus dan terasa lebih imersif.
Kesimpulan
Sejujurnya, kualiti game PC PlayStation sememangnya terbaik dan sering memberikan yang terbaik untuk pemain sehingga sekarang. Terdapat pelbagai ciri-ciri yang diberikan termasuklah AI upscaling seperti NVIDIA DLSS, AMD FSR dan Intel XeSS. Cuma agak sayang buat pengguna kad AMD kerana tidak mempunyai FSR 3.0 manakala NVIDIA pula mempunyai DLSS 3. Rasanya lebih baik jika ia juga tersedia untuk game ini.

Walaupun begitu, Horizon Forbidden West PC masih lagi sebuah game yang bagus dengan pelbagai ciri hebat daripada PS5 tersedia padanya. Anda juga boleh mainkannya dengan selesa dan boleh dapatkan pengalaman yang lebih imersif dengan bermain menggunakan DualSense. Kami juga tidak mempunyai sebarang masalah ataupun bug yang mengganggu pengalaman bermain kami. Jadi kami memang syorkan anda untuk mainkannya!
Horizon Forbidden West Complete Edition telah tersedia di Steam dan Epic Games Store. Untuk mendapatkan segala berita mengenai game Horizon daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post