Sebuah game top-down survival shooter yang menawan ramai hati, Escape from Duckov, telah mencapai kejayaan besar dengan jualan melebihi satu juta unit hanya dalam masa lima hari selepas pelancarannya.
Pengumuman ini dibuat oleh Bilibili dan pembangun Team Soda, yang menyaksikan game indie mereka menjadi satu kejayaan besar di PC.
Dilancarkan pada 16 Oktober untuk PC melalui Steam dan Epic Games Store, Escape from Duckov menunjukkan momentum yang kukuh sejak awal. Ia berjaya menjual sebanyak 200,000 unit dalam tempoh 24 jam pertamanya.
Pertumbuhan pesat ini berterusan, dengan game ini mencecah angka jualan 500,000 unit menjelang akhir 19 Oktober, sebelum melepasi ambang satu juta dua hari kemudian.

Angka jualan ini diiringi oleh penglibatan pemain yang luar biasa. Setakat 21 Oktober, Escape from Duckov mencapai kemuncak 255,556 pemain serentak di Steam. Pencapaian ini meletakkannya sebagai game keenam paling banyak dimainkan di platform tersebut pada ketika itu dan mengukuhkan kedudukannya sebagai game ke-60 paling banyak dimainkan sepanjang zaman di Steam berdasarkan puncak jumlah pemain serentak.
Dibangunkan oleh Team Soda, Escape from Duckov ialah sebuah ‘single-player PvE indie survival RPG’ yang menukarkan suasana shooter taktikal kepada sebuah pengembaraan bertemakan itik yang lucu.
Pemain mengubah suai protagonis itik mereka sendiri dan meneroka dunia misteri berbentuk telur yang perlahan-lahan hancur berkecai. Objektif utamanya adalah untuk mengumpul sumber dan membina sebuah kapal roket untuk melarikan diri dari planet yang akan musnah.

Game ini menggabungkan mekanik fog-of-war, loot yang digugurkan secara rawak, dan pembinaan pangkalan dengan sistem customization senjata serta kemajuan.
Gabungan ciri-ciri ini, bersama-sama dengan musuh-musuhnya yang kartun dan gameplay yang mudah diakses, mencipta pengalaman nilai main semula tinggi yang berjaya menarik minat audiens yang besar.
Escape from Duckov kini boleh didapati. Tawaran sehingga 31 Oktober menawarkan game ini pada harga RM48.06, iaitu diskaun 12% daripada harga biasanya RM54.62.









Discussion about this post