Dalam sejarah industri gaminng, tidak banyak judul yang disegani seperti Final Fantasy Tactics keluaran tahun 1997. Dikeluarkan untuk konsol PlayStation yang asal, ia merupakan sebuah game yang mendahului zamannya; sebuah TRPG yang padat, mencabar, dan amat matang yang membezakannya daripada siri-siri utamanya.
Kini, hampir28 tahun kemudian, Square Enix kembali dengan Final Fantasy Tactics: The Ivalice Chronicles. Bukanlah sekadar sebuah ‘port’ atau ‘remaster’ tipikal; ia adalah versi definitif yang dihasilkan dengan penuh teliti, yang tiba buat pertama kalinya di PC serentak dengan konsol-konsol moden.
Adakah ini versi yang telah lama kita nantikan? Inilah ulasan kami.
Kisah Peperangan dan Pengkhianatan

Bagi mereka yang tidak biasa dengan jalan cerita Ivalice, naratif permainan ini jauh berbeza daripada pengembaraan menyelamatkan dunia seperti dalam JRPG biasa.
Final Fantasy Tactics mengisahkan tentang Ramza Beoulve, seorang bangsawan muda dalam latihan yang mendapati pandangan dunianya yang idealistik hancur oleh realiti peperangan, klasisme, dan pengkhianatan kejam.
Game ini berlatarkan War of the Lions, sebuah krisis perebutan takhta yang memecahbelahkan kerajaan, dengan mengambil inspirasi kuat daripada konflik dunia sebenar.

Ini adalah sebuah kisah yang meneroka tema-tema rasuah dalam institusi gereja dan negara, penindasan kejam terhadap golongan bawahan, serta perjalanan seorang wira sejati yang sunyi dan sering tidak dihargai.
Perjalanan Ramza dari seorang kadet yang naif kepada seorang yang dicap sebagai pengkhianat adalah salah satu saga watak yang paling menarik dalam genre ini. The Ivalice Chronicles mengambil skrip yang sudah sedia cemerlang ini dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi.

Sebaik sahaja memulakan permainan, pemain diberikan pilihan penting: Classic Mode atau Enhanced Mode. Classic Mode adalah penghasilan semula yang setia kepada versi War of the Lions dari konsol PlayStation Portable, menggunakan skripnya yang terkenal tetapi tanpa menyertakan ciri-ciri baharu ‘remaster’ ini.
Ia merupakan satu usaha pemeliharaan yang amat baik.

Walau bagaimanapun, nadi sebenar keluaran ini ialah Enhanced Edition, dan ia menjadi fokus ulasan ini.
Mod inilah yang membuatkan The Ivalice Chronicles benar-benar membuktikan namanya, dengan menawarkan pengalaman yang dihidupkan semula sepenuhnya melalui lakon suara penuh, skrip yang ditulis semula, ciri-ciri keselesaan quality-of-life baharu, dan banyak lagi.
Lakon Suara Menghidupkan Ivalice

Penambahan yang paling transformatif, tanpa ragu lagi, adalah lakon suara penuh. Teks game asal, walaupun ditulis dengan bagus, hanyalah sekadar teks. Dengan barisan pelakon suara ternama yang menyampaikan dialog dalam Bahasa Inggeris dan Jepun, watak-watak kini disuntik dengan tahap kemanusiaan dan tahap interaktif baharu.
Lebih mengagumkan, pencipta asalnya, Yasumi Matsuno, kembali secara peribadi untuk menulis semula dan mengadaptasi skrip untuk persembahan suara. Hasilnya memang menakjubkan.

Oleh kerana dialog kini dilafazkan dan bukan sekadar dibaca, perubahan halus dalam hubungan antara watak terasa amat berbeza. Contoh utama ialah kapten askar upahan, Gaffgarion. Dalam versi asal, dia sering digambarkan sebagai mentor yang kasar, sinis, dan mementingkan diri sendiri.
Dalam The Ivalice Chronicles, persembahan suaranya dan dialog yang diolah semula memberi gambaran yang lebih kompleks. Anda boleh mendengar nada lesu dalam suaranya ketika beliau berulang kali menggesa Ramza untuk meninggalkan perjuangannya dan kembali ke pangkuan keluarganya yang bangsawan.
Beliau tidak kedengaran seperti antagonis biasa, tetapi lebih kepada seorang askar yang letih dengan dunia, dengan caranya yang tersilap, dan cuba melindungi askar di bawah jagaannya.

Peningkatan ini turut dirasai pada tema-tema asas permainan. Hierarki sosial di Ivalice kini terasa lebih berkesan. Apabila anda mendengar penghinaan dalam suara seorang bangsawan seperti Argath yang merujuk orang biasa sebagai “ternakan,” ia memberi impak yang tidak mungkin dapat disampaikan oleh teks semata-mata.
Sebaliknya, keyakinan dalam suara Ramza atau kesatria bangsawan Orlandeau, yang percaya pada nilai setiap insan, memberikan kontras yang kuat.

Untuk membantu pemain mengikuti plot yang luas dan kompleks, satu ciri menu baharu telah ditambah, yang bertindak sebagai = rumusan maklumat. Ia menyenaraikan semua watak penting, menjejaki pergerakan tentera, dan memperincikan pertempuran besar di seluruh Ivalice.
Anda juga boleh melihat garis masa untuk menyemak semula peristiwa lalu, menjadikannya alat yang tidak ternilai bagi sesiapa yang ingin mendalami selok-belok politik dalam cerita ini.
Sistem ‘Job’ dan Strategi Pertempuran

Secara am, Final Fantasy Tactics ialah sebuah RPG taktikal turn-based yang dimainkan di atas grid isometrik, dan gameplay-nya kekal sebagai salah satu sistem terbaik pernah dicipta. Sistem ‘Job’ kembali, serumit dan seketagih dahulu. Setiap watak baharu (kecuali watak unik dalam cerita) bermula sebagai seorang Squire dan Chemist.
Dengan melakukan tindakan dalam combat, mereka memperoleh EXP untuk meningkatkan level, dan ‘Job Point’ (JP) untuk mempelajari skil baharu dalam ‘job’ semasa mereka.

Sistem kemajuan ini adalah kunci kehebatannya. Menguasai ‘job’ tertentu akan membuka ‘job’ lain yang lebih kuat, mewujudkan pilihan yang luas dengan lebih 20 kelas. Mahukan seorang pahlawan yang juga boleh berteleportasi? Tingkatkan level Knight dan Black Mage untuk membuka Mystic.
Mahukan seorang pemburu harta karun yang pantas dan boleh menggunakan dua katana? Gabungkan skil seorang Thief dan Samurai.

Sistem ini membolehkan customization yang hampir tanpa had dan menggalakkan eksperimen kreatif. Anda boleh mencampur dan memadankan satu ‘job’ utama dengan set skil sekunder, ‘reaction ability’, abiliti sokongan, dan kebolehan pergerakan dari mana-mana ‘job’ yang telah anda buka.
Ini membolehkan anda membina gaya permainan unik sendiri. Anda boleh membentuk pasukan yang terdiri daripada raksasa yang dijinakkan, mengetuai skuad Black Mage yang menggunakan dua pedang, atau mencipta pasukan Orator bersenapang yang boleh memujuk musuh untuk meninggalkan medan perang.
Bagi mereka yang gemar merangka teori dan mengoptimumkan watak ke tahap maksima, sistem ini menyediakan sumber yang tidak terhingga. Namun, bagi mereka yang hanya ingin menikmati cerita, game ini boleh ditamatkan tanpa perlu melakukan aktiviti ‘grinding’ yang obsesif.

The Ivalice Chronicles memperkenalkan mod kesukaran rasmi untuk memenuhi kehendak semua pemain. Squire (Easy) dan Knight (Normal) menawarkan pengalaman yang seimbang, tetapi bagi pemain veteran yang mencari cabaran, ada mod Tactician.
Dalam mod ini, anda memberikan damage yang lebih rendah manakala musuh menyerang lebih kuat, dan bos mempunyai HP yang jauh lebih tinggi.
Dalam mod Tactician, sekadar meningkatkan level pasukan tidak mencukupi; anda mesti menguasai sistem ‘Job’ dan bersedia dengan teliti untuk setiap pertempuran, kerana satu kesilapan taktikal boleh membawa kepada kekalahan.
Menyelesaikan Masalah Versi Original

Mungkin perubahan yang paling disukai dalam The Ivalice Chronicles adalah penambahbaikan untuk keselesaan ‘quality-of-life’ yang melicinkan perkara-perkara yang menjengkelkan dalam versi asal.
Para veteran pasti ingat akan senario combat ikonik dalam game ini, di mana anda terkunci dalam beberapa pertarungan tanpa peluang untuk menyimpan, menukar peralatan, atau berundur.
Ini membawa kepada lonjakan kesukaran yang sangat tinggi dalam pertarungan satu lawan satu menentang Wiegraf dalam Chapter 3, sebuah pertarungan yang memaksa ramai pemain untuk memulakan semula keseluruhan game mereka yang sudah berjalan lebih 20 jam.
Dalam ‘remaster’ ini, anda kini diberi pilihan untuk berundur dari senario ini dan kembali ke peta dunia. Anda akan kehilangan kemajuan dalam pertarungan tersebut, tetapi save file anda tidak lagi ‘tersekat’. Perubahan ini mengekalkan cabaran sambil menghapuskan kelemahan reka bentuk yang lapuk dan menghukum.

Satu lagi ciri yang amat dialu-alukan ialah keupayaan untuk mempercepatkan animasi combat dengan menekan satu butang (R1 pada alat kawalan). Aktiviti ‘grinding’ untuk JP atau mengharungi pertarungan dengan ramai watak di medan kini menjadi lebih pantas dan menyeronokkan.
Digabungkan dengan UI lebih kemas yang memaparkan giliran dengan lebih jelas dan skrin kemajuan ‘job’ yang lebih intuitif, pengalaman gameplay terasa lancar, moden, dan menghormati masa pemain.
Pendapat

Adakah The Ivalice Chronicles sempurna? Tidak juga, tetapi kelemahannya amat kecil jika dibandingkan secara keseluruhan. Sebagai peminat lama, beberapa pilihan audio baharu tidak begitu kena dengan selera saya.
Bunyi Chocobo baharu kedengaran sedikit aneh, dan secara peribadi saya lebih menyukai suara mekanikal dan kasar automaton Construct 7 yang asal berbanding versi baharu untuk Construct 8.

Tambahan pula, sama seperti versi asalnya, game ini agak kekurangan kandungan post-game setelah kisah utama berakhir. Walau bagaimanapun, ‘remaster’ ini melakukan lebih banyak untuk menampungnya berbanding versi terdahulu.
Penambahan lakon suara penuh mengundang pemain untuk bermain semula bagi mengalami cerita dalam sudut pandangan baharu, dan sebuah minigame baharu yang terikat dengan harta karun yang anda temui melalui sistem “Errands” menyediakan satu hiburan sampingan yang menyeronokkan.

Rungutan kecil saya hanyalah ibarat comot kecil pada karya yang menakjubkan. Final Fantasy Tactics: The Ivalice Chronicles ialah edisi definitg bagi salah satu permainan video terhebat pernah dicipta.
Kebebasan untuk membina pasukan mengikut kehendak anda, kisah peperangan dan pengorbanan yang matang, serta gameplay taktikal yang amat memuaskan adalah perkara yang patut dialami oleh setiap pemain sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Game ini tersedia di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Switch 2, PlayStation 4, Switch, dan PC melalui Steam pada 30 September. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post