Valve telah mengeluarkan maklumat penting tentang Steam Machine, Steam Frame, dan Steam Controller generasi seterusnya.
Walaupun syarikat komited untuk melancarkannya pada separuh pertama tahun 2026, keadaan ekonomi yang berubah-ubah memaksa mereka untuk menilai semula tarikh tepat pelancaran dan harga jualan peranti tersebut.
Asalnya diumumkan pada November 2025, barisan perkakasan baharu ini merupakan langkah terbaharu Valve dalam segmen teknologi setakat ini.
Dalam satu kenyataan, Valve menjelaskan bahawa masalah kekurangan komponen memori dan storan di seluruh industri telah menjadi semakin meningkat sejak perkakasan tersebut mula diperkenalkan. Hal ini menyukarkan mereka untuk menetapkan harga “mesra pengguna.”
“Ketersediaan yang terhad serta peningkatan harga komponen kritikal ini bermakna kami perlu menyemak semula jadual penghantaran dan harga yang tepat,” kata syarikat itu. Valve turut menyatakan bahawa Steam Machine dan Steam Frame amat terkesan dengan kos ini memandangkan spesifikasi dalamannya yang berprestasi tinggi.
Namun, matlamat Valve tetap untuk memasarkan ketiga-tiga produk tersebut sebelum penghujung Jun 2026. Syarikat itu berjanji akan mengumumkan tarikh tepat sebaik sahaja pasaran kembali stabil untuk mereka menetapkan harga jualan.
Steam Frame

Walaupun urusan perniagaan masih belum muktamad, Valve berkongsi butiran mengenai Steam Frame, iaitu sejenis ‘headset-mounted display’.
Antara ciri paling menonjol ialah “foveated streaming.” Berbeza dengan foveated rendering (yang mengurangkan beban kerja grafik pada komputer) foveated streaming menggunakan teknologi eye-tracking untuk mengoptimumkan data yang dihantar dari PC ke headset. Dengan hanya menstrim data beresolusi tinggi tepat ke arah yang dilihat oleh pengguna, peranti ini mampu mengekalkan kualiti visual sambil mengurangkan masalah lag dan keperluan lebar jalur secara drastik. Disebabkan ciri ini berlaku pada peringkat sistem, ia berfungsi secara automatik dengan semua game.
Valve turut menjawab beberapa kebimbangan mengenai Steam Frame:
- Walaupun headset ini tidak menyokong “Lighthouse” secara dalaman, Valve telah merekakannya supaya bersifat modular. Ini membolehkan pengeluar pihak ketiga menghasilkan aksesori tambahan.
- Headset ini direka untuk mereka yang memakai cermin mata, dan Valve kini sedang mengusahakan preskripsi kanta rasmi.
- Bagi mereka yang masih menggunakan Valve Index, syarikat mengesahkan bahawa walaupun pengeluarannya telah dihentikan, mereka akan terus memberikan sokongan teknikal penuh kepada pemilik sedia ada.
Steam Machine

Steam Machine diposisikan sebagai alternatif high-end kepada konsol tradisional. Ujian dalaman Valve menunjukkan bahawa sebahagian besar pustaka Steam boleh dijalankan pada resolusi 4K dengan 60 fps menggunakan FSR (FidelityFX Super Resolution).
Bagi game yang lebih berat, Valve sedang memfokuskan kepada sokongan “Variable Refresh Rate” (VRR) untuk HDMI dan mengoptimumkan prestasi ray tracing pada peringkat driver. Ini memastikan imej lancar dan konsisten pada TV 4K walaupun resolusi dalaman game terpaksa diturunkan kepada 1080p demi mengekalkan prestasi.
Valve turut mengesahkan bahawa SSD Steam Machine (menyokong saiz NVMe 2230 dan 2280) serta memori DDR5 SODIMM boleh dinaik taraf sepenuhnya oleh pengguna. Selain itu, Valve akan mengeluarkan fail CAD untuk faceplate konsol, membolehkan pengguna dan syarikat pihak ketiga mencetak 3D atau mengeluarkan reka bentuk sendiri.
Steam Controller

Maklumat Steam Controller masih terhad, tetapi Valve ada menjelaskan satu perkara penting bagi gamer bukan Steam: controller ini akan berfungsi dengan mana-mana game yang serasi dengan Steam Overlay. Ini memastikan input khas alat kawalan tersebut boleh digunakan di pelbagai platform gaming PC.









Discussion about this post