Hari ini, kami disajikan dengan pendedahan gaming terbesar pada dekad ini. Rockstar Games secara rasmi mengeluarkan video gameplay selama 27 minit untuk Grand Theft Auto VI (GTA VI/6), memberikan pandangan tentang apa yang boleh dijangkakan sebelum pelancaran global pada 19 November 2026.
Bertajuk “Grand Theft Auto VI: An Extended Look,” gameplay ini ditayangkan melalui kerjasama bersama Netflix, dengan video penuh turut dimuat naik ke YouTube. Rockstar mengesahkan bahawa keseluruhan gameplay 27 minit tersebut dirakam terus daripada PlayStation 5 standard pada sasaran 30 frames per second (FPS); untuk membuktikan keupayaan game ini memanfaatkan prestasi penuh daripada konsol generasi semasa.
Berikut adalah segala maklumat yang didedahkan daripada gameplay serta sesi bersama pembangun di sebalik tabir:
Jason dan Lucia Boleh Jadi Rakan Jenayah, atau Kekasih Atas Pilihan Sendiri

Sama seperti GTA 5, anda boleh bertukar watak secara bebas antara Jason dan Lucia semasa meneroka open world. Namun, GTA 6 membawakan sinergi yang lebih mendalam:
- Jika sedang meneroka secara solo, anda boleh menelefon atau menghantar mesej kepada watak satu lagi pada bila-bila masa untuk melepak bersama, melakukan aktiviti sampingan, atau membantu ketika melakukan rompakan.
- Semasa menaiki kenderaan bersama, anda boleh bertukar tempat duduk secara spontan. Anda boleh berehat di tempat duduk penumpang sambil mendengar radio semasa pasangan memandu, atau keluar tingkap untuk membalas tembakan ketika aksi kejar-mengejar dengan pihak polis.
- Walaupun permulaan jalan cerita menunjukkan kedua-dua watak tertarik antara satu sama lain, meneruskan hubungan cinta adalah pilihan anda sendiri. Mengabaikan temu janji atau mesej teks harian tidak akan menjejaskan jalan cerita utama atau mengurangkan kebolehan lawan; mereka akan bekerjasama secara profesional sebagai rakan jenayah.
- Bagi pemain yang ingin membina hubungan mereka, anda boleh membawa pasangan membeli-belah, bersenam di gim, membukakan pintu, atau berpegangan tangan semasa berjalan dengan menekan butang right trigger.
Kem Markas Hidup, Safehouse, dan Perubahan Fizikal

Mengadaptasi sistem perkhemahan daripada Red Dead Redemption 2, safehouse dalam GTA 6 lebih interaktif berbanding tempat spawn biasa:
- Jason dan Lucia boleh berkongsi safehouse yang sama dengan rutin harian masing-masing. Watak lain dan rakan subahat juga akan singgah sekali-sekala, malah sesetengah tempat persembunyian adalah milik sekutu luar.
- Anda boleh menyimpan pelbagai kenderaan peribadi di safehouse. But kereta pun sekarang benar-benar berfungsi sebagai tempat penyimpanan senjata berat dan pakaian kecemasan.
- Anda boleh mencantikkan atau mencukur misai dan janggut di rumah (gaya rambut baharu tetap perlu ke kedai gunting rambut). Bersenam di gim akan meningkatkan otot dan kekuatan fizikal, manakala terlebih makan makanan segera akan membuatkan watak bertambah berat, walaupun ia memberi peningkatan kesihatan health boost.
Dunia Leonida yang Hidup dan Realistik

Rob Nelson selaku Ketua bersama studio Rockstar Nort mengesahkan bahawa saiz peta ini adalah kira-kira dua kali ganda saiz GTA V dan tiga kali ganda lebih besar berbanding Red Dead Redemption 2, serta penuh dengan pelbagai peristiwa spontan:
- Peta lama telah digantikan dengan imej satelit beresolusi tinggi, memaparkan struktur geografi dan laluan off-road tersembunyi dengan lebih terperinci.
- Penduduk Leonida hadir dengan pelbagai ketinggian dan saiz badan, di mana animasi watak akan diselaraskan secara dinamik mengikut skala fizikal mereka. Menyimpan senjata membolehkan anda berinteraksi dengan orang awam menggunakan pilihan dialog ala RDR2 (Greet, Taunt, Defuse, atau Provoke). Namun berhati-hati. NPC akan menegur jika anda mencuri dengar perbualan mereka atau mengekori terlalu rapat, dan sesetengah penduduk tempatan yang bersenjata tidak teragak-agak untuk mengeluarkan pistol ke arah anda.
- Membuka telefon pintar bukan lagi sekadar menu overlay. Kamera akan dizum secara fizikal ke arah tangan watak yang sedang memegang telefon. Walaupun anda boleh membaca berita dan melayari Snapmatic (parodi kepada Instagram), anda tidak boleh memuat naik gambar sendiri kerana Jason dan Lucia sedang bersembunyi daripada pihak berkuasa dan mengelak daripada meninggalkan jejak digital.
- Perlu menggunakan fast-travel? Anda boleh menaiki bas bandar atau menempah perjalanan melalui aplikasi Ryde Me (ala servis Grab dalam game), di mana anda boleh berbual dengan penumpang lain sepanjang perjalanan.
- Anda boleh meneroka hidupan liar di seluruh negeri (atau melawat zoo) untuk merekodkan haiwan ke dalam compendium, membelai anjing jalanan, bermain mini-golf, snuker, berkayak, atau menyelam scuba untuk mencari harta karun tersembunyi di dasar laut.
Sistem Polis 6 Bintang & Siasatan yang Lebih Pintar

Sistem Wanted Level 6 bintang ikonik kembali, dilengkapi dengan sistem AI polis yang lebih realistik:
- Pihak polis tidak lagi tahu secara yang anda lakukan. Orang awam perlu melihat jenayah tersebut dan membuat laporan, atau penggera keselamatan perlu diaktifkan terlebih dahulu.
- Sebaik sahaja laporan diterima, polis akan bergegas ke lokasi kejadian. Walaupun sudah melarikan diri, kawasan tersebut akan kekal sebagai “hot zone” pada peta buat seketika sementara polis menjalankan siasatan.
- Sistem HUD polis menjejaki tiga pengenalan utama: wajah, pakaian, dan kenderaan melarikan diri anda.
- Memakai topeng semasa rompakan menghalang wajah anda daripada dikenal pasti.
- Memakai topi atau cermin mata tidak cukup untuk mengaburi polis jika pakaian anda sepadan dengan profil suspek. Anda perlu menukar seluuh pakaian yang disimpan di dalam but kereta.
- Jika polis tidak mempunyai sebarang maklumat pengecaman visual tentang anda, bintang wanted level akan dipaparkan dalam bentuk garisan putih kosong.
- Apabila tahap buruan mencapai tiga bintang ke atas di kawasan jalan bandar yang sempit, kejar-mengejar menggunakan kereta menjadi semakin susah. Anda boleh mengarahkan pasangan untuk melarikan diri ke arah berlainan untuk memecahkan tumpuan polis, meninggalkan kenderaan, dan menggunakan mekanik parkour yang ditambah baik (memanjat, melompat, dan melepasi halangan) untuk melepaskan diri melalui lorong belakang.
- Anda boleh menembak senjata dari tangan musuh atau menyasar bahagian kaki untuk melumpuhkan musuh tanpa membunuh. Pendekatan ini berkait rapat dengan sistem Criminal Profile; variasi baharu kepada sistem Honor yang menjejaki tahap keganasan awam yang anda lakukan.
Wang, Broker Pasaran Gelap, dan Curi Kereta Berteknologi Tinggi

Mengumpul wang adalah elemen penting dalam GTA VI, kerana beberapa bahagian jalan cerita memerlukan pemain mengumpul sejumlah dana jenayah untuk meneruskan misi:
- Semasa merompak kedai dan bank, meletupkan peti besi dengan bahan letupan adalah lebih pantas tetapi merosakkan wang tunai di dalam. Mengambil masa tambahan untuk membuka kunci kombinasi akan memberikan habuan penuh, tetapi berisiko dikepung polis sebelum sempat melepaskan diri melalui pintu belakang.
- Barangan curi, barang kemas, dan kereta yang dicuri perlu dijual kepada fence (orang tengah pasaran gelap) khusus.
- Mencuri kereta mewah yang diletakkan di tempat letak kereta memerlukan taktik moden. Pemain menggunakan aplikasi telefon dalam game bernama WAINK untuk mengimbas kenderaan, melihat nilai pasaran, kos pendaftaran, jenis penggera, dan sama ada ia dilengkapi pengesan GPS.
- Kereta lama boleh diumpil menggunakan alat ringkas, manakala supercar mewah memerlukan alat key cloner digital. Jika kereta curi tersebut mempunyai pengesan GPS yang aktif, memandu terlalu perlahan akan mendedahkan lokasi anda kepada polis, memaksa anda memandu laju sehingga isyarat berjaya dipintas.
Grand Theft Auto VI akan dilancarkan pada 19 November 2026 untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X/S. Kempen single-player dijangka mengambil masa sekitar 80 jam untuk diselesaikan, manakala mod multiplayer GTA Online dijadualkan menyusul secara berasingan pada tahun 2027.









Discussion about this post