Studio Genigods Lab dari China telah mendedahkan projek game sulung mereka: Genigods: Nezha. Merupakan sebuah single-player action RPG, ia mengambil inspirasi daripada mitos penciptaan China untuk menceritakan sebuah kisah tentang kelangsungan hidup kosmik dan pemberontakan dewa.
Game ini sedang dibangunkan untuk PlayStation 5 dan PC (melalui Steam serta Epic Games Store). Walau bagaimanapun, pihak studio masih belum menetapkan tarikh pelancaran tepat buat masa ini.
Kisah Genigods: Nezha bermula dengan sebuah tragedi berskala kosmik. Pangu (dewa yang menciptakan dunia) telah terperangkap dalam tidur abadi.
Tanpanya, alam mula huru-hara: sepuluh matahari membakar bumi menjadi padang pasir merah, langit seakan-akan sedang runtuh, dan tiang-tiang yang menyokong ‘syurga’ telah roboh, menyebabkan raksasa menceroboh keluar dari jurang maut.

Pemain akan memegang watak sebagai “Spirit Pearl,” iaitu hidupan pertama yang dicipta oleh Nuwa, Dewi Kehidupan, daripada elemen tanah, air, dan api. Permata tersebut kemudiannya dijelmakan semula sebagai wira legenda, Nezha.
Berpandukan “Heart of the Spirit Pearl”—sumber air suci yang bertindak sebagai peneman dan punca kuasa—Nezha harus menggalas tiga tugasan besar: membaiki langit yang runtuh, merungkai asal-usul dirinya yang misteri, dan menutup rekahan ruang-masa yang mengancam untuk menelan dunia.

Apa yang membezakan Genigods: Nezha daripada game lain adalah pendekatan aksinya. Pembangun beralih daripada mekanik hack-and-slash biasa kepada sesuatu yang lebih reaktif.
Game ini menampilkan sistem Dual Stance yang membolehkan pemain bertukar secara serta-merta antara dua mod bertarung. Di darat, Nezha menggunakan senjata ikoniknya, Fire-Tipped Spear, untuk melakukan combo dan parry. Apabila pertarungan beralih ke udara, dia akan menggunakan Wind Fire Wheel.

Dengan menggunakan “Divine Water” di dalam Spirit Pearl, pemain boleh memfokuskan tenaga untuk melakukan “One-Inch Flash” bagi memusnahkan perisai musuh atau melepaskan “Dragon’s Kick” untuk crowd control.
Ini dipadankan pula dengan sistem Relic Fusion, di mana pemain boleh menggabungkan harta karun legenda (seperti memadankan Hou Yi’s Bow dengan rupa bentuk “Three Heads and Six Arms” milik Nezha) untuk menghasilkan serangan baharu yang lebih dahsyat.

Dibangunkan dengan Unreal Engine 5, pemain bukan sekadar berlawan dengan musuh biasa; mereka akan berhadapan dengan “Colossal God” yang bersaiz sebesar gunung. Genigods Lab mendedahkan bahawa pemain perlu memanjat dewa-dewa gergasi ini dan menggunakan struktur badan mereka sebagai medan lawan.
Salah satu sorotan melibatkan kerjasama dengan gergasi bernama Kuafu untuk memanjat “Sun Tree”—sebuah jambatan antara dunia manusia dan dewa—dalam misi terdesak untuk memanah jatuh sembilan daripada sepuluh matahari demi menyelamatkan dunia daripada terbakar.









Discussion about this post