Pihak berkuasa di China telah berjaya menumpaskan rangkaian cetak rompak manga terbesar di dunia, BATO.TO. Setakat hari ini, kami membaca laporan bahawa lebih 60 laman web berkaitan telah ditutup; yang sebelum ini “mencuri” berbilion tontonan daripada pencipta karya yang sah.

Operasi ini bermula pada 19 November 2025, apabila Biro Keselamatan Awam Shanghai menyerbu sebuah rumah di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.
Suspek, seorang lelaki yang dipercayai dalang di sebalik BATO.TO dan rangkaian laman webnya yang luas (termasuk laman seperti xbato.com dan mangapark.io) telah ditahan selepas bertahun-tahun beroperasi secara tersembunyi.

BATO.TO bukanlah sebuah operasi kecil-kecilan. Sejak sekurang-kurangnya tahun 2018, laman web ini telah berkembang menjadi pusat pengedaran besar bagi kandungan tanpa izin.
Ia bukan sekadar menghoskan manga Jepun, malah turut mengedarkan manhwa Korea dan manhua China, yang semuanya diterjemahkan ke dalam lebih 50 bahasa.
Persatuan Pengedaran Kandungan Luar Negara (CODA) menganggarkan jumlah kerugian ekonomi kepada industri ini mencecah kira-kira 770 bilion yen (sekitar RM19+ bilion).

Lelaki tersebut didakwa menjana keuntungan haram yang besar melalui pengiklanan, dengan kutipan melebihi 400,000 RMB (kira-kira RM220 ribu) pada bulan-bulan kemuncak.
Bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa China, laman tersebut menggunakan “geoblocking” untuk menghalang pengguna di dalam China daripada mengaksesnya.
Ini mewujudkan ilusi seolah-olah tiada undang-undang tempatan yang dilanggar, sedangkan laman tersebut memberikan perkhidmatan kepada jutaan pengguna di seluruh dunia.

Siasatan ini bermula hasil desakan daripada lima penerbit gergasi Jepun: Kadokawa, Kodansha, Shueisha, Shogakukan, dan Square Enix. Pada September 2025, pejabat CODA di Beijing telah memfailkan aduan jenayah rasmi.

Para penyiasat menggunakan khidmat “ethical hacker” dan pakar forensik digital untuk menjejak infrastruktur laman web tersebut.
Walaupun suspek telah dibebaskan dengan ikat jamin selepas membuat pengakuan, dia kekal di bawah siasatan rapi sementara pihak berkuasa meneliti server dan komputer yang dirampas untuk mengenal pasti rakan subahat lain serta kumpulan “scanlation” (kumpulan terancang yang mengimbas, menterjemah, dan menyunting manga tanpa kebenaran) di seluruh dunia.









Discussion about this post