Di acara One Piece Day ’26 pada hujung minggu lalu, Toei Animation membuat kejutan besar apabila mengumumkan bahawa bukan satu, tetapi dua buah filem One Piece baharu kini sedang dalam pembikinan.
Filem pertama yang bertajuk ONE PIECE FILM GOD VALLEY akan ditayangkan di pawagam Jepun pada musim panas (Jun – September) 2027. Ini akan diikuti dengan projek kedua, ONE PIECE FILM BAAD, yang dirancang untuk tayangan pada tahun 2029.
Filem-filem dahulu seperti One Piece Film: Red, Stampede, dan Film: Z menyajikan jalan cerita sampingan tersendiri. Namun, Film God Valley mengambil pendekatan yang berbeza dengan menghidupkan salah satu latar belakang paling epik dalam manga: iaitu “The God Valley Incident”.
Berlatarkan masa 38 tahun sebelum garis masa utama, babak flashback God Valley (yang didedahkan dalam manga arc Elbaph) membongkarkan peperangan yang melibatkan Rocks Pirates, Roger Pirates, Monkey D. Garp bersama pihak Marines, serta golongan Celestial Dragons.
Fasa pertama One Piece: Elbaph Arc akan menamatkan tayangannya dalam beberapa minggu lagi seiring dengan jadual siaran musim panas 2026. Selepas itu, anime ini akan berehat selama beberapa bulan sebelum kembali pada tahun 2027.
Memandangkan God Valley dijadikan sebagai filem, siri anime berkemungkinan besar akan dilangkaui dan digantikan dengan filem.
Bagi peminat di Malaysia, perkara ini mungkin menimbulkan sedikit masalah. Walaupun GSC dan TGV kebiasaannya membawa masuk filem-filem One Piece ke Malaysia, tarikh tayangan antarabangsa untuk Film God Valley masih belum diumumkan. Jika filem ini tiba di pawagam tempatan beberapa bulan selepas tayangan di Jepun, peminat tempatan yang hanya mengikuti siri anime mungkin terpaksa menunggu sebelum dapat menyaksikan bahagian penting jalan cerita ini.
Selain itu, butiran lanjut tentang tenaga filem seterusnya pada tahun 2029, ONE PIECE FILM BAAD, juga masih dirahsiakan.








Discussion about this post